suria

Terkenang kisah bapa bawa lori hantar seluar baharu, kuetiau kerang ibu juga tinggal kenangan - “Mama, papa datanglah dalam mimpi”

Khairina bercerita tentang rasa rindu terhadap arwah ibu dan bapanya.

PASTINYA bukan mudah menghadapi pemergian dan kehilangan insan tersayang.

Hanya tuan badan yang dapat merasai betapa sakit dan peritnya menanggung rindu yang tidak berkesudahan.

Begitulah luahan seorang gadis yang memuat naik gambar-gambar kenangan bersama arwah ibu dan bapanya di TikTok.

"Mama dan papa datanglah dalam mimpi, kakak rindu sangat nak peluk cium mama papa," demikian antara kapsyen menyayat hati yang ditulis gadis itu menerusi perkongsian video.

Kenangan... Khairina (kiri) bersama arwah bapa.

Berkongsi cerita dengan lebih lanjut, Nur Khairina Alisha Razali berkata, bapanya meninggal dunia pada 2017 akibat kemalangan, manakala ibunya menghembuskan nafas terakhir dua tahun kemudian pada 2019 kerana penyakit pneumonia.

Berusia 23 tahun, dia mengakui kehilangan ibu bapa merupakan sesuatu yang sukar dan sangat sakit dalam kehidupan seseorang.

"Saya kena berdamai dengan situasi. Ambil masa lama untuk pulih walaupun sudah bertahun-tahun mama dan papa pergi.

"Tapi saya kena cuba juga walau apa juga keadaan. Mama dan papa jugalah kekuatan untuk terus hidup tanpa kasih sayang mereka," katanya kepada mStar.

Menurut Khairina, semangat arwah ibunya kuat walaupun sakit.

Mengulas lanjut Khairina berkata, ibunya menghidap penyakit tiga serangkai iaitu penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi bebelan ibu, yang ada cuma 'sakit rindu'! Anak beli bunga, tulis 1,000 kad untuk wanita-wanita di mall

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini korbankan kerja dan impian demi jaga ibu sakit di kampung, tapi bapa pergi dulu selepas buat 3 permintaan - "Terakhir ayah minta tidur sebelah mak"

"Akibat penyakit kencing manis, sebelah kaki mama terpaksa dipotong pada 2018, selepas tu sebelah kaki lagi kena potong pada 2019.

"Mama selalu keluar masuk wad tapi dia sangat supportive. Dalam keadaan begitu, mama suka bergurau dan ketawa. Semangat dia kuat walau tak ada kedua-dua kaki," ujarnya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Ketika menamatkan pengajian Diploma Sains Aktuari di UiTM.

Mengenai arwah bapa, anak sulung daripada tiga beradik itu berkongsi tentang pengorbanan terhadap keluarga dengan mencari rezeki sebagai pemandu lori.

"Sebabkan kerja papa, dia jarang berada di rumah kerana selalu outstation bawa lori perabot ke sana ke sini. Tambahan pula saya ketika itu belajar di sekolah berasrama di Terengganu.

Ambil masa lama untuk pulih walaupun sudah bertahun-tahun mama dan papa pergi.

NUR KHAIRINA ALISHA RAZALI

ANAK

"Namun dalam kesibukan papa bekerja, dia pernah singgah ke asrama untuk menghantar dua helai seluar bagi menggantikan seluar lama saya yang dah koyak.

"Keluarga saya bukan orang senang, pakai pakaian sampai lusuh dan koyak. Seronok jumpa papa dan tak sangka dia sanggup datang dari Batu Pahat ke Terengganu, kebetulan ada urusan kerja di Pantai Timur,” katanya yang merindui masakan kuetiau kerang arwah ibunya.

Khairina (dua, kiri) bersama nenek saudara (belakang, kanan) serta dua adik lelakinya.

Imbas Khairina yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu, bapanya seorang yang sangat mengutamakan keluarga dan akan memastikan keperluan mereka mencukupi walaupun sibuk dengan kerja.

Walau bagaimanapun, jauh di sudut hati Khairina, dia berasa terkilan kerana tidak dapat membahagiakan ibu bapanya dengan kesenangan.

"Saya pernah kata nanti dah ada kerja, ada duit nak bawa mama papa jalan-jalan, termasuk menunaikan umrah atas permintaan mereka.

"Tapi hasrat mereka tak kesampaian dan saya tunaikan melalui upah umrah (badal umrah). Moga saya dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci pula untuk mengerjakan umrah.

"Saya juga mahu mencari pekerjaan yang bagus dan mahu menanggung pembiayaan pendidikan adik-adik saya. Itu juga sebahagian daripada kesenangan untuk keluarga," katanya mengenai dua adik lelaki masing-masing berusia 15 dan lapan tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain