suria

Terpaksa hutang beli beras, telur nak isi perut anak... Rider ibu tunggal ini hampir ‘patah kaki’, motosikal nak kena angkut

Wanie yang merupakan ibu tunggal mencari rezeki dengan bekerja sebagai penghantar makanan.

LINANGAN air mata seorang penghantar makanan yang berdepan kesukaran dengan bebanan hutang menyentuh hati ramai.

Kisah ibu tunggal ini tular selepas dia berkongsi kisah di TikTok apabila didatangi individu yang mahu menarik motosikalnya gara-gara tunggakan ansuran bulanan.

Malah, dia terpaksa merayu kerana motosikal berkenaan digunakannya untuk mencari rezeki.

Tangkap layar video TikTok luahan Wanie mengenai masalah kewangannya.

Bercakap kepada mStar, wanita bernama Siti Norol Salwani Ismail itu memberitahu, dia mencari pendapatan sebagai penghantar makanan sepenuh masa sejak lebih setahun lalu.

Ibu muda berusia 28 tahun itu berkata, dia kini menetap di Kuala Lumpur bersama anak lelaki berumur sembilan tahun dan adik perempuan yang mengalami masalah kesihatan.

"Keadaan kesihatan adik tidak mengizinkannyan untuk bekerja. Saya menjadi ibu tunggal sejak anak masih dalam kandungan.

"Sebenarnya saya terkejut, tak sangka video luahan tu jadi viral. Saya hanya berkongsi kesedihan sebab sangat terdesak, tapi bukan mahu meraih simpati," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider wanita ditahan tengah jalan, motor hampir kena tarik... Ibu tunggal ini buntu 'dihambat' hutang, anak di rumah nak makan

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak kaki terjuntai, rupanya rider gendong bayi keluar cari rezeki tengah panas... Hanya beri susu apabila balik rumah

Lebih mesra disapa Wanie, dia mengakui terkejut apabila mengetahui tunggakan bayaran ansuran untuk motosikalnya berjumlah kira-kira RM2,000.

"Saya bukan tak bayar langsung, tapi bayar kurang daripada jumlah yang sepatutnya setiap bulan. Selain itu, saya ada juga tunggakan sewa rumah kira-kira RM1,000.

"Syukur tuan rumah faham keadaan saya, dan saya masih dapat bayar sikit walau tak banyak," katanya yang menetap di Kuala Lumpur dengan kadar sewa RM800 sebulan.

Wanie membesarkan anak lelakinya.

Dengan bebanan hutang termasuk bil elektrik sebanyak RM400, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu tidak mempunyai pilihan selain merayu agar motosikalnya tidak ditarik.

"Saya cakap dengan orang tu bahawa motosikal ini adalah satu-satunya kenderaan untuk saya buat kerja, cari rezeki. Bukan saya nak meraih simpati, tapi saya benar-benar tak mampu.

"Kadang-kadang, adik dan anak dapat makan nasi dengan telur goreng bersama kicap. Saya tak makan tak apa, asalkan mereka makan di rumah.

Saya pernah keluar bekerja cuma bawa duit syiling, cukupkan RM5 hanya untuk isi minyak motor.

WANIE

"Nak beli beras dan telur pun tak mampu, saya berhutang dengan kedai runcit dekat rumah," katanya yang pernah keluar bekerja seawal 8 pagi hingga 10 malam.

Menurut anak kelima daripada 10 beradik itu, dia mengakui bukan semua memahami kesusahan yang dialaminya hanya kerana dia bekerja sebagai penghantar makanan.

"Orang luar tak tahu keadaan saya, yang tahu pun hanya rakan-rakan terdekat. Kalau ada yang nak tolong, saya terima sebab sekarang pun keadaan terdesak.

Wanie pernah mengusahakan bisnes daging harimau menangis.

"Saya pernah keluar bekerja cuma bawa duit syiling, cukupkan RM5 hanya untuk isi minyak motor. Selepas tu saya tunggu cash out daripada kerja delivery yang saya buat," katanya sambil menambah kebiasaannya makan roti atau ihsan rakan sekerja ketika bertugas.

Tidak mahu dikatakan sekadar meraih simpati, Wanie yang mula menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM400 sebulan berhasrat untuk menjana pendapatan sampingan dengan berniaga makanan.

"Saya pernah berniaga daging harimau menangis pada 2021 dan bertahan selama setahun je sebab tak cukup modal.

"Kalau ada modal atau offer untuk saya berniaga makanan, insyaAllah saya terima. Apapun, terima kasih kepada semua yang mendoakan saya dan hanya Allah yang dapat membantu membalas kebaikan anda semua," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain