suria

Lelaki lupa agama demi forex! Wanita kecewa suami tergamak sorok gaji, elak bayar nafkah... Isteri buat 4 kerja nak cari duit

Seorang isteri terpaksa menanggung sendiri keluargannya. -Gambar hiasan

SETIAP pasangan suami isteri pastinya mengimpikan rumah tangga yang bahagia dan sempurna.

Namun saat perkahwinan diuji dengan kesusahan dan kesulitan, segala-galanya boleh berubah sekiranya tiada persefahaman.

Bagi seorang wanita, dia reda jodohnya tidak panjang tetapi masih berbekas dalam ingatan mengenai sikap bekas suaminya terutama dari segi pengurusan kewangan.

Di awal perkahwinan, suaminya berkhidmat sebagai kabin kru di sebuah syarikat penerbangan sebelum menyambung pengajian untuk menjadi juruterbang.

Suami mempunyai beban hutang yang banyak. -Gambar hiasan

Diduga dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), suaminya menganggur selama lima tahun, sekali gus mengubah kehidupan mereka 180 darjah.

"Dia sangat down sampai tidur saja berbulan-bulan. Saya tanggung semua termasuk anak dua orang daripada A hingga Z. Saya juga daripada keluarga susah.

"Saya bekerja buat e-hailing, jual produk orang, tukang masak dan buat tuisyen online rumah ke rumah dari pagi ke malam," luahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami ‘sapu’ STR... Anak, isteri melopong! Diam-diam guna sampai licin, dah tiada bajet beli barang sekolah, bayar yuran

ARTIKEL BERKAITAN: Gaji suami RM1,500, isteri berkorban demi 3 anak! Usaha keluarkan susu badan, guna lampin biasa... Tiada duit sendiri

Diceritakan oleh pakar kewangan dan motivator, Dr Azizul Azli Ahmad di Facebook, wanita itu berusaha menaikkan semangat suaminya, termasuk membantu dari segi kewangan.

"Balik kampung, belanja keluarga dia semua saya yang bayarkan. Mak dia pun saya bagi duit sebab saya kasihan. Banyak turun dan naik," katanya.

Selepas melalui pelbagai cabaran, wanita itu bersyukur apabila suaminya diterima berkhidmat sebagai juruterbang pada Mac 2023.

Dia bagaimanapun memberitahu, suaminya terjebak dengan pelaburan pertukaran mata wang asing atau 'forex' hingga menyebabkan pengurusan kewangannya tidak terkawal.

"Dia ada gunakan had maksimum kad kredit RM14,000 untuk main forex dengan alasan risau susahkan orang.

"Pada kami, jumlah tu sangat banyak. Saya kecewa. Pada mulanya saya bayarkan hutang kad kredit dia sebab saya nak dia fokus pada study pilot dia," katanya.

Seorang isteri mengakui suaminya lemah dalam pengurusan kewangan. -Gambar hiasan

Wanita itu kemudian dinasihati oleh orang sekeliling untuk tidak lagi menanggung segala hutang suaminya.

"Namun sejak itu, apabila dia dapat duit daripada syarikat, dia akan elakkan untuk bayar komitmen atau nafkah dan cakap dia bayar hutang.

"Bertahun saya hadap alasan yang sama. Selepas tiga bulan dapat gaji pilot, dia cuma diam saja... sedihnya," kata wanita itu sambil menambah dia membayar komitmen seperti biasa.

Dia akan elak untuk bayar komitmen atau nafkah dan cakap dia bayar hutang.

BEKAS ISTERI

Bagaimanapun sikap lepas tangan suaminya ketika itu membuatkan dia tidak berpuas hati sehingga memaksanya mempersoalkan ke mana wang gaji suaminya.

Alangkah terkejutnya apabila suaminya masih kembali aktif dalam forex dan kali ini sanggup membuat pinjaman peribadi di empat bank yang berbeza.

"Dengan alasan sama, dia risau nanti nak bayar hutang belajar pilot tu tapi malangnya rugi dan rugi. Dia tetap tak berhenti," katanya yang mengusahakan bisnes dengan pendapatan RM7,000 sebulan.

Seorang lelaki melakukan aktiviti pelaburan forex. -Gambar hiasan Freepik

Sudah bercerai sejak akhir tahun lalu, namun dia kesal dengan sikap bekas suami yang tidak bertanggungjawab terhadap anak-anak.

Katanya lagi, wang nafkah anak hanya akan diberikan selepas menolak segala komitmen bulanan serta hutang.

"Ada baki, adalah nafkah. Luluhnya hati saya. Saya dah biasa nampak komitmen dia begini. Dia berhutang dengan orang sekeliling berulang kali.

"Bagi saya, seorang bapa tak boleh buat begini. Bulan ni anak pertama kami masuk Tahun Satu, dia beri nafkah RM400 saja untuk dua anak. Kenapa ada manusia begini?" katanya yang berharap perkongsiannya dijadikan pengajaran untuk masyarakat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain