suria

Anak Selangor malu sikap BBNU kemaruk dolar, megah canang gaji lumayan di Singapura - “Tak semua bernasib baik seperti awak”

Seorang pemuda yang bekerja di Singapura ditegur kerana bermegah menerima gaji lumayan. -Gambar hiasan kiri / Bloomberg

KEMEGAHAN seorang pemuda Selangor yang bekerja di Singapura kerana memperoleh gaji lumayan nampaknya kurang disenangi segelintir rakyat Malaysia terutama mereka yang mencari rezeki di Republik itu.

Dia dianggap meninggi diri gara-gara mendedahkan nilai gajinya yang berlipat kali ganda berikutan mata wang dolar Singapura lebih kukuh berbanding ringgit, di samping memperlekehkan negeri kelahirannya.

Susulan itu, seorang lelaki menegur sikap pemuda yang kini bergelar Run SGD, iaitu golongan yang berulang-alik antara Malaysia dan Singapura setiap hari untuk mencari rezeki.

Rakyat Malaysia berulang-alik bekerja di Singapura.

Menurutnya, pemuda itu seharusnya bersikap merendah diri dan bersyukur dengan peluang yang diberikannya kerana bukan semua orang bernasib baik sepertinya.

“Nak pesan sikitlah kepada golongan BBNU (budak baru nak up) yang baru nak merasa dolar tu. Apa yang anda rasa tu baik simpan untuk diri sendiri je.

“Tak perlu nak post kat grup ataupun mana-mana media sosial nak menunjuk awak tu memegang dolar. Ingat, tak semua orang bernasib baik seperti awak,” tegurnya menerusi satu hantaran di grup Facebook, pada Rabu.

Teguran seorang lelaki di grup Facebook.

Lelaki itu mendedahkan, sebenarnya ramai rakyat Malaysia yang berusaha berulang kali untuk mendapat peluang pekerjaan di Singapura tetapi gagal.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Selangor ‘terpaling Singapura’! Bangga tukar kerja gaji 3.5 kali ganda, puji melambung negara jiran

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 20 tahun, rakyat Malaysia baru sedar penat kerja di Singapura! Bujang, simpanan RM1.2 juta tak tahu nak buat apa

“Mereka tak dapat peluang baik seperti anda. Dalam grup ni tak semestinya semua pernah ataupun masih bekerja di Singapura, malah ada je orang lain yang lebih memilih untuk bekerja di tanah air sendiri.

“Aduh... aku pun anak Selangor dan masih bekerja di Singapura juga, tapi malu pula angkara seorang anak Selangor yang kemaruk dengan dolar, habis dipetiknya nama Selangor,” katanya dengan nada kesal.

Lelaki itu turut berkongsi tangkap layar artikel mStar mengenai individu yang dimaksudkan, bertajuk “Anak Selangor ‘terpaling Singapura’! Bangga tukar kerja gaji 3.5 kali ganda, puji melambung negara jiran”.

Pemuda Selangor itu baru bekerja di Singapura.

Di ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan tindakan lelaki itu memberi teguran.

“Itulah, ramai golongan BBNU yang kemaruk macam dialah terpaling pegang dolar.

“Mungkin kejutan budaya tu bang. Orang-orang JB (Johor Bahru) santai je.

“Betul tu, tak pasal-pasal nanti ada pula yang kerajaan kenakan untuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura,” demikian antara komen netizen.

Mungkin kejutan budaya tu bang... orang-orang JB santai je.

NETIZEN

Malah, seorang warga maya mendedahkan anak Selangor itu sebenarnya baru bekerja di Singapura berdasarkan satu hantarannya di grup Facebook sama, awal bulan ini.

“Saya dari Selangor, baru je pindah kat JB sebab dapat kerja di Singapura. Nak tanya, kalau nak pergi ke CIQ dari Taman Pelangi Indah ni mana lebih mudah ye?

“Saya pertama kali nak masuk kerja kat Singapura nanti. Saya naik bas je nanti dari CIQ (Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin) ke Woodlands,” katanya menerusi satu tangkap layar hantaran pemuda itu.

Rakyat Malaysia tetap bersyukur mencari rezeki di tanah air.

Pada Selasa, mStar melaporkan mengenai seorang pemuda anak kelahiran Selangor yang berkongsi pengalamannya bekerja di negara jiran yang disifatkannya lebih berbaloi.

“Aku orang Selangor dan kerja kat Singapura. Bagi aku, kerja kat Singapura lebih berbaloi berbanding kerja di Lembah Klang.

“Kerja kat Singapura kalau naik bas okay lagi. Scan pasport kat kaunter ICA (Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura) pun dah senang. Hanya tinggal tunggu bas je untuk menuju ke stesen MRT ke tempat kerja.

“Kalau kerja Lembah Klang pula tak habis-habis dengan ‘jem’ bagai kat atas jalan. Sudahlah pengangkutan awam pun tak cekap

“Kerja Singapura paling berbaloi sebab 3.5 kali ganda berbanding kerja di Lembah Klang satu kali je. Tak sia-sia masuk kerja kat Singapura walaupun duduk di JB,” katanya menerusi satu hantaran di grup Facebook.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain