suria

Cita-cita tercapai, kembar kacak sedih kena berpisah! ‘Target’ seterusnya, abang polis nak kahwin - “Ramai nak kenal, saya tak layan”

Fais dan Paan tidak pernah berpisah sejak kecil.

SEBUT sahaja mengenai kembar seiras pastinya pasangan ini yang terlintas di kepala setelah mereka meraih populariti di media sosial.

Siapa sangka, cita-cita mereka sejak kecil untuk bergelar seorang polis menjadi realiti setelah menamatkan latihan pada awal Mac lalu.

Ketika dihubungi mStar, si abang, Wan Fais Fayzan Wan Azmi, menceritakan semula tentang latihan yang dijalani bersama kembarnya, Wan Fais Faraqhan sebagai platun di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.

"Kami sama-sama jalani latihan cuma berbeza platun dan ketika itu kami masih dapat berjumpa.

Pasangan kembar bersama ibu dan bapa mereka.

"Memang dari kecil lagi cita-cita kami nak jadi polis. Dekat sekolah dulu kami selalu sertai pertandingan kawad kaki sebagai wakil kadet polis.

"Sampailah satu hari kami melayakkan diri jadi jurulatih kawad kaki sekolah. Tak sangka tamat sekolah, selepas enam bulan jalani latihan, kami berjaya jadi polis betul-betul," katanya yang senang disapa Fais.

Namun, seperti mana yang dapat dilihat menerusi videonya yang meraih lebih 2.1 juta jumlah tontonan itu, Fais mengakui berasa sedih kerana terpaksa berpisah jauh dengan kembarnya.

Menurut anak kelahiran Bachok, Kelantan itu, ini merupakan kali pertama mereka terpisah setelah membesar bersama sejak 20 tahun lalu.

"Sejak kecil lagi kami tak pernah berpisah. Kami duduk bilik sekali. Sekolah pun kami belajar sama-sama dari tadika sehinggalah tingkatan enam kami kelas sekali.

"Sebelum dapat masuk Pulapopl kami kerja dengan syarikat J&T di Pasir Tumboh. Masa temuduga polis dulu pun dari A hingga Z kami buat sama-sama.

"Tapi sejak adik (Fais Faraqhan) kahwin kami makin renggang tapi tetap boleh jumpa sebab duduk satu negeri di Kelantan. Tapi lepas ni kami akan jauh terpisah sebab saya kena lapor diri di kontinjen Selangor tapi kembar saya dapat dekat Kuantan, Pahang," ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kembar seiras ini sama kacak, sama pekerjaan tapi perangai tak serupa... enggan hanyut dengan pujian - “Pernah bergaduh, tapi sekejap saja”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah berenggang sejak kecil, dalam gembira jejaka sayu lihat kembarnya naik pelamin... tak sangka ramai offer jadi isteri - “Ramai tanya abang bila lagi?”

Walaupun sedih kerana terpaksa berpisah, Fais tabah dan reda kerana menurutnya, mereka sudah diajar dalam latihan bahawa setiap anggota perlu banyak berkorban dan salah satu pengorbanan adalah berpisah dengan keluarga demi kerja dan tugasan.

Fais yang masih bujang kini memiliki lebih 200,000 pengikut di TikTok dan mengakui dihujani mesej daripada gadis-gadis untuk berkenalan, malah warga maya turut memuji dirinya yang dilihat tampan.

Ramai dalam kalangan netizen yang mencuba nasib memikat jejaka ini apatah lagi setelah mereka mengetahui dirinya kini sudah bergelar seorang anggota polis.

Populariti Fais meningkat setelah banyak video dimuat naik menjadi tular.

"'Market' dan pengikut tu makin naik cuma saya tak layan sangat sekarang sebab masih dalam mood bercuti dan sibuk. Kalau ada mana-mana orang minta reviu mungkin saya tak sempat buat tapi nanti akan cuba ambil juga beberapa.

"Ramai juga yang mengurat dan nak kenal. Ada juga makcik-makcik tawarkan anak mereka kepada saya sebab nak saya jadi menantu tapi saya tak layan sebab dah bertunang.

"Bila dah berjaya jadi polis ni saya pun bersedia nak berumah tangga. InsyaAllah akan kahwin tak lama lagi," katanya lagi.

Bila dah berjaya menjadi seorang polis ni saya pun bersedia nak berumah tangga. InsyaAllah akan kahwin tak lama lagi.

WAN FAIS FAYZAN

Kata Fais, hanya dia dan kembarnya sahaja yang berjaya menjawat jawatan sebagai kakitangan kerajaan dalam keluarga.

Perkara itu menjadi kebanggaan ibu bapanya sebagaimana dikongsikan dalam video yang dimuat naik.

Oleh kerana mereka bakal berpisah tidak lama lagi, Fais menitipkan pesanan buat kembarnya yang dipanggil Paan.

Fais bakal melapor diri di kontinjen Selangor.

"Saya doakan Paan terus berjaya walaupun dah jauh. Jangan pernah lupa ibu bapa yang melahirkan kita walaupun duduk jauh. Semoga dipermudah segala urusan dan hadapi ujian dengan tabah sebab cabaran sebagai polis ni tak mudah.

"Bagi mereka yang ingin ikut jejak langkah macam saya, jangan pernah putus asa kalau gagal. Boleh cuba lagi lain kali. Usaha tak pernah mengkhianati hasil," kata Fais menutupi kisahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain