suria

[V] Simpan misai, kerja di kantin... pemuda usia 20 tahun sabar je dipanggil pakcik demi kumpul duit sambung degree

Aniq digelar pakcik kantin apabila membantu keluarganya berniaga di sekolah.

HANYA kerana memakai apron dan memiliki wajah bermisai, pemuda yang bekerja di sebuah kantin sekolah ini mendapat gelaran 'pakcik kantin'.

Begitulah yang terjadi kepada Ahmad Aniq Yahaya, 20, yang menceritakan pengalamannya ketika membantu keluarga menguruskan kantin di Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai, Kuala Lumpur.

Jelasnya yang senang disapa Aniq, dia bekerja di situ kerana mempunyai masa lapang untuk melakukannya secara sambilan terutama setiap kali cuti semester.

“Saya baru sahaja habis menjalani latihan industri (praktikal) di Majlis Sukan Negara selama tiga bulan.

“Selepas habis praktikal, saya ada kelapangan masa sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah bagi Sarjana Muda Sains Ketangkasan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Jadi saya ambil keputusan untuk bekerja di kantin sekolah.

“Saya mula bekerja di kantin sejak lepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan sememangnya keluarga memang berniaga sejak saya kecil. Dengan adanya kelapangan masa sebelum sambung belajar, saya buat part time bantu keluarga,” katanya.

Menurut Aniq, tujuan asal dia bekerja adalah untuk membeli keperluan pengajian dan mengurangkan bebanan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelatih tentera makan nasi, air kosong di kantin! Tiada jawapan ditanya 'kenapa tiada lauk?'

ARTIKEL BERKAITAN: Hari-hari dapat makan percuma, nenek kantin tolak tiap kali hulur duit... Selepas 5 tahun gadis ini buat ‘drama’ air mata

Mengakui dirinya bukanlah datang dari sebuah keluarga yang senang, dia menganggap bekerja di waktu lapang dapat memupuk dan mendidik dirinya agar lebih bersyukur dengan nikmat Allah.

“Kenapa saya pilih kerja di kantin sebab kerja di sana memberikan satu pengalaman hidup yang berharga buat diri. Lagi pula, saya dilahirkan dalam persekitaran keluarga bukan senang.

“Kebanyakan kawan seusia saya lebih memilih kerja sambilan dalam pusat beli belah. Tapi berbeza pula dengan saya sebab tak rasa malu malah pekerjaan macam ni memberikan saya satu inspirasi untuk belajar erti syukur dan pengajaran untuk belajar bersungguh-sungguh.

Mereka gelarkan saya pakcik sebab itulah antara bahasa mudah untuk mereka panggil.

AHMAD ANIQ

“Saya juga belajar erti betapa susahnya orang tua mencari duit untuk anak-anak dan keluarga mereka kerana rata-rata pekerja kantin ini bukan datang daripada keluarga senang,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai video yang tular, katanya, dia sekadar mahu berkongsi tentang murid sekolah yang memanggilnya 'pakcik' walau dirinya baru berusia 20 tahun, .

Walaupun begitu, Aniq hanya membiarkan sahaja mereka menggelarkan dirinya sedemikian kerana menganggap gelaran tersebut sebagai tanda murid-murid menghormatinya sebagai individu yang lebih berusia.

“Mereka gelarkan saya pakcik sebab itulah antara bahasa mudah untuk mereka panggil, contohnya sebelum ni mereka cakap pakcik saya nak air Milo! dan Cik nak nasi lemak satu!.

Aniq bakal menyambung pengajian di peringkat ijazah.

“Perasaan saya sememangnya seronok sebab itulah cara panggilan mereka untuk menghormati orang yang lebih dewasa,” ujarnya.

Video dikongsikan di TikTok itu menjadi tular sehingga meraih hampir 500,000 jumlah tontonan.

Rata-rata wargs maya terhibur dengan perkongsiannya malah Aniq sendiri tidak menyangka bahawa terdapat ramai netizen yang mengalami masalah sama sepertinya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain