suria

Mat salih tahu jaga adab, minta kebenaran sebelum pasang khemah... Perbualan dengan pakcik Terengganu buat ramai kagum!

Mat salih ini berbasikal masuk ke Malaysia dan terharu dengan layanan yang diterima.

KUNJUNGAN pelancong asing sudah tentu membanggakan rakyat Malaysia.

Ia menandakan negara merupakan destinasi pilihan masyarakat antarabangsa dan industri pelancongan tanah air juga terus membangun pesat.

Lebih menambat hati warga tempatan adalah apabila para pelancong cuba mendekati budaya setempat dan menghargai keunikannya.

Lelaki daripada Perancis ini sedang merantau di sekitar Malaysia.

Begitulah kisahnya melalui satu video tular di TikTok apabila seorang pengembara mat salih dilihat tidak kekok untuk berbahasa Melayu dengan seorang lelaki lanjut usia.

"Malam, bolehkah saya berkhemah di sini?" tanya lelaki itu yang dikenali sebagai Boru McCullagh dengan sedikit gagap.

Boru ternyata sedang meraih dana untuk kempen kesihatan mental dengan berbasikal daripada Perancis merentasi benua Eropah serta Asia dan kini telah tiba di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Dekat-dekat 20 minit belek menu, rupanya mat salih Belanda tak reti pesan makan... Mujur pemuda Malaysia muncul jadi hero di Yogykarta

ARTIKEL BERKAITAN: Lain macam selera minah salih! Ketagihan... mahu lebih banyak petai dalam hidangan Malaysia

Dalam video itu, Boru dilihat mencari tempat perteduhan untuk bermalam kerana dia mengembara secara 'backpackers' dan tidak menginap di hotel atau inap desa.

Di ruangan kapsyen, Boru memaklumkan dia sedang berada di Pantai Paka, Terengganu.

"Boleh, no problem, situ boleh (pantai), sini boleh. Seorang sahaja ke? kata pakcik itu dengan penuh ramah.

Malaysia adalah negara dengan 33.57 juta senyuman.

BORU MCCULLAGH

"Iya, satu orang. Terima kasih," balas Boru dengan sedikit pelat.

"Enjoy it here," ujar pakcik itu mengalu-alukan kedatangan Boru.

Selesai meminta kebenaran, Boru meneruskan kayuhan ke tempat yang dirasakan sesuai untuk didirikan khemah pada malam tersebut.

"Ah perfect," kata Boru sambil berbasikal menikmati keindahan di sepanjang persisir Pantai Paka.

Sudah cukup terharu dengan layanan baik yang diterimanya, Boru seterusnya dikejutkan pula dengan tawaran untuk meminum air kelapa daripada seorang lagi warga tempatan.

Lelaki ini mengajak Boru untuk meminum air kelapa.

"Mahu minum, water?" kata lelaki itu sambil mempelawa Boru untuk mengikutnya ke sebuah gerai makan.

Boru kemudiannya dihidangkan dengan sebiji kelapa yang sudah siap dikupas dan lengkap dengan penyedut minuman serta sudu untuk mengaut isinya.

"Terima kasih, thank you, that is so nice of him... that is so refreshing," ujar Boru bersyukur tak terhingga.

Boru dihidangkan dengan air kelapa muda.

Dalam satu hantaran lain, Boru sempat meluahkan bahawa dia senang untuk membuat kenalan baharu di Malaysia kerana orangnya yang tidak pernah lekang dengan senyuman.

"Sebelum sampai ke Malaysia, saya ada singgah di Thailand selama sebulan, ia dikenali sebagai negara dengan ribuan senyuman.

"Tapi saya rasa Malaysia adalah negara dengan 33.57 juta senyuman. Ia sudah seperti rumah kedua saya.

"Saya akan berehat di sini sedikit lama sebelum menyambung perjalanan. Saya juga akan mempelajari bahasa Melayu sementara itu," tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya menghargai kesopanan Boru untuk meminta izin sebelum melakukan aktiviti di kawasan tanah persendirian.

"Awak merupakan seorang traveller yang sangat beradab, memang terbaik, selalu minta kebenaran sebelum nak buat apa-apa.

"Bahasa Melayu awak sangat bagus untuk seorang pemula," kata warga maya.

Sebahagian komen warga maya.

Warga maya yang lain pula menzahirkan kekaguman dengan kebolehan penduduk tempatan di sekitar Pantai Paka untuk berbahasa Inggeris.

"Saya bangga dengan orang kampung saya yang sangat baik dan santun kepada orang luar serta pelancong.

"Aku terpesona, pakcik dan makcik berniaga gerai pun boleh balas perbualan dengan bahasa Inggeris mudah.

"Terbaik pakcik, anda duta kecil Malaysia.

"Pakcik ni speaking weh, memang mantap," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain