suria

Dugaan sambut Ramadan... Wanita meraung masuk kebun sawit, ‘menyumpah’ monyet curi kuih raya pelanggan

Tangkap layar video Miera menangis apabila parcel untuk pelanggan dicuri monyet.

"NATE (binatang) beruk b*b*. Habis barang customer aku. Mu tengok ni."

Begitulah teriakan seorang peniaga di ladang kelapa sawit sambil menunjukkan parcel yang rosak gara-gara sang monyet.

Video wanita menangis itu meraih lebih 1.5 juta tontonan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen termasuklah yang menyifatkan tindakannya memarahi monyet sebagai melucukan.

Peniaga berkenaan, Nur Izzatul Amira Asma Niza berkata, kejadian berlaku dekat rumah mentuanya di Kuala Ketil, Kedah, pada Khamis lalu.

Mesra disapa Miera, katanya, ketika itu dia meninggalkan beberapa parcel yang mengandungi balang kuih raya untuk dihantar kepada pelanggan menerusi khidmat kurier.

"Masa tu saya keluar rumah nak hantar kuih raya secara COD (pembayaran tunai semasa serahan) dekat pelanggan sambil beli barang sikit di kedai runcit berdekatan.

"Saya keluar cuma setengah jam. Balik rumah tengok ada parcel yang sudah terburai, balang kuih raya tak ada dan ada parcel kena curi dengan monyet," katanya ketika dihubungi mStar.

Keadaan parcel yang dirosakkan oleh sekumpulan monyet.

Mengakui terkejut melihat apa yang berlaku, Miera yang berusia 21 tahun masuk ke kebun kelapa sawit yang terletak bersebelahan dengan kediamannya bagi menjejaki parcel yang dicuri.

"Bungkusan parcel tu saya tinggalkan atas kerusi di luar rumah. Selalunya ada orang di rumah sebab kurier nak datang ambil parcel.

"Saya nampak monyet-monyet berlari masuk ke kebun kelapa sawit. Jadi saya masuk ke sana untuk cari dan selamatkan parcel yang dicuri," ujarnya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Kebiasaannya parcel diletakkan di atas kerusi dekat pintu rumah.

Mula berniaga secara dalam talian sejak tahun lalu, kata Miera, ia bukan pertama kali rumah mentuanya dicerobohi oleh sekumpulan monyet liar tetapi kejadian parcel dicuri pertama kali berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Monyet ‘bergurau’ kasar! Tak dapat kek marble, loyang pun boleh... Ambil masa 10 minit pujuk minta balik

ARTIKEL BERKAITAN: Nak piknik pun tak senang! Tiga gadis dikejar monyet liar, bertempiaran lari bawa periuk... Terpaksa sambung makan dalam kereta

Katanya, dia baru memulakan bisnes kuih raya sejak bulan lalu sempena kedatangan bulan Ramadan yang mana kuih-kuih dibuat bersama ibu mentua dan seorang pembantu.

Miera baru memulakan bisnes kuih raya.

Dalam pada itu, Miera turut menafikan video dia menangis di kebun kelapa sawit sebagai strategi pemasaran untuk melariskan kuih rayanya.

"Masa rakam tu saya tengah sedih dan geram monyet-monyet curi parcel sebab saya nak hantar kepada pelanggan.

Saya tak serik sebab ini sumber rezeki.

NUR IZZATUL AMIRA ASMA NIZA

"Saya tengah marah, jadi saya tak tahu apa yang saya cakap. Main cakap saja. Saya memang betul-betul sedih tengok parcel tu kena koyak dan balang kuih raya hilang.

"Ini bukan melawak dan bukan juga marketing. Daripada empat parcel mengandungi enam balang yang dicuri, dua balang saja dapat diselamatkan," katanya sambil menambah mengalami kerugian RM52.

Antara kuih raya yang dijual Miera.

Menjual beberapa jenis kuih raya seperti kuih siput, popia pedas dan popia Nestum secara kecil-kecilan, Miera bagaimanapun reda diuji.

"Saya tak serik sebab ini sumber rezeki. Saya akan terus buat kuih raya, jual kepada pelanggan termasuk buat COD.

"Cuma saya akan lebih berhati-hati selepas ini. Saya akan pastikan tidak tinggalkan bungkusan parcel kuih raya tanpa pengawasan," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain