suria

Bayangkan masa nikah diduga redah banjir, majlis resepsi di hotel pula hampir berakhir tanpa pengantin... pengurus ini bersyukur akhirnya disatukan dengan jejaka Iran

Pasangan ini selamat bernikah selepas terpaksa mengharungi banjir.

BUKAN calang-calang ujian!

Itulah perkataan sesuai bagi menggambarkan situasi yang dilalui pasangan ini yang bukan sahaja diuji saat bercinta, malahan ketika majlis pernikahan mereka yang berlangsung pada 19 Disember lalu.

Jika sebelum ini mereka menghadapi pelbagai cabaran kerana menjalinkan hubungan jarak jauh (LDR) memandangkan si jejaka berasal dari Shiraz, Iran, namun kemuncak dugaan yang perlu ditempuhi adalah mengharungi banjir sewaktu hari bahagia.

ARTIKEL BERKAITAN: Ditanya tentang halangan kahwin lelaki Nigeria, wanita ini terus kongsi video keluarganya yang ‘sempoi’... 4 anak suka makan tempoyak, hantar sekolah biasa je!

ARTIKEL BERKAITAN: Hati terpaut saat dipujuk ketika menangis, jejaka Guinea pilihan anak Kedah ini bukan biasa-biasa!

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Zulaikha berkata, segala perancangan untuk meraikan hari bahagianya bertukar menjadi 'tragedi' disebabkan bencana berkenaan.

"Plan asal 19 Disember majlis perkahwinan kami diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur. Majlis nikah pada sebelah pagi di Pejabat Agama Islam Petaling (PAID), Shah Alam.

"Tapi 18 Disember, hujan lebat dan banjir di area Kuala Lumpur. Kami fikir esoknya surut sebab hujan dah stop malam tu. Kami keluar hotel jam 6.45 pagi menuju ke PAID. Saya, ayah, suami, adik perempuan dan adik ipar naik satu kereta menuju ke Shah Alam.

"Kami try lebih dari tiga jalan ke Shah Alam, semua tak boleh masuk dan akhirnya terkandas di LKSA. Memang tak ada jalan masuk ke Shah Alam melainkan kami minta tolong MBSA bawa kami naik boat.

"Ustaz pun sangat supportive dan sama-sama cari jalan pertembungan. Akhirnya kami naik boat ke seberang dan selamat bernikah di Masjid Seksyen 18 pada jam 12 tengah hari. Walaupun serba kekurangan tapi kami teruskan nikah," ujar wanita yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor ini.



Siti Zalikha dan pasangannya selamat bernikah di Masjid Seksyen 18, Shah Alam.

Menurut Siti Zulaikha, dugaan mereka tidak terhenti di situ, sebaliknya mereka sekali lagi terkandas ketika mahu pulang ke Hotel Concorde semula bagi majlis resepsi.

"Selepas beberapa cubaan u-turn dan cari jalan keluar Shah Alam, akhirnya sampai di hotel dalam jam 4 petang.

"Masa ni dah sangat lewat, ramai tetamu dah balik sebab tunggu lama sangat dari pagi. Ada kenalan yang menangis terharu sebab akhirnya kami berjaya sampai ke hotel petang tu.

"Saya rasa paling terkilan sampai hari ini sebab mak dan ayah plan majlis ni akan jadi meriah tapi rupa-rupanya bertukar tragedi.

"Ayah yang seharian bersama kami redah banjir dan naik boat. Nampak jelas dia kecewa dan penat tak dapat nak meraikan majlis di hotel. Tapi kami reda semua dah selesai," kata pengurus berusia 30 tahun ini.



Pasangan ini diraikan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Menyingkap kisah perkenalan pasangan ini, Siti Zulaikha berkata dia berkenalan dengan suaminya, Ali Dordani, 29, ketika melancong ke Iran pada 2018.

Perkenalan tersebut akhirnya membibitkan rasa cinta sebelum mereka sepakat mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

"Sepanjang empat tahun kenal, dua tahun terakhir ni memang dugaan paling hebat. Dua tahun kami tak dapat jumpa sebab border Malaysia tutup.

"Nak masuk Malaysia kena apply MTP (MyTravelPass) dari Imigresen. MTP suami kena reject sembilan kali, sampai akhir sekali permohonan yang ke-10 baru lulus.

"Total semua 10 permohonan, kira-kira setahun juga kami usaha buat permohonan MTP ni. Semua family dia pun tak dapat masuk sebab masalah ni, jadi kami decide untuk dia masuk seorang atas urusan penting iaitu perkahwinan.

"Buat masa sekarang suami akan menetap di Malaysia sehingga dia dapat spouse visa.

"Bercakap pasal penerimaan, keluarga kami sangat supportive dan memahami. Paling penting meraikan perbezaan," ujarnya sambil menambah, suaminya bekerja sebagai jurutera perisian.

Tidak menyangka video yang dimuat naik di TikTok meraih sehingga melebihi 100,000 jumlah tontonan, Siti Zulaikha dalam masa yang sama melahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama yang menjayakan majlis pernikahannya.

"Dari pagi sampai petang berpanas atas bot redah banjir memang moment yang tak dapat dilupakan. Terima kasih pada semua keluarga kami yang membantu melancarkan majlis, terima kasih Ustaz Shahrum dari pihak PAID dan pihak MBSA," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain