suria

“Zayn Rayyan anak kandung saya” - Zaim Ikhwan jawab tuduhan hanya bapa tiri

Zaim tampil menjawab spekulasi mengenai siapa bapa kandung Zayn Rayyan.

KETIKA semua pihak masih bersedih dan buntu tentang motif pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, timbul pula cerita tidak baik berkaitan salasilah anak autism itu.

Di media sosial, netizen berteka-teki tentang identiti sebenar bapa kandung kanak-kanak malang itu berdasarkan maklumat peribadi yang ditularkan.

Enggan membiarkan perkara itu terus berlarutan, bapa kanak-kanak itu iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 28, akhirnya bersuara.

Ujar Zaim kepada mStar, dia bukanlah bapa tiri kepada anak syurga berkenaan seperti yang didakwa banyak pihak.

Zaim bersama arwah Zayn Rayyan.

Sebaliknya tegas Zaim, Zayn Rayyan adalah anak kandungnya hasil perkongsian hidup dengan isteri, Ismanira Abdul Manaf, 28.

"Arwah memang anak kandung saya. Dia tiada bapa tiri.

"Zayn Rayyan memang anak saya," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Abang, mommy cuba kuat” – Ibu Zayn Rayyan kongsi rasa hati, lagu ‘Salam Terakhir’ undang sebak

ARTIKEL BERKAITAN: Polis bawa keluar dua kotak besar selepas periksa rumah ke rumah, dipercayai bahan bukti kes bunuh Zayn Rayyan

Sebelum ini tular dakwaan kononnya Zaim bukanlah bapa kandung Zayn Rayyan hanya berdasarkan nama penuh kanak-kanak itu.

Namun Zaim berharap perkara itu tidak perlu dijadikan isu kerana dia dan isteri serta ahli keluarga yang lain masih bersedih dengan kehilangan Zayn Rayyan.

"Apa yang saya boleh cakap dia (Zayn) adalah anak kandung saya.

Arwah memang anak kandung saya... dia tiada bapa tiri.

ZAIM IKHWAN

BAPA

"Berkenaan isu yang saya ni adalah bapa tiri Zayn, ia tak tak benar," tegasnya lagi.

Mengulas tentang kes, Zaim berkata dia sekeluarga berdoa dan terus berharap agar pihak polis dapat menjejaki pembunuh anaknya dengan segera.

Pada Selasa malam, pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa keluar dua kotak besar selepas selesai membuat pemeriksaan rumah ke rumah di Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor.

Ahli keluarga Zayn Rayyan (depan, kanan).

Difahamkan ia berisi bahan bukti bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak istimewa yang mayatnya ditemui di saliran air dekat kawasan apartment itu pada 6 Disember lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, pemeriksaan rumah ke rumah yang dibuat pada Selasa bertujuan untuk mengumpul bahan bukti yang boleh membantu siasatan kes.

Untuk rekod, kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran berdekatan takungan air, 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira pukul 10 malam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain