suria

Kek premium harga rahmah! Hari pertama jual dari but kereta, esoknya buka meja 30 biji licin tak sampai 2 jam

Azrehan berniaga kek di tepi jalan berdekatan Tasik Lakefront Homes, Cyberjaya.

KETIKA ini, kafe berkonsepkan hipster boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Selain dekorasi menarik sebagai 'port' bergambar yang menjadi tarikan, sudah pastinya pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk bersantai sambil menikmati minuman dan aneka kek atau pencuci mulut yang menjadi 'signatur' sesebuah kafe.

Namun, tidak dinafikan harga bagi setiap menu di kafe sebegini agak mahal dan tidak semua orang mampu mengunjunginya.

Menyedari perkara tersebut, wanita ini tampil dengan idea untuk menjual kek pada harga mampu milik agar dapat dinikmati setiap golongan.

Bayangkan, kek dengan menggunakan bahan premium hanya dijual pada harga RM5 sepotong!

ARTIKEL BERKAITAN: Kek premium, harga psiko! Lulusan universiti ‘redah’ buka gerai ala bakeri di tepi jalan... lebih 50 kek ‘licin’ tak sampai setengah hari

ARTIKEL BERKAITAN: Baru buka tak sampai seminggu, gerai kek di laman rumah asyik kena serbu... laksa air tangan ibu pun padu!

Berkongsi cerita dengan mStar, Azrehan Zakaria, berkata idea untuk mengetengahkan konsep 'kek premium tapi mampu milik' ini tercetus daripada pengalamannya yang mempunyai hobi 'cafe-hopping'.

"Saya suka pergi kafe dan menikmati kek. Tapi biasanya harga untuk sepotong kek berbelas ringgit dan saiznya besar.

"Saya pula nak makan sikit saja kerana nak merasa kek-kek yang sedap. Tapi kalau beli banyak, berapa dah duit yang kita kena keluarkan.

kek 2

Kek Azrehan mendapat sambutan sehingga licin pada hari kedua jualan.

"Sebab itu timbulnya idea untuk saya jual kek pada harga RM5 sepotong. Jadi pelanggan boleh beli beberapa jenis kek untuk rasa serba satu tapi tak perlu belanja banyak," ujar wanita yang merupakan 'baker' sepenuh masa ini.

Menurut Azrehan, kek yang dihasilkannya adalah bersaiz enam inci dan sangat berbaloi dijual pada harga RM5 meskipun menggunakan bahan premium.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, dia baru mencuba nasib menjual kek di tepi jalan berdekatan Tasik Lakefront Homes, Cyberjaya, sejak tiga hari lalu.

"Saya ada baking studio di mana ia tempat untuk saya siapkan kek 'custom made' tempahan pelanggan, tapi lokasinya tak sesuai kalau nak jual kek di situ.

"Jadi saya saja berniaga dekat tepi jalan berhampiran Tasik Lakefront Homes... kebetulan hari pertama berniaga, ramai sangat orang berjualan, jadi saya hanya jual dari but kereta.

Saya berimpian nak buka kafe yang menawarkan harga mampu milik dengan kualiti premium, InsyaAllah.

AZREHAN ZAKARIA

"Saya saja buat video untuk menguar-uarkan kepada pengikut Instagram, tapi tak sangka dapat sambutan ramai. Selepas video itu viral, pada hari kedua saya berniaga dan kali ini buka meja, kesemua 30 biji kek licin!" ujarnya lagi.

Azrehan menambah, ada antara pelanggan yang memborong setiap jenis kek yang dijualnya.

"Buat masa ini saya buat 11 jenis kek antaranya seperti rainbow cake, Nutella chocolate, raspberry pistachio chocholat, Biscoff russian, Biscoff burnt cheese, red velvet cheese dan Nutella burnt cheese.

"Alhamduillah, kek habis terjual kurang dua jam. Kalau sambutannya makin hangat, insyaAllah saya tambahkan production kek," ujarnya lagi.

Mula menceburi diri sebagai 'baker' pada 2020, Azrehan sama sekali tidak menyangka video yang dimuat naik di Instagram baru-baru ini memberi impak kepada bisnes kecil-kecilannya.

kek 3

Antara pelanggan yang 'memborong' kek Azrehan.

"Terharu sangat bila baca komen orang yang tanya buka dekat mana, pukul berapa, beritahu nak singgah, beri feedback yang positif. Semua itu makin membakar semangat saya untuk terus ke hadapan dalam bidang ini.

"Sebelum ini saya hanya 'baking' di studio saja, kini saya beranikan diri ambil satu langkah untuk berdepan dengan pelanggan face to face.

"Berniaga tepi jalan ini dikira sebagai permulaan sebab impian saya adalah untuk memiliki kafe kecil untuk jual kek hasil air tangan sendiri.

"Sama seperti konsep sekarang, saya berimpian nak buka kafe yang menawarkan harga mampu milik dengan kualiti premium, InsyaAllah," akhirinya.

Untuk rekod, video yang dimuat naik Azrehan menerusi Instagram Reels meraih 20,500 jumlah tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain