suria

Kemaruk guna iPhone, sanggup buat pinjaman lebih RM4,000... Akhirnya merungut sengsara bayar hutang

Ramai sanggup berbelanja lebih untuk memiliki telefon idaman. -Gambar hiasaN

DEMI mengejar gaya hidup yang diimpikan, ada yang sanggup berhutang.

Ini termasuklah tindakan membuat pinjaman semata-mata untuk membeli telefon pintar berjenama yang mahal harganya.

Namun, seorang peminjam merungut gara-gara terpaksa membayar ansuran pinjaman tepat pada waktunya.

Menerusi satu perkongsian di Twitter, terdapat seorang pembeli yang membuat pinjaman sehingga RM4,099 semata-mata untuk mendapatkan iPhone 11, 128GB.

Sudahnya, dia merungut kerana terpaksa membayar ansuran sebanyak RM165 selama 36 bulan.

“Nasihat saya, fikir berkali-kali jika mahu berhutang untuk membeli iPhone. Jika tidak mampu, cukup untuk beli iPhone terpakai.

“Harga iPhone 11 (128GB) sekitar RM2,199 dan model ini telah ditamatkan pengeluaran. Dengan pinjaman sehingga RM4,099 sudah cukup untuk membeli iPhone 14,” tulisnya menerusi satu ciapan @xaviernaxata.

Pinjaman yang dibuat oleh seorang pembeli iPhone 11.

Pembeli bukan sahaja terikat dengan hutang selama tiga tahun, bahkan perlu membayar lebih kerana jumlah keseluruhan ansuran adalah RM5,940.

Dan jumlah tersebut tidak termasuk dengan caj faedah sekiranya lewat membayar ansuran.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna iPhone tak semestinya cerdik! Beli bayar ansuran, jual kepada owner baharu kena tipu pula sebab tak faham konsep ‘sambung bayar’

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan jadi hamba gajet!” - Gadis dikecam gelar mak ayah ‘toksik’ kerana tak mampu hadiahkan anak iPhone

Sehubungan itu, dia memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak membuat pinjaman semata-mata memenuhi kehendak.

Namun jika masih mahu memiliki model telefon yang dihajati, dia menyarankan untuk berbelanja mengikut kemampuan.

“Di mana akal fikiran yang Allah anugerahkan? Beringatlah, jangan buat pinjaman semata-mata untuk memuaskan nafsu gaya hidup.

“Jika kemaruk untuk dapatkan sebuah iPhone, cukup untuk beli iPhone 11 terpakai,” ujarnya.

iPhone antara model telefon yang menjadi pilihan ramai. -Gambar DPA

Tanpa perlu membuat pinjaman, dia mencadangkan supaya membuat simpanan bagi membolehkan pembelian telefon dibuat secara tunai.

“Jika buat simpanan RM165 sebulan, kurang tujuh bulan sudah boleh beli secara tunai. Pesanan saya kepada anak muda, hargai masa muda anda. Jangan berhutang, bila tidak mampu dan disenarai hitam akan beri mudarat bila usia anda mencecah 30 tahun nanti.

“Fikir guna akal yang dianugerahkan oleh Allah. Jangan guna kepala lutut yang pastinya tidak boleh berfikir,” katanya lagi.

Rata-rata netizen turut bersetuju supaya pembeli berkenaan mengukur baju di badan sendiri sebelum membuat keputusan untuk meminjam.

“Kadang-kadang yang membeli ni masa tu nafsu nak beli. Rasa OK bulan-bulan boleh ni. Setakat 165 je. Kemudian selepas berapa bulan rasa lamanya lagi nak habis bayar. Dia pilih, dia bayarlah. Jadilah pembeli yang bijak.

Antara komen netizen.

“Kalau tak mampu, buat cara tak mampu. Jangan ada pemikiran nak nampak gah sedangkan kau hidup sengsara bayar hutang. Kalau ikut nak berlawan siapa hebat ni, memang tak akan ada penghujungnya. Hiduplah ikut kemampuan.

“Ukur baju di badan sendiri, bukan orang lain. Kalau nak, tanggung sendiri risiko, jangan merungut. Tiada siapa memaksa melainkan nak rasa megah di hadapan orang lain. Hidup tak perlu ikut gaya hidup orang lain. Biarkan yang rendah pemikiran berkata-kata,” komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain