suria

Kesian... nak beritahu ada ular, disangka mahu ayam goreng! Dah 2 kali selamatkan tuan, siapa kata kucing hitam bawa malang?

Tingkah laku aneh Bulan membawa kepada penemuan seekor ular tedung selar.

ORANG kata kucing hitam dianggap malang, membawa petanda buruk. Betul ke?

Mungkin tanggapan itu sekadar mitos dan kepercayaan bagi sebahagian masyarakat, tidak kiralah sama ada di Malaysia atau di luar negara.

Namun, seekor kucing hitam menjadi perhatian di media sosial apabila pemiliknya mendedahkan haiwan peliharaannya itu sudah dua kali membantu menyelamatkan individu lain.

Perkongsian Emma di Twitter menjadi tular.

Kucing hitam yang dibela Emma sejak kecil.

Bercakap kepada mStar, pemiliknya, Nurul Irma Ismail berkata, kucing hitam yang diberi nama Bulan Gerhana itu merupakan baka domestic long hair dan berusia tujuh tahun.

Memeliharanya sejak kecil, dia yang lebih mesra disapa Emma memberitahu, kucing jantan itu merupakan haiwan yang sangat manja dan mudah dijaga.

"Kejadian pertama berlaku tiga tahun lalu di rumah keluarga saya di Bukit Wang di Jitra, Kedah. Masa tu hanya mak dan Bulan (panggilan kucing) di rumah.

"Mak saya panaskan kuali sebelum masak lauk makan tengah hari, kemudian dia pergi tengok TV kat ruang tamu sehingga lupa. Biasa la mak dah tua, usia 60an.

"Masa tengok TV, mak perasan Bulan asyik meow, dia datang ruang tamu meow-meow dan kembali ke dapur. Tapi mak saya tak kisah sangat sebab Bulan suka meow," katanya ketika dihubungi.

Bulan sangat manja dan mudah dijaga.

Bagaimanapun, Emma yang berusia 30 tahun berkata, kucingnya itu berulang kali mengiau dan berjalan antara ruang tamu dan dapur.

ARTIKEL BERKAITAN: Untung la si bulus! Bukan rumah, lelaki ini bina 'istana' inspirasi drama Korea demi keselesaan kucing bermacam baka - "Saya bela macam anak sendiri"

ARTIKEL BERKAITAN: Sayang nak buang, suami isteri transform almari lama jadi rumah mewah buat si bulus... bertukang 'asal boleh je' tapi kreatif!

"Mak pun pusing tengok dia sambil tanya kenapa? Masa tu baru mak ternampak dapur dah berasap. Kelam-kabut mak bangun dan capai tuala untuk padam api kat dapur.

"Mak melecur sikit di bahagian dagu masa nak padam sebab api dah tinggi, apabila letak tuala, api tu macam menyambar ke muka sikit.

"Apabila api dah padam baru Bulan berhenti meow. Tiada apa yang serius selain kerosakan kecil di bahagian dapur," ujarnya.

Anggota JPAM membawa keluar ular dari kedai makan.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu lagi, insiden kedua pula baru berlaku minggu lalu di kedai makan abangnya yang terletak di hadapan rumah.

"Bulan jarang ada di kedai waktu pagi. Tapi hari tu dia di situ sampai abang dan kakak datang buka kedai kira-kira pukul 10.30 pagi. Buka je kedai, Bulan masuk sambil meow-meow.

"Kakak saya ingatkan Bulan lapar sebab dia selalu minta ayam goreng, tapi Bulan buat macam curious tentang something, dia jalan perlahan-lahan ke meja tempat bancuh air.

Sebenarnya, tak ada kucing pun yang bawa malang dalam hidup ni.

EMMA

"Bulan macam tengok sesuatu dan terus berjalan mengundur. Kakak pun hairan dan dia jenguk bawah meja nak tengok apa yang Bulan nampak," tambahnya.

Kata Emma, alangkah terkejutnya apabila kakaknya terpandang seekor ular yang sedang melingkar di bawah meja.

Kucing hitam yang dibela Emma sejak kecil.

Kucing hitam yang dibela Emma sejak kecil.

"Tapi bukan ular biasa, abang tengok nampak sisik besar-besar... baru tahu itu adalah ular tedung selar.

"Abang hubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi membantu mengeluarkan ular tedung tu dari kedai. Lepas abang dan kakak tahu pasal ular tu Bulan pun berhenti meow.

"Alhamdulillah, semua okay dalam kejadian ni. Tapi kalau Bulan tak beritahu ada ular, tak pasti la apa yang akan jadi sebab ular tu besar betul," katanya lagi.

Emma menolak tanggapan kucing hitam pembawa malang.

Emma menolak tanggapan kucing hitam pembawa malang.

Turut membela tujuh lagi kucing, Emma yang mengusahakan bisnes dalam talian berkata, perkongsiannya itu sebenarnya untuk memberitahu bahawa sekiranya manusia menjaga haiwan dengan baik dan sempurna, dengan izin Allah ia akan menjaga dan melindungi kita juga.

"Saya juga nak ubah stereotaip orang tentang kucing hitam ni pembawa malang. Sebab Bulan kucing hitam dan dia adalah kucing paling bertuah yang saya ada.

"Sebenarnya, tak ada kucing pun yang bawa malang dalam hidup ni. Kucing pun makhluk Tuhan juga yang perlu disayangi," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain