suria

Diam-diam pindah sekolah, tinggalkan murid tanpa pesan... Cikgu terkejut dapat mesej ‘cinta’ daripada pelajar yang tak disangka-sangka

Cikgu Jamie berkongsi kisah murid-muridnya selepas berpindah ke sekolah baharu.

GURU-guru yang membuat permohonan pertukaran sekolah pastinya berdebar menanti keputusan dikeluarkan, bimbang permintaan ditolak.

Namun bagi guru ini, dia berada dalam dilema apabila berjaya berpindah ke tempat baharu gara-gara menerima mesej tidak disangka-sangka daripada seorang murid di sekolah lama.

“Boleh tak sir jangan pindah? Saya tak semangat nak sekolah, sir. Saya suka sir, saya tak nak cikgu lain ajar kelas ni. Saya dah lama suka kat sir.

“Saya rasa dah jatuh cinta kat sir. Tolonglah sir, balik sekolah ni ajar kelas saya semula,” demikian mesej murid perempuan itu yang dimuat naik guru itu di laman sosial.

Mesej yang dihantar oleh seorang murid perempuan.

Berkongsi cerita, guru berkenaan, Wan Muhamad Fahmi Wan Marzuki berkata, dia baru berpindah ke sekolah rendah di Tumpat, Kelantan pada awal bulan ini, sebaik sesi persekolahan dibuka selepas cuti akhir tahun.

Lebih setahun mengajar di sebuah sekolah rendah di Gua Musang di negeri sama, dia yang lebih dikenali sebagai Cikgu Jamie memberitahu, perpindahannya ke tempat baharu adalah permintaannya sendiri.

“Saya mohon tukar sebab untuk berada lebih dekat dengan keluarga, ibu dan ayah serta adik-beradik. Mohon dari awal 2023 lagi sebab permohonan sentiasa dibuka.

“Penantian yang sangat berbaloi sebab dah boleh berkhidmat dekat dengan kampung dan keluarga. Saya terkejut dan bersyukur kerana tak sangka dapat berpindah sebab tak lama sangat berkhidmat di sekolah tu,” katanya kepada mStar.

Cikgu Jamie mula mengajar sejak 2017.

Mengakui turut sedih dengan perpindahan itu, pemuda yang berasal dari Kubang Kerian ini berkata, dia merupakan guru di sebuah kelas dan hubungannya antara murid dan guru di sekolah sebelum ini agak rapat.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah ‘banjir’ air mata hanya kerana seorang guru lelaki, dah balik rumah isteri pula sambung menangis - “Ada yang sampai peluk kaki”

ARTIKEL BERKAITAN: Perpisahan yang menyakitkan... Gara-gara cikgu ganti persis gadis Korea, budak 9 tahun menangis sakan macam orang putus cinta

“Sekolah tu tak ramai murid, hubungan antara murid dan guru lebih mesra. Saya pindah hari tu tanpa pengetahuan anak murid sebab keputusan pindah dapat masa cuti sekolah.

“Buka je sekolah terus melapor diri di sekolah baharu. Jadi, ramai yang tidak tahu termasuk kelas jagaan saya sendiri sebab saya guru kelas. Mereka hanya dapat tahu daripada guru-guru lain sebaik sekolah dibuka,” ujarnya yang merupakan guru Bahasa Inggeris.

Cikgu Jamie mengakui tidak sempat memaklumkan mengenai perpindahannya kepada murid-murid.

Bergelar pendidik sejak 2017, guru berusia 31 tahun itu mengakui terkejut menerima mesej daripada seorang murid perempuan Tahun Enam yang meluahkan isi hatinya.

“Saya terus tak balas mesej selepas murid tu meluahkan perasaan macam tu, bimbang nanti menyinggung perasaan dia pula. Nak bagi kata-kata semangat pun saya tak pandai sangat, takut tersalah cakap.

Rasa sedih sebab teringat gelagat murid-murid dan tak sempat ucap selamat tinggal elok-elok hari tu.

WAN MUHAMAD FAHMI WAN MARZUKI

“Murid tu tak pernah pun meluahkan depan-depan, tapi dia merupakan murid yang agak baik dalam sahsiah dan akademik. Dia rajin dan tiada masalah disiplin,” kata Cikgu Jamie yang masih bujang.

Anak kedua daripada lima beradik itu turut mendedahkan dia menerima banyak mesej daripada murid-murid berikutan perpindahannya yang dibuat secara mengejut.

Selain gemar berkaraoke, Cikgu Jamie rajin bersenam.

“Sebenarnya banyak lagi mesej yang murid saya hantar mengucapkan terkejut dan rindu pada saya. Cuma seorang murid itu saja yang tiba-tiba meluahkan perasaan macam tu.

“Saya sebenarnya nak beritahu juga pada murid-murid (mengenai perpindahan) cuma belum berkesempatan untuk berjumpa. Tak tergamak nak umum dalam grup WhatsApp sahaja.

“Terdetik juga rasa sedih sebab teringat gelagat murid-murid dan tak sempat ucap selamat tinggal elok-elok hari tu,” kata guru yang gemar berkaraoke di masa lapang ini.

Bagaimanapun kata Cikgu Jamie, terdapat rancangan untuk pergi ke sekolah lama bagi mengucapkan selamat tinggal kepada murid-muridnya apabila berkesempatan nanti.

“Nasihat saya agar murid-murid di sekolah saya yang dulu agar terus cemerlang walau di mana jua dan semoga mereka semua dapat menjadi orang-orang yang hebat suatu masa nanti, tak kira dalam apa jua perkara yang mereka lakukan,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain