suria

[V] “Tangan berpeluh tanda ‘benda’ tu nak sampai” - Pemuda kongsi perit anxiety, pernah jalan kaki 40km ke JB... famili pun sukar faham

Jalil menceritakan petanda dan impak serangan anxiety ke atas dirinya.

KESIHATAN mental bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng walaupun tidak kelihatan dek mata kasar.

Tak ramai yang faham bahawa kecelaruan minda yang membebani seseorang itu boleh mengganggu kehidupan hariannya.

Hilangnya pertimbangan akal boleh menyebabkan individu itu seolah-olah hilang kawalan ke atas dirinya.

Begitulah pengalaman hitam yang diceritakan Jalil Razak, 38, dalam sebuah video tular di TikTok apabila dia melalui serangan gangguan kebimbangan (anxiety attack).

“Benda itu akan datang secara tiba-tiba. Petanda benda itu dah nak sampai adalah bila tangan kita berpeluh dan jantung berdebar sampai sesak nafas.

“Bila jadi tu kena duduk tepi dan cuba tenangkan diri sendiri. Orang anxiety ni banyak bersoal jawab dengan diri sendiri. Banyak sangat benda bermain dalam minda.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurutera bimbang dilabel lelaki lembut selepas video memasak viral, pernah masuk wad psikiatri sebab depresi

ARTIKEL BERKAITAN: Suka kelar tangan, cakap tentang mati... ibu bimbang ‘berjangkit’ depresi anak umur 12 tahun - “Saya menangis sepanjang malam, tak boleh senyum lagi”

“Kadang kita kena pujuk diri jangan serabut berfikir dan serahkan aturan hidup kepada Tuhan,” kata Jalil ketika dihubungi mStar.

Jalil berkata selepas video perkongsiannya itu viral di TikTok, barulah dia sedar yang dia tidak keseorangan dalam menghadapi serangan gangguan kebimbangan.

Seterusnya dia menceritakan bagaimana serangan yang dihadapinya pernah menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki pada pukul 2 pagi.

Jalil masuk ke dalam hutan untuk mencari ketenangan jiwa.

“Saya perlukan sesuatu untuk alihkan perhatian saya, sibukkan diri saya. Kalau biarkan ia akan jadi lebih kronik. Tak boleh melayan.

“Jadi ada satu malam tu bila dah teruk sangat, saya ambil keputusan untuk pakai kasut dan keluar berjalan. Dari rumah saya dekat Kampung Sri Pandan saya berjalan ke bandar Johor Bahru dalam 40km sehala.

“Pagi dah nak dekat subuh baru saya balik rumah. Penat, saya terus tidur. Baru boleh berehat,” luahnya.

Bila kita jumpa orang yang pernah kena anxiety baru kita saling memahami.

JALIL RAZAK

Ketika ditanyakan sama dia pernah menceritakan isu yang dihadapinya kepada orang di sekeliling, Jalil menjawab itu adalah perkara yang sukar kerana hanya mereka yang pernah melalui boleh memahami.

“Saya pernah cerita dekat orang rumah, adik, mak dan kawan saya sendiri. Mereka beranggapan seperti saya mengada-adakan cerita. Mereka akan cakap ini cuma mainan perasaan.

“Mereka kata biar sahaja nanti lama-lama hilang sendiri. Mereka nasihat saya untuk duduk atas sejadah, berzikir dan taubat kuat-kuat. Orang yang kena anxiety tak perlu jawapan macam itu.

photo1666106677

Jalil dan isterinya merantau di sekitar Kuala Lumpur.

“Bila kita jumpa orang yang pernah kena anxiety baru kita saling memahami dan boleh saling berbincang. Kita tahu perasaan itu macam mana,” terangnya penuh emosi.

Berdasarkan pengalaman yang telah dilaluinya, Jalil berkata setiap orang berbeza-beza cara dalam menangani serangan gangguan kebimbangan.

“Ada yang memilih untuk berjumpa doktor pakar psikologi dan mendapatkan bantuan perubatan. Tetapi kalau macam saya, saya lebih selesa untuk mendekatkan diri dengan alam dan tenangkan fikiran.

Jalil memerhatikan gelagat orang ramai sambil bersantai di bahu jalan di ibu kota.

“Saya masuk dalam hutan untuk pergi memancing dan jalan kaki berseorangan. Larikan fikiran saya dari benda yang tidak sepatutnya.

“Kadang-kadang saya pergi ke Kuala Lumpur dan duduk di bahu jalan sambil memerhatikan orang lalu-lalang. Tengok character mereka. Benda itu menenangkan saya. Lagipun dekat sana tak ada siapa yang akan kenal saya,” ceritanya.

Berpesan kepada mereka yang senasib dengan dirinya, Jalil berkata 'tepuk dada tanya selera', cari kaedah yang bersesuaian dengan diri dalam berhadapan serangan gangguan kebimbangan.

“Akal dan fikiran kita bermacam ragam. Kita kena tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Kalau rasa pilihan kedoktoran adalah cara yang terbaik, teruskan. Kalau rasa menyibukkan diri cara yang berkesan, teruskan.

“Terpulang kepada diri masing-masing. Cara yang terakhir adalah kembali kepada Tuhan. Serahkan kerja Tuhan kepada Tuhan. Kita tak boleh nak kawal semua benda,” ujar Jalil mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!