suria

Guna ‘skil cinta isteri’, Hafiz Mahamad buat kejutan lagi! Bagi bonus, bawa staf shopping raya... pekerja tak dihargai ex-boss dihadiahkan kereta

Hafiz (kanan) membuat kejutan hadiah kereta kepada seorang pekerja.

KEJUTAN demi kejutan, dan kali ini usahawan dan personaliti media sosial, Hafiz Mahamad mengejutkan salah seorang pekerjanya dengan pemberian hadiah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Carnival bernilai lebih RM200,000.

Bukan itu sahaja, Hafiz turut membuat kejutan kepada kira-kira 70 stafnya dengan mengajak mereka untuk 'raya awal' dengan pergi membeli-belah baju raya.

Malah, Hafiz turut menghadiahkan duit raya kepada semua pekerjanya pada hari sama!

Bercakap kepada mStar, Hafiz Mahamad atau nama sebenarnya Abdul Hafiz Harisuddin Mahamad berkata, hadiah kereta itu diberikan kepada seorang pekerjanya yang berkhidmat selama hampir tujuh tahun dan kini bertugas di bahagian pengurusan.

Hafiz dan Aina (tengah) bersama kakitangan pada hari kejutan.

"Staf tu sudah lama bekerja dengan saya dan kerjanya bagus. Pernah bekerja di syarikat besar, tapi tak dihargai. Dia kemudian bawa Uber sebelum kerja di syarikat saya yang ketika itu masih kecil.

"Dia pernah lepak dengan kawan-kawan lama. Ingatkan bolehlah lepaskan rindu tapi perbualan lebih kepada merendahkan dirinya kenapa kerja di syarikat kecil, pakai kereta apa.

"Jadi, saya hendak buktikan tanpa dia beli pun, syarikat boleh hargai dia dengan hadiahkan sebuah kereta. Alang-alang saya beri kereta raya boleh sambut bersama isteri dan anak-anak... model Kia Carnival berharga lebih RM200,000," katanya ketika dihubungi mStar.

Staf mendapat duit raya berupa bonus sebulan gaji dan token.

Hafiz yang berusia 30 tahun berkata, pada hari kejutan yang dilakukan pada Isnin, keadaan dirinya masih lemah selepas disyaki keracunan makanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Mahamad jaga kebajikan pekerja, rela tak ambil gaji... Pesan staf jangan 'fake' tunjuk gembira di media sosial

ARTIKEL BERKAITAN: Khairulaming ajak staf 'raya awal'! Bagi bonus, tutup kilang bawa semua pergi shopping... tolak demand sambal 3 kali ganda pada Ramadan

"Ikutkan masa tu saya masih lemah tapi selepas keluar dari hospital, saya gigihkan juga demi menggembirakan semua staf. Lagipun raya nak dekat dan semua pekerja akan bercuti.

"Setiap pekerja diberi duit raya berupa bonus sebulan gaji serta token. Saya dan Aina (isteri) bawa kesemua mereka pergi shopping raya," ujar usahawan dari Kota Bharu, Kelantan itu.

Selain bonus, Hafiz dan Aina (kanan) membawa pekerja membeli-belah baju raya.

Menurut Hafiz, dia sentiasa mengingatkan diri mengenai peranannya untuk menyayangi hamba Allah, sama ada menerusi kejutan, hadiah dan bantuan secara perseorangan atau berkumpulan.

Malah katanya, dia sebenarnya banyak belajar daripada membahagiakan isteri, Nursyafiqah Aina Abdul Wahab atau Syafiqah Aina, untuk menggembirakan orang lain.

Kalau saya dapat belajar menggembirakan isteri, insyaAllah saya tahu bagaimana hendak menggembirakan orang lain.

HAFIZ MAHAMAD

"Kalau saya dapat belajar menggembirakan isteri, insyaAllah saya tahu bagaimana hendak menggembirakan orang lain. Ia sebenarnya merupakan latihan buat saya.

"Dari setiap kejutan yang saya buat pada Aina, skil cinta saya kepada seorang wanita kini dapat menggembirakan orang lain termasuk pekerja-pekerja saya," kata Hafiz yang memenangi dua kategori iaitu Digital Influencer Tergempak dan trofi utama, Gempak Most Wanted Awards sempena Gempak Most Wanted Awards 2023, pada Februari lalu.

Kegembiraan pekerja selepas membeli-belah baju raya.

Bersyukur dapat mengembangkan perniagaan yang dibina selama hampir tujuh tahun, bapa kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi antara rahsia kejayaannya.

"Alhamdulillah, kira-kira 95 peratus pekerja saya masih bersama saya, hanya tiga pergi untuk career growth dan seorang meninggal dunia.

"Apa tip? Antara rahsianya adalah menghargai dan menggembirakan orang yang mana saya mendapat 'skil' itu daripada latihan saya menggembirakan Aina," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain