suria

Satu Bukit Bintang tengok! Graduan UiTM berjubah konvo ‘catwalk’ depan Pavilion, memang ‘vibes’ lain macam

Idea Faiz untuk melakukan sesi fotografi sempena konvokesyen di Bukit Bintang curi perhatian ramai.

SESI fotografi sempena hari graduasi biasanya dirakamkan bersama rakan-rakan seperjuangan dengan berlatarbelakangkan fakulti ataupun lokasi ikonik di dalam tempat pengajian.

Momen itu bakal menjadi sejarah yang akan dikenang sampai bila-bila kerana selepas itu masing-masing akan membawa haluan sendiri.

Namun, berbeza bagi Muhammad Faiz Syafiq Rohaimi, 26, apabila dia memilih untuk merakamkan detik kejayaan menamatkan pengajian bersama isteri, Nur Haidah Batrisyia Hairol, 26, dan cahaya mata mereka, Erden Mikhail Haiz Muhammad Faiz Syafiq.

Walau bagaimanapun ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, jauh di sudut hati dia mahu rakan-rakannya turut serta namun faktor masa jadi penghalang.

"Saya dah habis belajar pada tahun 2021 tapi disebabkan PKP, kami terpaksa tunggu dua tahun untuk majlis konvokesyen. Mula-mula memang dah nak shoot (bergambar) dengan kawan-kawan. Tiba-tiba semua senyap saja tak ada respons.

ARTIKEL BERKAITAN: Graduan gigi rongak gamatkan majlis konvo... Rupanya di sebalik senyuman ada kisah ngeri, 3 hari terlantar di hospital

ARTIKEL BERKAITAN: Hasrat menyanyi di majlis konvokesyen sendiri tercapai, Nuha Bahrin tamat pengajian dengan kelas pertama

"Lagipun ada yang duduk jauh di Perak, ada yang kerja dan ada yang cakap pakej tu mahal. Jadi saya faham masalah mereka, saya buat keputusan teruskan juga. Saya tahu ni konvokesyen terakhir dalam hidup saya.

"Lepas ni dah tak ada memori indah macam ni. Dalam mind set saya, duit boleh cari tapi memori indah ni tak akan dapat semula," kata Faiz ketika dihubungi mStar.

Keletah si kecil turut mencuri tumpuan.

Terdahulu, video dan gambar sesi fotografi Faiz dan keluarganya menjadi tumpuan pengguna TikTok hingga meraih lebih 417,000 jumlah tontonan setakat ini.

Lebih istimewa apabila mereka memilih lokasi tumpuan ramai iaitu di sekitar pusat beli-beli Pavilion Kuala Lumpur untuk bergambar.

Hasilnya memang membuatkan ramai kagum malah ada yang bercadang mahu melakukan sesi fotografi seumpama itu di lokasi sama.

WhatsApp Image 2023-05-27 at 7.35.43 PM

Faiz memilih Bukit Bintang sebagai lokasi fotografi sempena konvokesyen.

Bercerita lanjut tentang momen istimewa itu, Faiz berkata dia bersyukur kerana isterinya yang merupakan pengusaha bisnes kek sepenuh masa sudi melayan permintaannya untuk bergambar di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

"Lagipun isteri saya memang suka bergambar. Dulu semasa belajar peringkat diploma saya photoshoot dengan kawan-kawan. Jadi kali ni saya nak buat kelainan untuk photoshoot dengan famili.

Duit boleh cari tapi memori indah ni tak akan dapat semula.

MUHAMMAD FAIZ SYAFIQ

"Malah isteri saya juga menjadi pembakar semangat untuk berjaya di peringkat ijazah. Saya berkahwin masa tengah belajar lagi. Kami buka perniagaan bersama-sama.

"Tapi masa saya ada ujian atau peperiksaan dia akan 'pulun' seorang diri. Saya hanya dapat bantu sikit-sikit saja. Saya memilih Bukit Bintang di Kuala Lumpur untuk photoshoot sebab kawasan situ memang lighting (pencahayaan) dia cantik-cantik.

"Dekat situ nampak suasana bandar moden. Pada waktu malam pun senang nak shoot dengan cahaya lampu yang ada dekat sana," ujarnya yang mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu.

Pasangan ini sudah berkahwin sejak dua tahun lalu.

Menurut Faiz yang kini meneruskan kerjaya sebagai jurutera, dia sangat berpuas hati dengan hasil fotografi menggunakan khidmat seorang jurugambar profesional pilihannya.

Malah dia yang menetap di Klang, Selangor berasa terharu apabila menerima pelbagai pujian daripada netizen.

"Lepas video tu viral, ramai yang suka tengok hasilnya. Saya sendiri puas hati dengan gambar-gambar yang diterima.

Ahli keluarga Faiz.

"Selama tiga tahun belajar, memang agak mencabar. Lebih-lebih lagi masa pembelajaran secara dalam talian sebab bukan senang nak belajar apabila pensyarah tak ada depan mata. Setahun saja saya sempat belajar di dalam kelas.

"Bagi saya utamakan keluarga dalam ada jua kita lakukan tu penting. Sebab waktu susah senang memang mereka yang ada dengan kita selain kawan atau sahabat.

"Kawan-kawan datang dan pergi tapi keluarga kita memang tiada ganti," ujar Faiz menutupi kisahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain