suria

Penangan cucu pertama kahwin, tiga khemah kenduri terbang hingga atas bumbung... Bomba pun tolak kes!

Keluarga pengantin turut terkejut dengan insiden berlaku.

MAJLIS perkahwinan pastinya tidak lekang dengan momen menarik dan mencuit hati.

Terkini tular di media sosial insiden dua buah khemah kenduri di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka diterbangkan angin kencang sebelum tersangkut di atas bumbung rumah.

Menerusi rakaman video berdurasi 22 saat itu, kedengaran desiran angin kencang di samping suara latar pemilik video melaporkan tentang insiden yang berlaku di depan matanya.

Hingga ini klip video yang dikongsikan Azwan mendapat perhatian warga maya sehingga ditonton lebih 793,000 pelayar TikTok.

Bumbung bahagian hadapan rumah ditutup khemah berkenaan.

Bumbung bahagian hadapan rumah ditutup khemah berkenaan.

"Majlis dah habis. Tak ada tempat nak simpan khemah, simpan atas bumbung je," selorohnya di ruangan kapsyen.

Perkongsiannya itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen dan kebanyakannya meninggalkan komen mencuit hati.

"Doa bekas kekasih ke ni?

"Khemah dah penat berdiri, tu yang dia baring atas bumbung.

"Beli kat mana piring Astro besar tu bang," ujar beberapa netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan pengantin baharu menangis penat jaga suami, pikul tugas isteri! Biasa bangun 11 pagi ibu dah buat semua

ARTIKEL BERKAITAN: Uniknya tradisi keluarga... pengantin reda berarak, bersanding atas lori pembinaan! Orang kampung tumpang gembira

Berkongsi cerita kepada mStar tentang insiden tersebut, Mohd Azwan Abu Bakar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang, Sabtu semasa majlis perkahwinan anak buahnya.

"Pada masa tu, saya hubungi bomba untuk minta bantuan tapi mereka tolak kes.

"Bomba tanya sama ada terdapat mangsa cedera atau rumah runtuh, saya jawab tiada... jadi mereka suruh minta tolong saudara mara dan orang yang pasang khemah tu untuk turunkan.

"Kira-kira pukul 10 malam baru selesai turunkan khemah, orang khemah tu yang uruskan sendiri," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Bomba suruh minta tolong saudara mara dan orang yang pasang khemah tu untuk turunkan.

MOHD AZWAN ABU BAKAR

Menurut lelaki berusia 42 tahun ini lagi, sebelum khemah tersebut diterbangkan, dia dan kakaknya cuba memegang pada besi namun terpaksa melepaskannya disebabkan angin yang terlalu kencang.

Malah katanya, keadaan angin pada hari tersebut sedikit berbeza berbanding hari-hari lain.

"Biasa angin kuat je tapi kali ini lain macam dia punya kencang. Bayangkan saya berat 76 kilogram, kakak 68 kilogram cuba berpaut, tapi terpaksa lepaskan sebab takut diterbangkan sekali.

Warga maya meninggalkan komen mencuit hati

Warga maya meninggalkan komen mencuit hati.

"Disebabkan tidak menyangka keadaan angin akan bertukar luar biasa, tukang pasang khemah tidak memasak tiang khemah ke tanah. Dia pun cakap yang khemah kenduri tu hanya akan bergerak ke tepi je.

"Tak sangka pula akan terbang naik ke atas bumbung macam video ni," tambahnya.

Meskipun masih terkejut, Azwan dan keluarganya menzahirkan rasa bersyukur kerana kejadian tersebut berlaku selepas majlis kenduri selesai.

"Pasangan pengantin pun termenung dan tergamam tengok khemah naik atas bumbung... mereka cakap nasib baik ia terjadi selepas majlis dah habis.

"Mak saya cakap ni (insiden bumbung terbang) sejarah sebab pengantin adalah cucu pertama yang berkahwin," tambahnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain