suria

Dua tiga jenis lauk atas meja, tapi semua kerusi kosong... Bapa ‘lonely’ hantar selfie ajak anak-anak makan malam, rindu masa kecil

Foto yang dikongsikan si bapa kepada anak-anaknya.

SETIAP keluarga pasti mempunyai sebuah grup WhatsApp yang mengumpulkan ibu bapa dan anak-anak bagi tujuan komunikasi.

Dalam grup ini ahli keluarga seperti kakak, abang, adik, ibu, ayah serta saudara-mara terdekat akan berkongsikan mengenai segala macam perkara.

Antaranya mengenai perancangan acara keluarga seperti sambutan hari lahir atau memaklumkan tentang perkembangan semasa berkaitan kehidupan masing-masing.

Hantaran asal di Facebook.

Namun begitu, melalui satu hantaran yang tular di laman Facebook, seorang bapa dilihat memberikan kata-kata yang menyayat hati dalam grup WhatsApp keluarganya.

Menerusi satu tangkap layar yang dimuat naik di grup B40 Buat Perangai Apa Harini, seorang bapa yang tidak didedahkan identitinya dilihat pasrah kerana perlu makan malam berseorangan.

Berkemungkinan kerana anak-anak sudah meningkat dewasa dan terikat dengan komitmen seperti kerjaya, pengajian tinggi dan juga rumah tangga, si bapa itu seakan-akan merindui kemeriahan yang suara anak-anak di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis menangis teresak-esak hantar anak masuk asrama, balik rumah cium baju tak tahan rindu - “Malam saya jadi sunyi”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mampu beli hadiah mahal, bapa tinggal sebungkus roti coklat... Paling sebak baca nota tulisan tangan ucapan hari lahir

Dalam tangkap layar itu juga ada disertakan gambar swafoto (selfie) si bapa bersama juadah nasi campur yang bersederhana, mungkin disediakannya sendiri atau dibeli daripada gerai.

Perkara yang meruntun jiwa adalah apabila kerusi di sekeliling meja makan kosong tanpa seorang pun peneman, suasana di ruang rumah itu kelihatan sungguh hening.

Rindu masa dahulu apabila kalian masih kanak-kanak dan tidak membesar menjadi dewasa seperti hari ini.

SI BAPA

"Jemput dinner semua.

"Rindu masa dahulu apabila kalian masih kanak-kanak.

"Sekarang saya dah biasa makan berseorangan, lagipun kita akan bersendirian juga apabila di dalam kubur nanti," kata si bapa meluahkan perasaan.

Anak-anak wajar menghargai ibu bapa ketika mereka masih bernyawa di muka bumi ini. (Gambar hiasan, Freepik)

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengakui hubungan bersama ibu dan ayah ini adalah sangat berharga dan tidak dapat diganti apabila mereka pergi buat selama-lamanya.

"Sedar tak sedar, masa yang ibu bapa ada bersama anak hanyalah selama 12 tahun, iaitu apabila mereka masih kanak-kanak dan di sekolah rendah.

'Apabila mereka masuk sahaja ke alam remaja iaitu 13 tahun ke atas, ibu bapa dengan anak akan mula berenggang. Mula-mula masuk asrama, kemudian ke universiti, seterusnya bekerja dan akhirnya berkahwin.

"12 tahun pertama dalam usia anak-anak itu adalah sangat bermakna, manfaatkannya sebaik mungkin, bermanjalah dengan mereka dan luangkan masa sehabis baik," kata seorang netizen.

Ibu bapa juga mahukan perhatian daripada anak-anak. (Gambar hiasan, Freepik)

Warga maya lain pula mengambil kesempatan untuk berkongsikan dilema dan liku-liku yang dihadapi mereka dalam menjaga ibu bapa yang semakin dimamah usia.

"Saya nak ajak ibu bapa saya duduk sekali, senang saya balik kerja boleh terus nampak keadaan mereka, tapi itulah mereka kata rindu kampung pula dan tak nak duduk bandar.

"Nak tak nak kita la kena mengalah, ulang-alik balik kampung selalu tengok mak ayah, risau mereka seorang dekat sana tak ada siapa nak jaga.

"Dalam keadaan macam ni, biasanya anak yang kurang berkerjaya akan dikorbankan untuk duduk dekat dengan mak ayah, sedih realiti ini," kata sebilangan warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain