suria

Ajal menanti... isteri ajak keluar hadap ‘jam’ rupanya nak cipta memori! Suami terkedu dengar balik rakaman suara dalam kereta

Bob berkongsi kenangan antara rakaman video terakhir arwah isteri.

"RAKAM... buat kenangan untuk tahun depan. Manalah tahu kalau takdir saya pergi dulu, ada juga kenangan."

Itulah antara kata-kata terakhir seorang isteri yang dirakamkan secara kebetulan sebelum dia meninggal dunia.

Siapa sangka video tersebut benar-benar menjadi antara tinggalan kenangan buat seorang lelaki apabila isteri kesayangannya itu dijemput Ilahi.

Masih sedih dengan pemergian isteri, Mohd Saat Isa berkata, video tersebut dirakamkan pada Hari Raya kedua lalu di dalam kereta yang dipandunya.

Lelaki berusia 41 tahun itu bagaimanapun hanya menyedari kewujudan video tersebut sewaktu isterinya dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung.

"Masa tu hari ketiga arwah isteri terlantar di hospital, saya periksa telefon dia dan terjumpa video tu. Memang saya berada dalam kereta ketika itu (rakaman), tapi kerana melayan isteri sambil memandu, saya tak sedar pun yang dia rakam video.

"Isteri sebenarnya tidak suka menghadap kesesakan lalu lintas walaupun saya yang memandu, katanya penat. Lebih-lebih lagi masa raya tu banyak kereta di jalan.

"Tapi peliknya dia ajak saya keluar petang raya tu. Katanya bosan, jom nak menghadap jammed. Selalunya jammed dia memang tak nak naik kereta," katanya berkongsi cerita kepada mStar.

arwah isteri 3

Isteri Bob meninggal dunia akibat serangan jantung.

Lebih mesra disapa Bob, dia mengakui terkejut saat mendengar petikan di akhir video tersebut dan tidak menyangka ia menjadi kenangan bersama isterinya yang meninggal dunia pada 12 Mei lalu selepas lapan hari dimasukkan ke hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan muda mulakan hidup dengan RM200, tidur beratap bocor! Tak apa tak cukup makan, jangan anak sakit

ARTIKEL BERKAITAN: Suami jual motor nak berniaga air balang di bazar, baru mula bisnes dah sakit seminggu... isteri harap dapat balik modal sebelum raya

"Allahuakhbar, luluh hati saya masa dengar apa yang dia cakap dalam video tu. Di saat itu dia tengah menghadap sakit dengan keadaan tak sedar, dan selepas itu ditidurkan.

"Tak sangka apa yang dikatakannya sebagai gurauan itu menjadi petanda. Mungkin dia dapat rasa akan pergi, saya tak tahu," ujarnya yang berasal dari Parit, Perak Tengah.

Pasangan ini menempuhi pelbagai ujian sejak mendirikan rumah tangga pada 2015.

Bercerita lanjut mengenai isteri, Allahyarham Nazira HasHim, 37, kata Bob, kehidupan mereka diuji sejak awal perkahwinan.

"Kami kahwin pada 2015. Isteri saya kemudian disahkan menghidap penyakit kencing manis, kena jalani pembedahan potong sebelah kaki pada 2016, dan tahun berikutnya 2017, potong sebelah kaki lagi.

Sehingga akhir hayat isteri, kami memang banyak bersabar mengharunginya bersama.

MOHD SAAT ISA

SUAMI

"Selepas itu dia ada masalah buah pinggang, saya bawa dia pergi dialisis setiap minggu. Dia juga tak berapa nampak, jadi pergerakannya hanya bergantung pada kerusi roda dan saya dukung," katanya yang merupakan pengawal keselamatan.

Bagi Bob, walaupun bergelar orang kurang upaya (OKU) dan terhad pergerakan, isterinya sedaya-upaya berdikari dan pada masa sama amat mengambil berat akan dirinya.

arwah isteri 4

Dalam kenangan... Allahyarham Nazira Hashim.

"Isteri paling risau kalau saya sakit. Selama lapan tahun kahwin, saya yang jaga dia. Kalau saya sakit, siapa nak uruskan dia, mandikan dia, cuci najis dia, angkat dan dukung dia?

"Bukan saja ambil berat pasal saya, dia juga prihatin pada keluarganya. Kami suami isteri bukan hidup senang, tapi isteri saya sedaya-upaya cuba berkongsi rezeki dengan keluarganya.

"Mungkin rezeki isteri, walau susah, kehidupan kami dipermudah. Sehingga akhir hayat isteri, kami memang banyak bersabar mengharunginya bersama.

"Kepada suami atau isteri yang ada pasangan yang sakit atau OKU, percayalah pada rezeki. InsyaAllah ada rezeki. Yang penting, kita sentiasa ambil berat pada pasangan kita walau sesusah mana pun kehidupan kita," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain