suria

Murid nak masuk sekolah, cikgu ‘angkut’ sekeluarga tolong hias kelas... selesai sudah masalah 32 meja comot!

Keadaan bilik darjah sebelum dan selepas dihias.

SESI persekolahan untuk tahun 2023 akan bermula Isnin.

Bukan sahaja ibu bapa yang ketika ini kalut membuat persiapan untuk anak-anak kembali ke sekolah, golongan guru juga tidak kurang sibuknya.

Guru-guru ketika ini pasti sedang bersiap siaga untuk menerima kemasukan para pelajar termasuklah memastikan pendaftaran pelajar berjalan lancar dan pelajar dapat belajar dalam suasana harmoni.

Sebagaimana perkongsian video oleh seorang guru wanita ini, dia turut turun padang dan mengambil inisiatif sendiri menghias bilik darjah untuk keselesaan pelajarnya.

"Kebanyakan meja comot. Tak mampu nak padam satu-satu. Kalau cat cepat sikit siap. Cantik pun cantik. Nampaklah baru sikit," demikian antara kapsyen yang ditulis mengiringi video tersebut.

Berkongsi cerita dengan mStar, guru berkenaan yang enggan dikenali identitinya ini berkata, video tersebut dirakam minggu lalu ketika dia menghias kelas yang akan menempatkan pelajarnya tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Transformasi cukup mengagumkan... Pengetua ambil masa 100 hari dekorasi sekolah, segala-galanya untuk pelajar seterusnya komuniti

ARTIKEL BERKAITAN: Guru tak puas hati diberi jolokan ‘luar setinggan dalam kondo’ selepas hias kelas, sanggup guna duit sendiri ‘kerjakan’ stor tukang kebun pula

"Saya merupakan guru kelas untuk murid darjah tiga. Setiap kali nak buka sekolah, memang guru akan buat persediaan. Kalau nak cantik sikit, guru boleh ambil inisiatif untuk hias bilik darjah masing-masing.

"Alhamdulillah, saya tak perlu keluar modal. Saya cuba minta sumbangan daripada ibu bapa murid saya dan mereka bagi kerjasama.

pic 4

Keadaan meja sebelum dicat.

"Sebenarnya, murid saya ini dah tiga tahun saya jadi guru kelas mereka daripada mereka darjah satu. Jadi mak ayah mereka dah kenal rapat dengan saya.

"Ada yang beri sumbangan wang tunai, ada yang bagi cat. Saya tanya, kalau ada cat yang lebih, boleh sumbang. Tak demand pun warna apa. Alhamdulillah ibu bapa beri kerjasama yang baik sebab mereka tahu, ini untuk anak-anak mereka juga," ujar guru di sebuah sekolah rendah di Kulai, Johor ini.

Selain mengecat 32 meja anak muridnya, guru ini yang dibantu suami dan anak-anaknya turut mengecat dinding dan membuat sudut bacaan di bahagian belakang kelas.

"Untuk sudut bacaan pun saya minta parents sedekah buku yang tak pakai. Jadi murid boleh tukar-tukar bahan bacaan.

pic 3

Cat yang disumbang oleh ibu bapa.

"Saya bersyukur sebab suami dan anak-anak sangat menyokong malah mereka pun turun padang sekali," katanya yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Muzik.

Berpengalaman selama 18 tahun dalam bidang perguruan, guru berusia 40 tahun ini berkata, meskipun apa yang dilakukannya bukan tugas hakiki namun dia lebih suka mengambil inisiatif sendiri kerana mahu melakukannya untuk kepuasan diri sebagai seorang guru.

"Kalau mengajar semata-mata, tak seronok. Kena ada satu benda yang beri kita semangat nak mengajar. Kalau kelas ceria, kita pun semangat nak mengajar. Murid pun semangat nak datang sekolah," katanya lagi.

Saya bersyukur sebab suami dan anak-anak sangat menyokong malah mereka pun turun padang sekali.

GURU

Tidak menyangka perkongsiannya meraih perhatian, dia berkata apa yang cuba disampaikan menerusi video tersebut adalah pentingnya kerjasama di antara guru dan juga ibu bapa.

"Bukan nak menunjuk atau mahu orang lain ikut. Saya cuma nak highlight mengenai fasiliti dekat sekolah. Kalau orang luar nampak benda ini, sedikit sebanyak mereka rasa tergerak dan ada kesedaran untuk membantu.

pic 2

Sudut bacaan di belakang kelas.

"Ibu bapa dekat luar sana, kalau nak anak kita selesa, kena rajin-rajin bertanya kepada guru seperti apa yang diperlukan. Guru ni kadang malu nak cakap. Bukan minta duit semata, tapi apa jua sumbangan sangat guru alukan," akhirinya.

Sehingga kini, video yang dikongsikan guru ini meraih lebih daripada 568,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain