suria

Anak balik sekolah, ibu sakit kepala! Rezeki guru dapat hadiah rare, pemberi ikhlas tiada niat perli - “Cikgu pun macam mama, hari-hari pening”

Minyak angin yang dijadikan sebagai hadiah sempena Hari Guru.

BUKAN setakat para pelajar, mak ayah juga teruja meraikan sambutan Hari Guru yang disambut pada Selasa.

Mana tidaknya, ibu bapa turut sibuk membuat persiapan untuk menghargai guru kepada anak mereka dalam pelbagai cara.

Tular di media sosial mengenai seorang ibu yang memberikan hadiah unik berupa minyak angin Cap Kapak yang dihiasi dengan reben merah jambu.

Hadiah minyak angin turut dihiasi dengan reben merah jambu.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, ibu berkenaan, Nurul Nadia Faeza Mohd Hassan berkata, dia membuat persiapan hadiah tersebut untuk tiga anaknya masing-masing berusia lapan, tujuh dan lima tahun yang bersekolah.

Bermodalkan RM2.50 sekotak, katanya, tiga anaknya itu menghadiahkan minyak angin tersebut kepada 40 guru di sekolah rendah dan tabika, termasuk tiga guru tuisyen.

"Semuanya bermula apabila salah seorang anak balik dari sekolah beritahu esoknya (16 Mei) ada sambutan Hari Guru. Saya terkejut sebab ingatkan sambutan tersebut digabungkan dengan majlis Hari Raya yang diadakan di sekolah hari ni (Khamis).

"Sebagai ibu, walau macam mana pun, saya ajar anak-anak supaya menghargai orang termasuklah guru-guru mereka yang banyak berjasa," katanya ketika dihubungi mStar.

Hadiah minyak angin sebagai tanda penghargaan.

Wanita berusia 41 tahun itu memberitahu, tahun lalu dia menyediakan mi bandung Muar untuk sambutan Hari Guru.

ARTIKEL BERKAITAN: "Jangan buka sekarang, saya malu" - Guru tak akan lupa bisikan murid yatim pada hari jadinya, meruntun hati tengok hadiah dalam kotak kasut

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak kategori dipertandingkan, satu anugerah pun tak sangkut! Cikgu tak kecewa, hanya mahu murid berjaya dunia akhirat

"Tahun lalu cuma dua anak saja yang bersekolah dan hanya 10 guru yang terlibat. Jadi, saya masaklah mi bandung Muar. Tapi untuk sambutan Hari Guru tahun ini ada 40 orang.

"Kalau saya masak juga nanti jadi macam kenduri pula. Nanti kasihan pula anak-anak nak bawa sebanyak itu untuk guru-guru mereka.

Saya dan suami mendidik anak-anak supaya menghargai orang kerana penghargaan itu penting.

NURUL NADIA FAEZA MOHD HASSAN

IBU

"Kebetulan masa anak beritahu mengenai Hari Guru, saya tengah pening kepala dan pegang sebotol minyak angin. Anak kemudian cadangkan untuk hadiahkan minyak angin juga.

"Anak cakap 'cikgu pun macam mama, hari-hari pening kepala'. Saya fikir bagus juga idea tu lebih-lebih lagi sekarang cuaca panas, mudah pening kepala," ujarnya yang berasal dari Muar, Johor.

Antara reaksi guru yang menerima hadiah.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia tiada niat untuk menyindir guru-guru menerusi pemberian hadiah tersebut sebagaimana komen yang dilontarkan segelintir netizen.

"Bukan nak perli. Saya lebih memikirkan hadiah yang boleh digunakan guru-guru tanpa pembaziran. Kalau hadiahkan pen, pasti ramai murid buat perkara sama.

"Nanti tak terpakai. Lagipun minyak angin dibeli pada harga yang berpatutan dan memudahkan anak-anak saya membawanya ke sekolah. Benda penting dan murah," katanya yang lebih dikenali sebagai Bonda Soffi susulan anak sulungnya yang berusia lapan tahun merupakan anak istimewa Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD).

Nurul Nadia dan suami mendidik anak-anak supaya menghargai orang lain.

Dia yang merupakan suri rumah turut menegaskan bahawa menghargai seseorang yang banyak berjasa seperti guru tidak semestinya perlu diberikan hadiah.

"Contohnya, anak-anak boleh je buat satu kad atas usaha sendiri lukis-lukis atau conteng-conteng tulis terima kasih cikgu pun dah cukup. Percayalah cikgu-cikgu hargai.

"Sebab fitrah manusia suka dihargai, bukan setakat cikgu. Saya sebagai ibu pun mahu dihargai, begitu juga anak-anak. Jadi, saya dan suami mendidik anak-anak supaya menghargai orang kerana penghargaan itu penting,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain