suria

Untung la si bulus! Bukan rumah, lelaki ini bina ‘istana’ inspirasi drama Korea demi keselesaan kucing bermacam baka - “Saya bela macam anak sendiri”

Johan menyediakan 'istana' sebagai keselesaan untuk kucing-kucingnya.

IBARAT syurga buat kucing, sebuah 'istana' dibina begitu cantik khusus untuk haiwan peliharaan itu.

Menerusi video di aplikasi TikTok yang meraih lebih 600,000 tontonan itu, ada yang menyifatkan istana kucing itu jauh lebih besar daripada sebuah bilik tidur.

Ia merupakan 'asrama' di mana setiap bilik dilengkapi dengan kipas, lampu LED dan kipas pengudaraan, selain ruang tersebut turut mempunyai tempat permainan dan almari yang menyimpan aksesori si bulus.

ARTIKEL BERKAITAN: "Ada yang nak terjun bot" - 'Bukan pencinta kucing' gigih redah banjir selamatkan si bulus, tapi tugasnya tak semudah disangka!

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan terkejut rider wajah ganas bawa 'peneman' pergi kerja - "Macam gangster yang sayang sangat mak dia"

Pemuda berkenaan, Johan Eskandar Mohamad Najib berkata, dia merupakan pencinta kucing sejak kecil dan kini berpeluang mempunyai studio yang menempatkan 46 ekor kucing.

Kucing-kucing yang dibela anak muda berusia 29 tahun itu terdiri daripada baka Scottish Fold, British Short Hair, Maine Coon, Munchkin, American Curl dan Sphynx.

"Istana kucing dibina mengikut rekaan saya sendiri bagi memberi keselesaan kepada kucing-kucing. Saya kena cari tukang kayu dan kena pastikan pengudaraan yang baik.

"Ia siap dibina pada pertengahan tahun lalu mengikut kepuasan sendiri. Saya kasihan bila tengok kucing dalam sangkar, terpaksa pijak jaring-jaring," katanya kepada mStar namun enggan mendedahkan kos keseluruhan istana kucing berkenaan.

rumah kucing

Rekaan 'istana' yang menggunakan warna-warna pastel.

Lebih mesra disapa Johan, katanya, istana kucing itu mendapat inspirasi daripada bilik tidur kanak-kanak perempuan dengan penggunaan warna-warna pastel dan emas.

"Penggunaan warna-warna diilhamkan daripada rumah-rumah yang saya tonton dalam drama-drama Korea. Nampak sedap mata memandang, saya gunakannya untuk istana kucing.

"Saya bela kucing macam anak sendiri. Jadi, saya akan pastikan mereka selesa dalam istana yang ditempatkan dalam sebuah studio di rumah," ujarnya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

istana kucing 2

Antara puluhan kucing yang dibela Johan.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, kesemua kucing belaannya diberi nama-nama yang unik sempena pencuci mulut yang menjadi kegemarannya.

Antara nama-nama kucingnya ialah Jellybean, Momofuku, Cupcake, Sugar, Milkshake, Cheezels, Truffle, Waffle, Pudding, Pretzel, Bonbon, Chiffon, Popcorn dan Biscoff.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Bukan setakat nama pencuci mulut western saja, saya juga letak nama manisan di Malaysia seperti lopes, dodol, pulut dan cendol termasuk onde-onde," katanya.

istana kucing 4

Sudut permainan untuk kucing.

Selain menjadi pembiak kucing berdaftar dan bertauliah, Johan juga mengusahakan bisnes produk suplemen untuk kesihatan kucing.

Johan berkata, dia sebelum ini membuka sebuah studio kucing pada 2016 untuk orang ramai dengan bayaran sebanyak RM10 seorang bagi tempoh 50 minit.

Masa kecil dulu, mak ayah tak galakkan saya bela kucing kerana memerlukan komitmen tinggi, belanja yang besar. Jadi saya mendekati kucing-kucing jalanan sebelum berkemampuan untuk membela kucing sendiri

JOHAN

"Saya saja nak share love, expose baka-baka kucing kepada pencinta kucing terutama mereka yang nak tinjau dan merasai pengalaman dengan kucing-kucing secara dekat," ujarnya.

Malah katanya, terdapat pengunjung yang datang sekadar suka-suka untuk menjaga kucing-kucing yang ditempatkan dalam studio berkenaan dan situasi itu difahaminya seratus-peratus.

istana kucing 1

Johan membela pelbagai jenis baka kucing.

"Saya faham perasaan pencinta kucing. Masa kecil dulu, mak ayah tak galakkan saya bela kucing kerana memerlukan komitmen tinggi, belanja yang besar. Jadi saya mendekati kucing-kucing jalanan sebelum berkemampuan untuk membela kucing sendiri.

"Sekarang ni saya dah ada studio yang baru menempatkan istana kucing. InsyaAllah memang rancang nak buka semula untuk orang ramai bila wabak Covid-19 berakhir.

"Cuma ia akan dibuka secara percuma mengikut peraturan yang ditetapkan. Operasi hanya satu sesi untuk dua orang saja sehari untuk memastikan kesihatan kucing terjaga," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain