suria

Bertahun sepi, Fattah Anas buat ‘comeback’ ubati kerinduan ramai... Bapa dedah tempuh ‘bermacam perjalanan’

Kemunculan semula Fattah Anas mengubati kerinduan ramai.

MASIHKAH anda ingat video tular pada 2018 mengenai kanak-kanak comel berusia dua tahun masuk ke dalam sangkar kucing, sebelum diusik bapanya?

Pernah memiliki lebih 1.2 juta pengikut di laman sosial, si cilik Muhammad Fattah Anaz Mohamad Firdaus atau lebih dikenali sebagai Fattah Anas kemudian menyepi selama beberapa tahun.

Bagaimanapun, kemunculan semula Fattah Anas menerusi video sempena sesi pembukaan sekolah baharu 2024/2025 baru-baru ini ternyata mengubati kerinduan ramai terhadapnya.

Maka tidak hairanlah video yang dimuat naik di TikTok itu meraih lebih 3.8 juta tontonan.

"Dah besar dah Anas. Bertahun cari Anas, Anas is back.

"Ini Anas yang masuk sangkar kucing tu ke? Handsomenya," demikian antara komen netizen.

Berkongsi cerita kepada mStar, bapa Fattah Anas, Mohamad Firdaus Mohamed mengakui mereka sekeluarga sebelum ini sememangnya 'senyap' di laman sosial.

Telatah comel Fattah Anas sejak kecil meraih perhatian ramai.

Mengenai perkembangan terkini, Fattah Anas yang merupakan anak sulungnya kini merupakan murid Tahun Dua di sebuah sekolah rendah di Kuantan, Pahang.

"Kami hilang di alam maya je. Off semua tu, pulun hal-hal lain dulu. Ikutkan dari mula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tu kami dah nak 'menghilang' dah.

"Kalau ada pun terlajak muncul kadang-kadang macam tu je la. Macam-macam perjalanan yang kami dah tempuh. Senyap dari media sosial ni semua kehendak Allah.

"Kita ni banyak kelemahan. Apa yang terbaik untuk kita, Allah je lebih mengetahui. Banyak hal Dia nak kita hadap tengok dan belajar," katanya ketika dihubungi mStar.

Mohamad Firdaus (tiga, kanan) bersama isteri dan anak-anak.

Firdaus berkata, apa yang lebih penting baginya adalah reda dengan segala ketentuan Allah.

ARTIKEL BERKAITAN: Patutlah lama sepi, bapa Fattah Anas jual akaun IG ada 1.2 juta followers dan barang dalam rumah demi bayar hutang

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Fattah Anas hidap penyakit misteri, 34 jarum karat keluar dari badan... asyik lesu, emosi tak stabil - “Saya mahu pahala maafkan orang”

Mengulas lanjut, katanya, kemunculan Fattah Anas di laman sosial dibuat secara kebetulan dengan berkongsi suasana pembukaan sesi persekolahan.

"Tak ada apa pun yang buat Fattah Anas nak kembali aktif di media sosial melainkan papanya yang nak kembali aktif, kebetulan ada suasana pembukaan sekolah, jadi kita saja rakam sikit-sikit.

"Sebab kembali tu lebih kepada nak tolong bisnes kawan dan asbab lain insyaAllah jika ada rezeki untuk kami di media sosial," ujarnya yang kini bekerja di sebuah kilang.

Gelagat Fattah Anas bersama adik-adik.

Mengenai Fattah Anas yang berusia genap lapan tahun pada 25 Mac ini, bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, anak sulungnya masih seperti dahulu.

"Fattah Anas masih 'berkembang' dan dia dah ada tiga adik pun sekarang, Alhamdulillah. Dia dah besar kan, jadi kelakar dan keceriaannya tu lebih teratur.

Kita pun rasa gembira bila dapat gembirakan ramai orang melalui telatah kita.

MOHAMAD FIRDAUS MOHAMED

BAPA

"Tidaklah sepanjang masa ceria je. Matang dari umurnya tu perkara biasa. Dia abang yang baik, penyayang dan bertanggungjawab kepada adik-adik.

"Fattah Anas anak yang aktif, adik-adiknya juga sangat aktif. Jadi agak huru-hara juga kalau tiba-tiba semua jadi aktif. Dia kena beralah tolong papa dia kawal adik-adik," katanya sambil menambah tiga lagi anaknya berusia lima tahun, setahun dan lima bulan.

Fattah Anas masih berperwatakan ceria.

Dalam pada itu, perasaan Firdaus bercampur-baur melihat sambutan orang ramai terhadap kemunculan mereka sekeluarga terutama Fattah Anas di media sosial.

"Sejujurnya saya gembira dan risau. Apa pun, saya sentiasa berharap perlindungan daripada Allah. Semestinya kita pun rasa gembira bila dapat gembirakan ramai orang melalui telatah kita.

"Yang puji-memuji tu mashaAllah. Alhamdulillah, Allah bagi nampak yang elok-elok. Terima kasih.

"InsyaAllah jika diizinkan, kita rakam momen-momen untuk dikongsi kepada umum. Tapi tidaklah fokus pada Fattah Anas seorang je sebab dia dah ada tiga adik yang lain," katanya lagi sambil menambah Fattah Anas meminati subjek Matematik dan bermain basikal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain