suria

Tiada lagi bebelan ibu, yang ada cuma ‘sakit rindu’! Anak beli bunga, tulis 1,000 kad untuk wanita-wanita di mall

Leah (baju hitam) mengedarkan kad berserta sekuntum bunga. foto ihsan Leah / twitter Acapbad

RAMAI pengunjung wanita di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya, Selangor, pada Ahad lalu dikejutkan dengan pemberian sekeping kad berserta sekuntum bunga gerbera.

Siapa yang tak gembira mendapat bunga, kan? Sudahlah cantik, diterima pula dalam keadaan tidak disangka-sangka.

Namun, keterujaan bertukar sayu saat penerima membaca kapsyen yang ditulis tangan pada kad - "Semua kenangan kembali, tapi dia tak pernah kembali. Dalam ingatan penuh kasih sayang buat Norehan. Pergi terlalu cepat... mengenang Norehan."

Bunga berserta kad itu datangnya daripada seorang wanita, Ellia Mohd Rosli sempena sambutan Hari Ibu, Ahad lalu.

Ucapan tulisan tangan yang mengundang sebak. twitter Acapbad

Berkongsi cerita kepada mStar, Ellia atau lebih mesra disapa Leah berkata, ibunya yang menghidap kanser paru-paru tahap empat meninggal dunia pada 2001.

Menurut Leah, walaupun ketika itu usianya baru 16 tahun dan masih di bangku sekolah tetapi sudah menerima berita yang amat mendukacitakan iaitu pemergian ibu tersayang.

"Semasa hayatnya, saya selalu beli bunga dan hadiahkan pada arwah mak. Saya masih ingat lagi bunga pertama yang diberi adalah ros merah jambu.

"Menjadi kebiasaan sejak dulu, saya dan mak sering bertukar hadiah terutama pada hari-hari istimewa.

"Pemberian bunga ini dibuat sejak 11 tahun lalu. Dari suka-suka kini menjadi tradisi. Saya dah tak ada mak, jadi saya hargai ibu-ibu dan bakal ibu di luar sana," katanya kepada mStar.

Perkongsian Leah di Twitter mengundang sebak netizen. twitter Leah_ross

Memasuki tahun kesembilan, Leah yang berusia 39 tahun berkata, tahun ini dia melakukan kelainan dengan menulis sendiri setiap kad yang disertakan dengan sekuntum bunga.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini korbankan kerja dan impian demi jaga ibu sakit di kampung, tapi bapa pergi dulu selepas buat 3 permintaan - "Terakhir ayah minta tidur sebelah mak"

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak jaga macam arwah mak, adik nangis nak tinggalkan kampung! Sempat beri 'pesanan penting' sebelum naik bas

"Sempena sambutan Hari Ibu pada bulan ini, saya menulis sendiri pada hampir 1,000 kad dan mengambil masa lebih sebulan untuk disempurnakan.

"Saya menyukai cara-cara yang kreatif, suka menulis dan melukis. Saya tulis bila ada masa lapang sampai ke malam, tertidur-tidur," ujarnya sambil menambah tradisi tersebut ditangguhkan selama dua tahun sebelum ini berikutan pandemik Covid-19.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, pemberian bunga tersebut dilakukan dengan kerjasama adik lelakinya yang berusia 32 tahun dan rakan-rakan karib yang turut disertai kanak-kanak.

Antara perkongsian netizen mengenai pemberian bunga tersebut. twitter Acapbad

Mengenang arwah ibunya, Allahyarham Norehan Zainal, kata Leah, sebelum ini banyak momen yang menyentuh perasaan sehingga dia menitiskan air mata setiap kali pemberian bunga.

"Setiap tahun saya pasti menangis, atau mereka yang menerimanya juga akan bergenang air mata. Semua excited sehingga sebak apabila baca kad di bahagian akhir.

"Ada yang teringat semula pemergian ibu masing-masing dan ada ibu terbayangkan anak-anak mereka, adakah mereka juga akan dikenang apabila tiada suatu hari nanti," katanya yang berterima kasih dan menghargai rakan-rakan yang sudi menjayakan tradisi tersebut.

Kita akan belajar merindui seseorang daripada kehilangan.

ELLIA MOHD ROSLI

Menyifatkan ibunya sebagai tegas tetapi sentiasa menyokong apa jua yang dilakukannya, dia turut dididik untuk melakukan aktiviti kebajikan serta menyayangi haiwan.

"Pesanan arwah mak yang paling saya ingat, dia kata, biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Dan paling saya rindu tentang mak adalah bebelan dia.

"Dulu masa muda-muda, zaman remaja ada nakalnya, mak memang kuat membebel. Tapi bila ingat balik pesanan ibu, ada benarnya dan dia banyak mendidik saya," katanya.

Kenangan Leah bersama arwah ibu. foto ihsan Leah

Leah yang merupakan pengusaha kepada pusat perlindungan haiwan mengakui tidak mudah apabila kehilangan seseorang yang tersayang seperti ibu.

"Kita akan belajar merindui seseorang daripada kehilangan. Sukar untuk melaluinya tapi percayalah, kita akan melangkah ke hadapan tetapi tetap akan mengenangkan mereka yang telah pergi.

"Kepada mereka yang masih ada mak ayah, hargai setiap momen. Ambillah gambar dan video seberapa banyak yang boleh sebagai kenangan kerana jika mereka tiada nanti, itulah kenangan yang kita ada selain doa," katanya mengakhiri perbualan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain