suria

Demi ibu, pengantin sanggup naik sampan! Tak terfikir tukar lokasi majlis walau dah tahu risiko banjir - “Kubur arwah ada depan rumah”

Fakhrul (kiri) dan adik perempuannya Fezra terpaksa menaiki sampan kerana halaman rumah mereka dinaiki air.

MANUSIA hanya mampu merancang, namun Tuhan yang menentukan.

Begitulah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan majlis perkahwinan pasangan ini yang terpaksa dilangsungkan dalam suasana banjir selepas kampungnya dinaiki air akibat hujan berterusan, baru-baru ini.

Disebabkan situasi tidak dijangka itu, pasangan ini terpaksa menaiki sampan mengharungi air banjir untuk ke rumah.

Video pasangan mempelai itu yang menaiki sampan dengan mengenakan persalinan songket meraih perhatian warga maya apabila sehingga kini ia meraih lebih 517,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, Fakhrul Fuzaimie Ismadi berkata, video tersebut dirakam sewaktu majlis menyambut menantu sebelah pihak lelaki di Pontian, Johor pada 5 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayangkan masa nikah diduga redah banjir, majlis resepsi di hotel pula hampir berakhir tanpa pengantin... pengurus ini bersyukur akhirnya disatukan dengan jejaka Iran

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin sangkut banjir! Bapa saudara ambil tugas arwah ayah, dukung wanita redah air macam anak sendiri

"Beberapa hari sebelum majlis, ayah siap hantar gambar air dah naik paras buku lali. Saya dapat mesej tu gelabahlah juga walaupun baru paras buku lali.

"Keesokannya iaitu Jumaat, paras air makin naik sehinggalah pada hari berlangsungnya majlis iaitu Ahad, air naik paras lutut. Waktu air semakin naik tu, kami sekeluarga berbincang dan nekad untuk teruskan.

"Salah satu sebab utamanya, saya nak tunaikan hasrat arwah mama. Arwah dah buat persiapan semua, dia buat cukup lengkap, siap ada senarai yang dicatat pada buku.

"Antaranya senarai tugasan untuk saudara mara merewang. Tinggal nak langsungkan saja. Sebab itu kami teruskan juga," ujar pemuda berusia 23 tahun ini.

banjir 2

Majlis perkahwinan dua pasangan mempelai ini yang berlangsung dalam suasana banjir menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.

Senang disapa sebagai Fakhrul, dia yang merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik berkata, majlis pada hari tersebut turut diraikan serentak dengan adik keduanya, Fezra Syafikah Ismadi.

Tambah Fakhrul, mereka terpaksa menggunakan sampan memandangkan kawasan sekeliling rumah ibu bapanya dinaiki air.

"Sampan itu saudara mara yang punya. Jadi memandangkan air pun tinggi juga, tercetuslah idea nak naik sampan. Rare juga... bolehlah dijadikan kenangan yang takkan dilupakan.

"Tapi walau naik sampan, tol tetap ada," ujarnya berseloroh.

Arwah mama yang banyak merancang untuk majlis saya dan adik perempuan kerana ini adalah perkahwinan pertama dalam keluarga kami.

FAKHRUL FUZAIMIE ISMADI

Fakhrul berkata, bencana banjir yang melanda kampungnya bukanlah kali pertama berlaku.

"Seingat saya, sudah tiga kali termasuk yang baru-baru ini. Dua kali sebelum ini, rumah kami terjejas. Tapi pada 2013, ayah saya buat rumah di tapak yang lebih tinggi sikit.

"Jadi, kali ni rumah tak terjejas tapi kawasan halaman dan sekitarnya dinaiki air," katanya lagi.

Meskipun gembira kerana majlis perkahwinannya dengan adik perempuan berlangsung dengan lancar walaupun dalam suasana banjir, namun Fakhrul berkata, kesedihan tetap dirasa kerana arwah ibunya tidak berada bersama.

"Arwahlah yang banyak merancang untuk majlis saya dan adik perempuan kerana ini adalah perkahwinan pertama dalam keluarga kami.

banjir 3

Fakhrul (dua, kiri) bersanding serentak dengan adik perempuannya, Fezra (kanan).

"Tapi Allah lebih sayangkan mama. Arwah meninggal dunia pada Disember lalu kerana terdapat pendarahan pada kepalanya. Salah satu sebab juga kenapa kami tak buat majlis di tempat lain walau banjir, adalah kerana kubur arwah ada dekat depan rumah.

"Meskipun secara fizikalnya jasad arwah tiada bersama di majlis tersebut, namun 'kehadirannya' tetap dirasakan.

"Kami bersyukur kerana dapat melangsungkan majlis sebagaimana yang dirancang oleh arwah walaupun tak sama seratus peratus sebab banjir, namun semuanya dipermudahkan walaupun dalam suasana yang berbeza," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain