suria

Pelajar miskin terlepas flight... ‘licin’ duit belanja, PTPTN beli tiket baharu! Kini cuma ada RM15, yang penting dapat ke kelas

Haziq terpaksa membeli tiket baharu gara-gara terlepas penerbangan disebabkan tersilap menunggu di balai berlepas.

SUDAH jatuh ditimpa tangga!

Sudahlah terlepas penerbangan pulang dari Kuching, Sarawak ke Kuala Lumpur pada Isnin, pemuda ini terpaksa pula membeli tiket baharu pada hari sama.

Ketika dihubungi mStar, Nurhaziq Haikal Najmie Norazi, 21, menceritakan tentang nasib malangnya apabila tersalah menunggu di balai berlepas dan dia akhirnya terlepas penerbangan pulang ke kolejnya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, Perak yang dijadualkan pada jam 3.25 petang.

“Saya tiba di lapangan terbang awal dalam dua jam. Saya check-in barang dan dapatkan boarding pass. Kemudian saya duduk di gate awal sebelum penerbangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda kongsi detik cemas pesawat dari Langkawi dilanda turbulence dahsyat, auto ingat mati selepas 40 minit ‘kaku’ di udara

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan ambil mudah, ini 6 kesilapan kecil yang sering berlaku ketika tempah tiket kapal terbang

“Tiba-tiba ketika beratur, mereka cakap saya terlepas penerbangan dan barisan itu adalah untuk penerbangan ke Pulau Pinang. Walaupun saya dah tunggu di gate betul mereka cakap gate sebenarnya dah bertukar.

“Kemudian, saya pergi ke imigresen untuk maklumkan saya terlepas penerbangan. Mereka pun terkejut sebab saya datang awal. Mereka sendiri cakap selalu terjadi kes seperti ini,” katanya mengimbas kembali apa yang terjadi.

Haziq bersama ibunya ketika dihantar ke lapangan terbang.

Namun, pelajar semester dua jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani ini berkata pihak pengurusan menjelaskan apa yang berlaku merupakan salahnya sendiri.

Kejadian ini menyebabkan dia terpaksa membeli tiket baharu pada harga RM1,088 untuk menaiki penerbangan seterusnya menggunakan semua wang simpanan dan duit Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut Haziq yang menetap di Kampung Santubong, Sarawak, tiket penerbangan asal pergi dan balik ke Upsi sebelum ini ditanggung oleh seorang pensyarah bagi membolehkan dia pulang beraya dengan keluarga.

Haziq berkongsi foto suasana ketika beratur di lapangan terbang.

“Saya tak beritahu ibu fasal terlepas flight tu. Cuma saya beritahu ahli keluarga lain saja. Mereka pun sedih dan risau macam mana nak cari duit tiket sebab masuk Upsi hari tu pun mak berhutang dengan orang nak tampung kos perbelanjaan saya.

“Saya bukan dari keluarga senang. Pendapatan mak pun hanya RM600 sebulan hasil duit pencen arwah ayah. Dengan duit itulah mak gunakan untuk tampung kehidupan kami dengan adik beradik masih belajar dan kakak saya yang OKU (Orang Kelainan Upaya) akibat barah otak.

“Nak tak nak terpaksa juga beli tiket sebab saya ada kelas pagi keesokan harinya. Sampai dekat Upsi ini saya kena ikat perut dan makan apa yang ada. Bagi saya ilmu lebih penting dari duit, saya tak pernah terlepas kelas walaupun sekali sebab takut ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Nak tak nak terpaksa juga beli tiket sebab saya ada kelas pagi keesokan harinya. Sampai dekat Upsi ini saya kena ikat perut dan makan apa yang ada.

NURHAZIQ HAIKAL NAJMIE

Sehingga kini, Haziq yang merupakan anak kedua daripada lima beradik memberitahu bahawa dia hanya memiliki duit poket berjumlah RM15.73.

Bagaimanapun, atas semangat mahu membanggakan keluarga, dia nekad untuk tidak berdiam diri sebaliknya mengambil inisiatif untuk berniaga demi kelangsungan hidup di negeri orang.

“Semester ni saya ada ambil subjek Budaya Keusahawanan jadi saya nak manfaatkannya dengan berniaga betul-betul untuk cari duit.

Haziq tiada pilihan melainkan membeli tiket baharu untuk pulang ke kolej.

“Modal untuk berniaga saya akan pinjam daripada kawan sebagai deposit. Saya akan usaha sendiri untuk cari duit, lagipun mak tak pernah ajar untuk saya meminta-minta pada orang lain.

“Saya pun perlu jaga adik-adik yang masih belajar. Pernah dulu adik mesej minta duit nak makan. Saya dahulukan duit sendiri sebanyak RM50 walaupun ada RM60 dalam akaun. Keutamaan saya adalah lebih kepada adik-adik,” ujarnya menutup cerita.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain