suria

Tak sia-sia ‘oppa’ UiTM berjemur tengah panas, tugasan bunyi hon catat rekod tinggi! Ada juga sanggup henti kereta nak bertegur

Herry meminta pengguna jalan raya membunyikan hon.

SEORANG penuntut di sebuah universiti menjadi perhatian gara-gara meminta pengguna jalan raya membunyikan hon di kawasan kampus.

Segak memakai vest hijau sambil memegang tablet berdiri di tepi jalan, penampilannya dengan rambut coklat keperangan serta wajah tampan membuatkan dia dilabel persis artis Korea.

"Daripada belakang nampak macam oppa saranghae... kau jangan toleh dik.

"Abang inilah yang saya duk perhati dalam bas sebab comel gila dengan vest besar daripada badan," demikian antara komen netizen.

Untuk rekod permintaan jejaka itu agar orang ramai membunyikan hon merupakan sebahagian daripada tugasannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Herry menyukat bunyi bising di kawasan sekitar kampus.

Bercakap kepada mStar, pelajar bernama Herry Anak Kana itu berkata, pada hari berkenaan dia bersama rakan-rakan sekelas diminta untuk menyukat tahap bising di kawasan sekitar kampus.

"Kami diminta menyukat tahap bising di sesuatu tempat. Kami memilih tepi jalan raya kerana hon akan memberikan bacaan sukatan tahap bising yang tinggi.

"Saya pegang tablet tu sebab ada tulis 'tolong hon' sebagai isyarat kepada pemandu supaya membunyikan hon.

"Kalau bunyi bising tu tinggi, apa kesan yang tidak baik kepada orang-orang di sekitar. Bukan sahaja bunyi hon, malah bunyi enjin kenderaan juga disukat," kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam itu kepada mStar.

Tugasan turut dilakukan bersama rakan-rakan sekelas.

Menerusi video sekitar tugasan yang dimuat naik di TikTok sehingga meraih lebih 1.7 juta tontonan, pelajar berusia 24 tahun itu terpaksa ‘berjemur’ di tepi jalan selama kira-kira 30 minit.

ARTIKEL BERKAITAN: Sering kongsi kisah wanita dan cinta, tapi ramai lebih berminat tengok wajah ala bintang Korea jejaka ini - "Saya tanya kawan kena perli, malu"

ARTIKEL BERKAITAN: Sakan nenek minat K-drama bercuti ke Korea! Dah lawat lokasi shooting, ajak minum kopi pula... cucu suka K-Pop pun 'jealous'

"Mujur cuaca petang tu mendung, jadi tak panas atau berpeluh. Tugasan juga lebih mudah kerana semakin bising atau kuat bunyi, semakin tinggi ukuran desibel (unit ukuran untuk menunjukkan keamatan bunyi).

"Masa tu kami mendapat ukuran desibel paling tinggi iaitu102 bagi bunyi hon kenderaan. Kebanyakannya bunyi bising di jalan raya diukur tahap 80 ke atas mungkin waktu puncak pelajar dan petugas menaiki kenderaan balik dari kuliah," ujar anak kelahiran Sibu, Sarawak ini.

oppa uitm 5

Selain bunyi bising, Herry turut melakukan tugasan menyukat kelajuan kenderaan.

Anak ketiga daripada empat beradik ini hanya ketawa apabila segelintir netizen memanggilnya oppa kerana disamakan dengan wajah orang Korea Selatan.

"Ini bukan pertama kali. Kawan-kawan di UiTM pun kadang-kadang panggil saya oppa, mungkin kerana gaya dan warna rambut saya macam orang Korea selain mata sepet.

Mungkin kerana gaya dan warna rambut saya macam orang Korea selain mata sepet.

HERRY ANAK KANA

"Kawan-kawan pun tahu saya mengikuti lagu-lagu K-Pop terutama kumpulan Girl's Generation," katanya yang turut meminati pelakon dan penyanyi Yoona yang membintangi drama bersiri Big Mouth.

Herry yang gemar mengembara turut berkongsi pengalamannya ketika melakukan tugasan baharu di tepi jalan iaitu bagi menyukat kelajuan kenderaan.

oppa uitm 3

Menurut Herry, bukan pertama kali dirinya dipanggil sebagai 'oppa'.

"Kali ini saya tak pegang tablet tunjuk isyarat bunyikan hon sebab kami sukat kelajuan. Saya hanya pegang radar gun atau pistol kelajuan macam alat yang polis guna untuk operasi had laju tu.

"Tapi ada antara pengguna jalan raya yang sanggup memberhentikan kenderaan, siap buka cermin kereta lagi tanya nak kena bunyikan hon ke?

"Tidak terkejut sebab mungkin mereka teringat tugasan yang lepas. Cuma rasa lawak je, tapi sekurang-kurangnya mereka beri perhatian," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain