suria

“Kalau kawan tak cium tangan, dia akan cium” - Lucu gelagat murid pemalu agih ‘duit raya awal’ untuk rakan sekelas

Wanita kongsi video anaknya memberikan duit raya kepada rakan sekelas.

MENJELANG Hari Raya Aidilfitri, sesi mengagihkan duit raya merupakan 'acara' yang paling dinanti-nanti terutamanya bagi kanak-kanak.

Bagaimanapun, ada sesetengah daripada kita memilih untuk memberikan wang tersebut pada bulan Ramadan sebagai sedekah kerana pahalanya lebih berlipat ganda.

Begitulah yang dilakukan oleh Nur Athirah, 32, yang memberikan duit raya awal kepada rakan sekelas anaknya pada Isnin.

Momen pemberian sampul berisi duit raya oleh anaknya, Muhammad Amysar yang berusia tujuh tahun dirakam oleh gurunya sebelum dimuat naik ke laman sosial sehingga menjadi tular.

“Memang setiap tahun saya bagi duit raya dekat anak-anak untuk diberi kepada semua kawan di sekolah. Niat saya tu supaya mereka seronok dapat duit raya.

“Tahun ni cikgu yang rakam video tu minta mereka saling bersalaman. Tapi bila seorang budak dah mula salam cium tangan, semua ikut juga.

“Kalau kawan tak cium tangan, dia yang akan cium tangan kawan dia tu. Apa yang berlaku tu memang spontan saja, jadi lawak pula bila tengok balik,” katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Majikan mahu ‘beli jiwa’, 3 bibik naik helikopter bercuti di suite mewah... duit raya 10k hantar ke kampung masing-masing

ARTIKEL BERKAITAN: Kecewa anak dapat duit raya RM3 je, netizen ‘sekolahkan’ bapa tak reti bersyukur... Zaman ‘post pandemic’ orang bagi tu dah kira bagus

Menerusi video tular itu, dapat dilihat sekumpulan murid sedang beratur dan mereka mencium tangan Amysar selepas menerima duit raya.

Bagaimanapun, seorang daripada rakan sekelasnya yang memakai jam tangan biru menjadi perhatian apabila menghulurkan tangannya untuk dicium Amysar selepas menerima duit raya.

Bercerita lanjut, wanita yang senang disapa Tira ini menjelaskan bahawa niatnya berbuat demikian kerana ingin memberi pendedahan dan galakan kepada anak-anaknya supaya menjadikan sedekah sebagai amalan terutama pada bulan puasa.

Malah, sejak diajar tentang manfaat sedekah anak-anaknya kini lebih kerap meminta wang daripadanya untuk dimasukkan ke dalam tabung surau di sekolahnya di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Amysar dan adik beradik diberikan angpau untuk diagihkan pada rakan-rakan di sekolah.

Selain itu, Tira turut menjelaskan tujuannya berbuat demikian kerana mahu meningkatkan keyakinan diri anak keduanya yang bersifat pemalu supaya lebih mesra dengan rakan-rakan.

“Anak saya sekolah pada sesi petang jadi cikgu minta dia sendiri bagi dekat kawan-kawan selepas tamat waktu perhimpunan.

“Saya suruh anak sampaikan duit dekat kawan-kawan kelas dia sebab saya sangat hargai sesiapa saja yang sudi berkawan dengan Amysar... dia seorang yang pemalu.

“Lepas balik rumah, Amysar cakap dia malu masa hulurkan duit tu tapi dalam masa yang sama dia seronok sebab kawan-kawan gembira dapat duit raya awal,” ujarnya lagi.

Bagi Tira yang mengusahakan perniagaan Dapur Berasap sejak tiga tahun lalu, dia sendiri tidak menyangka video tersebut menjadi tular.

Bagi saya sendiri secara peribadi, memberi bukan sebab kita kaya, memberi sebab kita pernah rasa ‘tiada’.

NUR ATHIRAH

Enggan berkongsi jumlah sampul atau nilai wang diberikan, Tira yang menetap di Kepala Batas, Pulau Pinang berharap lebih ramai di luar sana bermurah hati untuk bersedekah di bulan Ramadan.

“Tujuan saya post video tu sebagai kenangan manis untuk kami semua tengok balik nanti. Kita sebagai ibu bapa pun seronok tengok anak-anak dan kawan-kawan mereka gembira dapat duit raya.

“Saya berniat untuk kongsikan rezeki sesama kita apatah lagi di bulan mulia penuh keberkatan ini. Dalam rezeki kita pun terselit rezeki orang lain juga. Kalau tak boleh bagi banyak, boleh bagi sikit saja janji ikhlas memberi.

Ahli keluarga Tira.

“Bagi saya sendiri secara peribadi, memberi bukan sebab kita kaya, memberi sebab kita pernah rasa ‘tiada’. Saya nak ambil kesempatan ini untuk ucapkan Selamat Hari Raya pada semua,” katanya menutupi kisah.

Untuk rekod, video tersebut telah ditonton lebih 600,000 jumlah tontonan setelah dimuat naik ke platform TikTok.

Dalam pada itu, gelagat ketika bersalam dengan rakan sekelas yang memakai jam tangan berwarna biru turut menjadi tumpuan netizen.

Komen netizen di TikTok.

"Nampak dekat sini (murid pakai) jam biru lagi tinggi pangkat ayah (ayahanda).

"Jam biru mesti ayahanda.

"Jam biru 'taiko'. Dia saja orang kena salam cium tangan," komen pelayar di TikTok.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain