suria

Hampir setahun nenek ‘pergi’, cucu kesayangan pula menyusul... Cerita kebaikan arwah undang sebak pasukan urus jenazah

Suasana di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beris Cawat di Besut, Terengganu.

SELEPAS hampir setahun seorang nenek meninggal dunia, baru-baru ini cucunya pula menyusul.

Pemergian si mati cukup menyentuh emosi pihak yang menguruskan jenazah kedua-duanya.

"14 November 2021 kami kebumikan si nenek. Hari ini (Isnin) 24 Oktober 2022, kami kebumikan si cucu pula.

"Semasa hayat si nenek, arwah la yang menjaga si nenek kerana si nenek dipotong kedua-dua belah kaki akibat penyakit kencing manis," tulis seorang sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan jenazah secara percuma, di Facebook.

jenazah cucu 2

Nenek kepada arwah meninggal dunia akibat Covid-19.

Sukarelawan yang lebih dikenali sebagai Mat Yoe itu berkata, cucu perempuan berkenaan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Besut, Terengganu, pada pukul 12.40 malam akibat serangan strok pada usia 33 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki anak dapat cium mak kali terakhir dari atas stretcher, saat akhir ada pihak sanggup usung sampai kubur

ARTIKEL BERKAITAN: Dah urus beratus jenazah, kali ini situasinya luar biasa! Anggota pengurusan terkejut lihat 'babak' isteri cium, bisik di kaki jenazah suami

Menurutnya, nenek arwah pula meninggal dunia disebabkan jangkitan Covid-19.

"Arwah cucu merupakan anak sulung daripada empat beradik. Adik-beradiknya ada di negeri lain dan dia tinggal bersama ibu, ayah dan neneknya (kini arwah).

"Jadi, dia la yang banyak menjaga neneknya di rumah. Apa yang diceritakan oleh ahli keluarga, arwah sangat baik dan penyayang," katanya kepada mStar.

jenazah cucu 6

Van jenazah yang sama digunakan untuk membawa jenazah nenek dan cucu.

Mat Yoe berkata, arwah cucu berkenaan yang dikatakan berjawatan pengurus itu juga amat disenangi dalam kalangan pekerja.

"Sikapnya mesra dan suka membantu orang lain," katanya yang merupakan sukarelawan menerusi JNZA Gaung Global.

Sangat sebak sebab rasa macam baru je lagi kebumikan si nenek tapi hari ini giliran si cucu pula.

MAT YOE

Terdahulu, arwah cucu tersebut diserang strok pada Jumaat, sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

"Keadaannya semakin kritikal. Pihak keluarga telah sedia maklum mengenai keadaan pesakit (cucu) dan reda dengan sebarang kemungkinan.

"Sejam selepas dibawa pulang ke rumah, pesakit meninggal dunia," tambahnya.

jenazah cucu 4

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Beris Cawat di Besut.

Dalam pada itu, Mat Yoe turut mendedahkan bahawa kedua-dua jenazah nenek dan cucu menggunakan van jenazah yang sama, malah turut diuruskan oleh pasukan sama.

"Yang ini bukan kebetulan kerana kami merupakan satu-satunya pasukan di daerah ini yang melakukan pengurusan jenazah secara percuma. Mandi, kapan dan van jenazah semuanya percuma.

"Jenazah si cucu juga dikebumikan bersebelahan dengan kubur neneknya atas permintaan keluarga," katanya sambil menambah jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beris Cawat di Besut.

Mengenai perkongsiannya di laman sosial, Mat Yoe mengakui sebak kerana dia turut bersama pasukan menguruskan jenazah nenek arwah pada tahun lalu selain keperibadian si mati yang mulia.

"Perasaan sangat sebak sebab rasa macam baru je lagi kebumikan si nenek tapi hari ini giliran si cucu pula," katanya yang akur bahawa ajal dan maut itu adalah ketentuan Tuhan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain