suria

“Duit tak ada gatal tangan nak beli” - Rider, seller asyik ‘kena game’ COD barang pelanggan B40!

Seorang individu mendakwa golongan B40 suka pesan barang online tapi tiada duit nak bayar COD.

RAMAI sedia maklum maksud Cash On Delivery (COD) ialah penjual akan berjumpa dengan pembeli untuk menyerahkan barang secara bersemuka dan pelanggan akan membayar harga yang dipersetujui dalam bentuk tunai.

Rata-rata yang menggunakan kaedah ini ialah penjual dalam talian yang ingin memberi peluang kepada pelanggan yang tidak pandai membuat pembayaran secara pemindahan wang melalui akaun bank untuk membeli produk yang dijual.

Namun, kemudahan COD yang ditawarkan hanya sia-sia apabila masih wujud pelanggan yang mempunyai pemikiran cetek sekali gus menyusahkan golongan penjual atau penghantar.

Posting yang dkongsi oleh seorang rider penghantar barang

Itulah kisah yang dikongsi oleh seorang rider yang memuat naik gambar dan menceritakan bagaimana dirinya 'disidai' (dibiar menunggu lama) oleh pelanggan yang tidak mahu membuka pintu untuk menerima barang yang dipesan.

"Nak privasi tak payahlah order COD. Aniaya rider penat-penat ke rumah lepas tu ketuk pintu, tak nak buka. Dengar suara budak-budak dalam rumah dan dengar suara perempuan suruh budak-budak diam. Call, mesej, WhatsApp semua tak dapat," luahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga maki-maki pekerja servis penghantar barang, kek RM113 hancur tengah jalan... Driver kumpul duit bayar tapi tak cukup RM3

ARTIKEL BERKAITAN: Sejam rider kena ‘sidai’ gara-gara pelanggan salah hantar lokasi... Paling sedih tak fasal-fasal kena maki, ugut depan orang ramai

Penghuni rumah itu turut menampal sekeping nota di pintu hadapan kediamannya meminta rider untuk mengetuk pintu rumah sebanyak tiga kali sahaja bagi menghormati privasi.

"Sila berikan salam dan ketuk pintu. Jika melebihi tiga kali, pintu tidak dibuka, tolong jangan ketuk lagi. Terima kasih kerana menghormati privasi kami," tulis pemilik rumah berkenaan.

Hantaran berkenaan kemudiannya dikongsi semula oleh seorang individu di laman Facebook, yang percaya situasi ini melibatkan golongan B40 yang dikatakan suka menyusahkan banyak pihak.

Individu tersebut turut memberitahu bahawa golongan T20 lebih mempunyai sikap 'faham bahasa' dengan memberi kerjasama yang baik kepada rider penghantar barang walaupun harga barang itu mahal.

Individu ini tidak berpuas hati sikap segelintir B40 apabila memilih untuk membayar secara COD.

"Kenapa mentaliti B40, pesan barang COD dan menyusahkan semua pihak? Sama ada peniaga atau penghantar dan kadang jiran sebelah pun disusahkan. Apa yang istimewa sangat pesan guna COD?

"Kalau alasan B40? Duit tak cukup, mak tak tinggal duit, duit dah terpakai beli topup, suami tak bagi duit lagilah.

"Kalau yang ada dua bungkusan barang pula lain situasi. Hari ni ambil yang murah dulu dan bungkusan lagi satu hantar esok sebab tak ada duit.

"Jangan cakap T20 tak ada pesan COD. Ada sahaja cuma harga barang atas RM50 atau RM100 dan mereka terus sediakan duit dengan segera ya," katanya.

Dia yang dilihat seperti pernah berdepan pengalaman yang sama turut menyenaraikan jenis rumah pelanggan yang suka menggunakan khidmat COD.

Individu berkenaan minta berhenti gunakan ayat 'pelanggan selalu betul'

Tambahnya, ada rider yang pernah dimarahi pelanggan apabila memulangkan kembali barang ke hab kerana pelanggan tidak mahu membayar barang yang dipesan.

"Kebanyakan yang COD ni penduduk flat Program Perumahan Rakyat (PPR), rumah setinggan dan rumah teres yang lorong penuh diparkir dengan kereta.

"Kalau penghantar barang tak dapat bagi barang sebab tak bayar lagi dan terpaksa dipulangkan semula ke hub, boleh pula dimarahnya rider tu dalam WhatsApp.

"Rider kena marah sebab pulangkan semula (ke hab) sebab (pelanggan) nak bayar nanti, jadi jangan pulangkan semula. Eh peninglah," ujarnya.

Individu itu turut memberi pesanan bahawa bukan semua pelanggan selalunya betul.

Antara komen netizen

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen marah dengan sikap golongan sebegitu dan berkongsi kisah yang hampir sama seperti rider penghantar barang berkenaan

"Betul. Kawan saya kerja Shopee Express dan selalu mengeluh pasal COD ni. Ada yang belum gajilah dan duit tak ada lagilah. Habis tu gatal tangan nak beli. Tapi kalau dapat rumah orang kaya senang cerita. Siap letak duit dalam angpau. Ada baki dia suruh ambil.

"Saya sebagai peniaga. Memang nak nangis. Kadang barang hantar balik lebih orang. Rasa nak nangis sangat-sangat. Dah la kos COD kena bayar. Kalau murah tak apa. Ni dah la mahal," demikian antara komen netizen.

Ada juga yang meminta sistem COD ini dihapuskan supaya tidak lagi berlakunya 'penganiayaan' terhadap rider penghantar barang dan penjual oleh pelanggan.

"Aku rasa nak bagi adil, kena berhentilah COD ni. Bayar siap-siap saja. Aku tak pernah beli COD ni, Nak selamat memang aku beli daripada penjual yang dipercayai, Shopee sederhana yang boleh dipercayai atau Grab yang boleh minta bayaran balik kalau barang rosak atau tak sampai," komen seorang netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain