suria

Suami ‘sapu’ STR... Anak, isteri melopong! Diam-diam guna sampai licin, dah tiada bajet beli barang sekolah, bayar yuran

Seorang wanita terkilan apabila suaminya menggunakan semua duit bantuan kerajaan. -Gambar hiasan

TANGGUNGJAWAB mereka yang bergelar suri rumah dalam sesebuah institusi keluarga bukanlah mudah.

Apatah lagi jika mereka ditakdirkan hidup dengan suami yang bermasalah atau tidak bertanggungjawab.

Namun situasi seperti itulah yang perlu dihadapi seorang wanita, yang diceritakan menerusi satu posting di grup Facebook Kisah Rumah Tangga yang mana si suami bersikap tidak jujur berhubung bantuan wang oleh kerajaan.

Menerusi posting itu, dia meluahkan rasa terkilan dan tidak puas hati apabila Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dikreditkan ke dalam akaun suami yang dilabel penipu dan tak bertanggungjawab.

Suri rumah menggalas tanggungjawab besar dalam menguruskan rumah tangga. -Gambar hiasan

"Saya nak tanya kenapa duit bantuan STR masuk dekat dalam akaun suami. Kalau jenis suami penipu tak bertanggungjawab, jenis senyap-senyap habiskan duit tu tak beritahu... macam mana tu? Ya Allah, sedih sangat.

"Duit bantuan berjumlah RM900 dulu kami dapat, masuk ke akaun dia (suami). Tapi dia cakap dekat saya tak dapat. Sampailah ke hari ni. Ni duit STR yang baru ni dapat RM500 pun tak sampai dekat tangan saya," dia membuat luahan tanpa nama dalam grup di Facebook berkenaan.

Katanya, dia begitu mengharapkan duit bantuan tersebut memandangkan suaminya tidak memberikan nafkah dan wang perbelanjaan yang sepatutnya diterima seorang isteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat semua kerja rumah, tak culas beri nafkah... Isteri tetap anggap suami tak perfect sebab tak pandai masak

ARTIKEL BERKAITAN: Derita bersuamikan ‘biawak hidup’ gara-gara gaji tinggi... Banyak kali nak cerai sebab culas bab nafkah, isteri risau dilabel derhaka

Tambahnya lagi, sebagai ibu dia sering mencari jalan untuk menyediakan keperluan sekolah anak-anak kerana suaminya bersikap lepas tangan dalam hal tersebut.

"Kasihan saya dan anak-anak. Saya ingatkan nak simpan duit tu beli barang-barang sekolah mereka. Dah la saya merupakan seorang suri rumah. Satu sen pun dia tak bagi saya dan anak-anak.

"Saya mengharapkan sangat sebab duit itu la nak simpan beli keperluan barang sekolah, bayar yuran dan barang-barang anak. Saya sedih suami sendiri macam ni.

"Bagi saya, tak sepatutnya duit bantuan tu masuk dalam akaun suami. Kalau suami yang jenis baik dan bertanggungjawab tak apa," katanya, sedih mengenangkan nasib sendiri.

Saya ingatkan nak simpan duit tu untuk beli barang-barang sekolah anak.

PENGADU

Hantaran berkenaan meraih pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bersimpati dengan masalah pengadu.

Malah, ramai dalam kalangan netizen yang tidak bersetuju apabila wanita ini seolah-olah dibiarkan oleh suaminya menguruskan keluarga sendirian tanpa wang.

"Kenapa puan nak pening kepala fasal keperluan anak. Sepatutnya dia bertanggungjawab sudah tahu puan tak ada pendapatan.

"Allah sedih dengar. Semua demi anak-anak tanpa sikit pun dia fikir dekat diri kita. Sampainya hati seorang yang bernama suami ni.

Komen netizen pada hantaran di Facebook.

"Banyak juga dengar kes macam ni. Macam saya, STR masuk akaun sendiri. Saya cakap dekat suami berapa saya dapat. Siap bagi tengok berapa ringgit. Saya buat bayar bil, cukai dan selebihnya saya buat beli barang dapur," komen netizen.

Selain itu ramai juga mencadangkan agar wanita ini melakukan kemas kini butiran pemohon dan nombor akaun bank di laman web STR atau pergi sendiri ke Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Ada juga yang menyarankan agar dia cuba mencari pendapatan sendiri sebagai persediaan jika berlaku perkara tidak diingini melibatkan dirinya dan anak-anak.

Bermula 29 Januari, pembayaran STR Fasa 1 untuk penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR dikreditkan ke dalam akaun bank mereka atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Menurut portal ecentral, STR merupakan bantuan tunai yang diberikan kepada rakyat Malaysia daripada golongan miskin, B40 dan M40 mengikut kategori bujang, isi keluarga dan warga emas.

Bagi kategori baharu isi rumah miskin dan miskin tegar di bawah data eKasih akan menerima sumbangan maksimum RM3,700 setahun mulai Januari 2024 berbanding RM3,100 pada 2023.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain