suria

Usia muda dah dipotong kaki sebab kanser tulang, tak sampai setahun hidap barah paru-paru pula... pemuda pinjam semangat Ronaldo teruskan hidup

Rahman berkongsi pengalaman didiagnosis kanser tulang.

WAJAHNYA nampak ceria dan kehidupannya juga dilihat bahagia, tapi tiada siapa tahu dugaan yang ditempuhinya.

Pemuda ini masih mengukir senyuman dalam video yang dimuat naiknya di laman sosial, mendedahkan dirinya sebagai pesakit kanser.

Bagi Abdul Rahman Muhamad Rashidi, dia mengakui bukan mudah untuk berdepan dengan ujian berat apabila didiagnosis penyakit kanser tulang ketika usia muda, pada 2021.

"Masa tu saya baru 23 tahun. Saya ni aktif bermain bola sepak dan futsal. Ia bermula apabila kaki kiri saya sakit di bahagian paha dan lutut.

"Ingatkan sebab cedera main bola. Tapi sakit tu berpanjangan sampai tak boleh tidur malam, kena makan ubat tahan sakit.

"Sampai satu tahap, saya pergi buat pemeriksaan di hospital, termasuk buat MRI (pengimejan resonans magnetik). Hasilnya, doktor beritahu saya ada ketumbuhan di kaki... saya menghidap kanser tulang di peringkat awal," katanya kepada mStar.

pesakit kanser ronaldo 13

Rahman menjalani rawatan di hospital.

Rahman yang kini berusia 25 tahun memberitahu, dia kemudian diberi pilihan untuk survival termasuk menjalani pembedahan memotong sebahagian kaki kirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Luar biasa cekal! Guna sebelah kaki, tak ubah suai basikal... pemuda ini mampu kayuh sejauh 25km - "Kalau sedih, bukannya boleh tumbuh balik"

ARTIKEL BERKAITAN: Impian jadi tentera lebur, pemuda teruskan hidup jadi rider bertangan palsu... terkesan kenangkan insiden anak pelanggan lari masuk rumah di siang hari

"Berat sebenarnya buat keputusan itu setelah berbincang dengan keluarga. Jujurnya masa tu memang saya menangis untuk melepaskan perasaan.

"Tapi saya reda dan bertawakal. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin Allah nak uji dan hadirkan sesuatu yang lebih baik untuk saya," ujarnya yang berasal dari Selangor.

pesakit kanser ronaldo 9

Selain bola sepak, Rahman turut aktif dalam sukan memanah.

Menurut pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Matematik Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah ini, selepas beberapa bulan menjalani pembedahan memotong kaki kiri, dia bertunang dengan gadis pilihannya pada Januari 2022.

"Saya bernikah pada Mac 2022, syukur masa tu saya dapat 'kaki baharu' (kaki palsu) dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor.

"Jujurnya bukan mudah kerana paling mencabar apabila berdepan dengan orang ramai. Saya segan nak jumpa. Dah dapat kaki palsu pun masih terasa malu," katanya, namun bersyukur mendapat sokongan keluarga dan isteri.

Imbasan menunjukkan kanser merebak ke bahagian paru-paru.

Dengan hanya sebelah kaki kanan, anak kedua daripada enam beradik ini kembali aktif bermain bola sepak dan melakukan sukan memanah.

"Saya sebenarnya tak boleh lari dari dunia sukan, sejak sekolah rendah saya aktif bersukan. Saya kini menyertai pasukan para memanah di Pulau Pinang, selain turun padang main bola," tambahnya.

Jangan fikir kanser hanya penyebab mati. Kehidupan perlu diteruskan.

ABDUL RAHMAN MUHAMAD RASHIDI

Namun siapa sangka pemuda yang kini menetap di Balik Pulau, Pulau Pinang sekali lagi ditimpa ujian selepas disahkan menghidap kanser tulang tahap empat.

"Hasil pemeriksaan susulan, doktor beritahu kanser dah merebak ke paru-paru. Saya menjalani satu lagi pembedahan untuk membuang ketumbuhan sebelah paru-paru pada September 2022.

"Sekarang ni saya tunggu pengesahan sama ada perlu meneruskan kemoterapi atau melakukan satu lagi pembedahan. Apa jua keputusan saya reda," katanya.

Isteri dan keluarga penguat semangat Rahman.

Rahman berkata, segala kekuatannya turut mendapat inspirasi daripada bintang bola sepak kegemarannya, Cristiano Ronaldo.

"Saya jadikan Ronaldo sebagai inspirasi untuk terus lawan. Seperti Ronaldo, dia tak pernah putus asa walau apa pun cabaran dan usia semakin tua.

"Dari zaman Ronaldo berbadan kurus sampai dia jadi fit, semangatnya tetap nak menang. Apa yang saya boleh kongsi, sesiapa pun didiagnosis kanser, janganlah putus asa.

"Jangan fikir kanser hanya penyebab mati. Kehidupan perlu diteruskan," katanya yang berhasrat untuk bertemu dengan idolanya, Ronaldo suatu hari nanti.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain