suria

Lepas bagi kucing makan baru fikir nak sahur... Suami isteri belum punya zuriat bahagia kongsi rezeki dengan kucing jalanan

Asy Mieyra dan suami aktif membantu kucing jalanan di sekitar Pasir Mas sejak tahun 2020.

TAK rugi kita berkongsi rezeki sesama makhluk Allah.

Demikian kata-kata seorang peniaga dikenali sebagai Asy Mieyra yang aktif menyantuni kucing jalanan di sekitar Pasir Mas, Kelantan sejak tahun 2020.

Menurut wanita itu, dia dan suaminya mula terlibat dalam kerja-kerja kebajikan kerana mempunyai banyak masa terluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

asy2

Kata wanita itu, kucing-kucing jalanan sudah dianggap seperti anak sendiri.

"Masa tu kami tak ada kerja, baru lepas dibuang kerja. Jadi setiap malam saya dan suami akan pergi ke pasar dekat Pasir Mas, kami tengok kucing-kucing yang kelaparan.

"Dengan duit sendiri, kami mula beli makanan untuk kucing-kucing jalanan. Pada masa tu kami hanya buat secara suka-suka, kini ia menjadi rutin harian.

"Dulu tak banyak kucing. Selepas PKP, bilangannya makin bertambah. Ramai orang buang kucing termasuklah kucing baka parsi," dedahnya ketika dihubungi mStar.

Kami suami isteri tiada anak, kucing la anak-anak kami... dekat rumah pun ada bela 10 ekor.

ASY MIEYRA

Kerap berkongsi mengenai usaha murninya menerusi media sosial, Asy Mieyra berkata dia turut menerima sumbangan daripada orang ramai yang mahu menderma wang serta makanan.

"Ada orang support, bagi makanan dan wang derma. Jadi setiap kali beli makanan, saya akan update resit. Ada orang derma dari semasa ke semasa.

"Selain bagi makan kucing, kami juga rawat kucing-kucing yang sakit, buat program pemandulan dan kemudiannya membuka adoption untuk orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda sanggup pusing Kuantan jamu makan kucing jalanan kelaparan, tak sangka ramai ‘tumpang sekaki‘... tersentuh terima mesej wanita harapkan zuriat

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas tawar RM10,000 tak kisah hidup atau mati, kucing jalanan hilang ditemui tapi apa yang berlaku memang tak disangka... bertuah Tekka!

"Alhamdulillah, dengan cara ini, kami dapat mencari pemilik baharu untuk kucing, sekali gus mengurangkan jumlah kucing jalanan di sekitar pasar itu," ujarnya lagi.

Sepanjang bulan Ramadan kali ini, Asy Miera dan suami turut mengubah jadual lawatan mereka dan mengubahnya kepada pukul 4 pagi sebelum mereka bersahur.

"Biasanya setiap malam kami akan pergi tengok kucing dalam dua jam. Saya juga akan pergi waktu pagi untuk tambah makanan mereka.

asy3

Kucing-kucing ini bukan sahaja diberi makan, malah turut dirawat dan dimandulkan.

"Dalam bulan puasa kali ini, saya dan suami pergi bagi makan kucing dalam pukul 4 pagi. Selepas itu baru kami balik bersahur.

"Kadang-kadang kalau kami tak sempat, adik-adik saya pun akan tolong pergi bagi makan. Malah, kawan-kawan dari Facebook dan TikTok pun pernah ikut kami," ujarnya lagi.

Menurut Asy Mieyra, dia percaya dengan ketentuan rezeki Allah, malah menganggap kehadiran kucing-kucing itu sebagai rahmat buat dirinya dan suami yang belum dikurniakan cahaya mata.

"Kami suami-isteri tiada anak. Kucing lah anak-anak kami. Dekat rumah pun ada bela 10 ekor. Alhamdulillah, suami pun dah dapat kerja baharu sebagai juruteknik.

asy4

Asy Mieyra harap orang ramai tidak membuang kucing dengan sesuka hati.

"Saya pula sekarang buat bisnes makanan. Rezeki tu walaupun sikit, tapi tetap bertambah, datang perlahan-lahan. Kami yang tumpang rezeki kucing," ujarnya lagi.

Akhir bicara, Asy Mieyra turut menitipkan pesan agar orang ramai tidak membuang kucing sesuka hati sehingga menyebabkan mereka hidup melarat tak terbela.

"Saya terkilan apabila orang buang kucing. Jangan aniaya kucing. Kalau tak mampu jaga, open for adoption. Kat pasar tu bukan dapat makan hari-hari. Lepas tu kena sepak terajang lagi.

"Kucing pun layak dapat kasih sayang kita. Saya harap orang ramai tak buang kucing. Saya juga berharap pusat perlindungan kucing dapat ditubuhkan di Kelantan suatu hari nanti," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain