suria

“Ayah, Omok datang ni!” - Budak balik tadika ceria ziarah kubur bapa... Ibu buka cerita, rupanya hati tisu selalu ‘mengadu’ dekat gambar arwah

Kanak-kanak yang mesra dipanggil Omok ini begitu rapat dengan arwah bapanya.

"ASSALAMUALAIKUM ayah, Omok datang ni!"

Ungkapan seorang kanak-kanak yang masih berpakaian seragam tadika ini tatkala menziarahi pusara arwah bapanya mengundang sebak netizen.

Menerusi video yang tular di TikTok, keterujaan jelas terpancar di wajah kanak-kanak itu walaupun ucapan salamnya tidak disahut.

Berkongsi cerita kepada mStar, ibu kepada kanak-kanak berkenaan iaitu Noor Aishah Sanusi berkata, video tersebut dirakamkan pada Ahad, selepas anaknya yang berusia lima tahun tamat sesi pembelajaran di sebuah tadika.

Wanita berusia 32 tahun itu memberitahu, anaknya sendiri yang mahu menziarahi pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sawah di Pekan Nanas dekat Pontian, Johor.

"Semalam (Ahad) merupakan hari pertama Omok (panggilan manja anak) masuk tadika. Pagi tu dia bercakap dengan gambar arwah ayah dia, 'Omok nak pergi sekolah ni'.

"Keluar daripada tadika tu, dah masuk kereta, dia cakap dengan saya nak 'jumpa' ayah, dia rindu sangat," katanya kepada mStar.

Omok memberi salam ketika tiba di pusara bapanya.

Lebih mesra disapa Aishah, dia memberitahu arwah suaminya yang menghidap kanser pangkal hidung tahap empat meninggal dunia pada usia 32 tahun, 11 Disember tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Melepas rindu di pusara! Tak puas 2 kali 'jumpa' atok abah, cucu tak nak tinggalkan kubur selagi tak dapat ziarah kali ketiga

ARTIKEL BERKAITAN: Kejadian pelik burung asyik kerumun pusara bapa terjawab! Penjaga kubur dedah satu rahsia yang ahli keluarga arwah tak pernah tahu

"Kami berkahwin pada 10 Disember 2011. Suami meninggal dunia sehari selepas hari ulang tahun perkahwinan kami," ujarnya.

Omok mengubati kerinduan terhadap arwah bapanya.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, Omok yang merupakan anak keduanya sememangnya begitu rapat dengan suami semasa hayatnya.

"Masa ziarah kubur, dia gembira datang beri salam, kongsi cerita dia masuk sekolah dan guru ada ajar macam-macam.

"Tapi apabila dia mula baca surah Al-Fatihah untuk arwah dan cium batu nisan, memang nampak muka sedih sebab dia tahu ayah dia dah meninggal dunia," katanya sambil menambah dia dan anaknya menghabiskan masa kira-kira 20 minit di pusara.

Gambar keluarga yang menjadi pengubat rindu Omok.

Bagi mengubati kerinduan, kata Aishah, anak lelakinya itu sering melihat sekeping gambar bapanya yang digantung di dinding ruang tamu rumah.

"Gambar saya, arwah dan Omok serta kakak dia. Kadang-kadang kalau dia kena marah, dia merajuk... dia akan mengadu pada gambar tu.

Arwah terlalu penyayang kepada saya, keluarga dan orang di sekeliling.

NOOR AISHAH SANUSI

"Omok ni seorang yang aktif dan lasak, tapi sensitif. Hati tisu macam ayah dia. Tapi dia sekarang dah faham, kalau ada orang tanya pasal ayah... dia jawab ayah meninggal dunia, tak boleh balik rumah," katanya.

Aishah yang kini menumpukan sepenuh masa menjaga kedua-duanya termasuk anak perempuan berusia tujuh tahun menyifatkan arwah suaminya sebagai penyayang.

Kesedihan di wajah Omok ketika beredar dari pusara bapa.

"Arwah terlalu penyayang kepada saya, keluarga dan orang di sekeliling. Di saat-saat akhir, dia beritahu tak akan hidup lama dan minta saya jaga anak-anak, besarkan mereka dengan baik.

"Arwah tak ada tinggalkan harta, tetapi famili arwah jaga kami dengan baik. Arwah pernah kata, anak-anak akan berjaya suatu hari nanti," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain