suria

Seorang pun syukur, tak sangka Allah hadiah kembar! Sayu momen 2 bayi IVF datang jauh dari T'ganu-JB jumpa doktor

(Kiri) Noorain dan suami tidak mampu menahan tangis apabila dirinya disahkan hamil tahun lalu, (kanan) pertemuan bersama Dr Thokha baru-baru ini.

TANGGAL 10 Januari 2021 merupakan tarikh keramat bagi pasangan ini.

Selepas tujuh tahun bergelar pejuang dua garis biru, Noorain Seman dan suami, Mohd Ridzuan Azis akhirnya menerima perkhabaran gembira yang sekian lama dinantikan.

Berkat usaha tanpa jemu serta mencuba pelbagai ikhtiar, mereka akhirnya bakal menimang cahaya mata sulung sebagai pelengkap rumah tangga.

Video pasangan ini berpelukan sambil menangis kesyukuran tatkala membuka bekas mengandungi kit ujian kehamilan (UPT) di dalam bilik doktor sekitar awal tahun lalu, menjadi tular di mana rata-ratanya turut sebak dengan perkongsian penuh emosi tersebut.

Kini selepas lebih setahun berlalu, pasangan berkenaan kembali ke bilik doktor yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 8 tahun menunggu, wanita ini menggigil tengok ‘dua line’... segera tutup tawaran untuk suami kahwin lain! - “Sebelum ni saya buang je kit ujian tu”

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak kan semua nak beritahu orang?” - Selepas 7 tahun menunggu, sabar ‘hadap’ soalan sensitif... pasangan TTC masih harap timang zuriat tahun 2022

Namun kunjungan pada kali ini bukan berdua, sebaliknya berempat di mana mereka turut disertai sepasang kembar yang dilahirkan hasil kaedah persenyawaan invitro (IVF) yang dilakukan dengan bantuan doktor berkenaan.

Berkongi cerita, Noorain berkata dia sememangnya berhajat untuk membawa anak kembarnya, Aariz Mikhail dan Airis Mikhayla yang kini berusia sembilan bulan, bertemu dengan doktor yang banyak berjasa dalam perjalanan rawatan IVF yang dilaluinya, Dr Thokha Muhammad.

IVF 2

Noorain 'menetap' di Johor Bahru selama sebulan ketika mendapatkan rawatan kesuburan dengan Dr Thokha.

"Memang rancang nak bawa pasangan kembar ini jumpa 'datuk' mereka sebelum ini namun baru sekarang berkesempatan. Alang-alang turun ke Johor, jumpa sekali Dr Thokha.

"Meskipun Dr Thokha mempunyai ramai 'cucu' yang lahir dengan rawatannya, tapi beliau masih kenal dengan saya dan suami kerana kami dulu datang jauh dari Terengganu.

"Bila saya muat naik video pertemuan dengan Dr Thokha baru-baru ini, ramai netizen masih ingat video lama saya waktu jalani IVF dulu. Ramai terharu bila saya bawa kembar jumpa doktor... dulu berdua, sekarang berempat," ujarnya kepada mStar ketika bercerita mengenai pertemuan dengan Pakar Perbidanan & Sakit Puan Hospital Pakar Regency itu, 11 Jun lalu.

Ketika menyingkap semula perjalanan rawatan IVF yang dilalui sebelum akhirnya berjaya hamil, Noorain berkata segala-galanya bukanlah satu proses yang mudah.

IVF 3

Noorain bersyukur kerana proses kehamilan anak sulungnya dipermudahkan.

"Mungkin daripada video, orang tengok seperti 'simple' sahaja namun kita sendiri yang melalui segala-galanya. Hanya pejuang dua garis sahaja yang tahu bagaimana rasanya.

"Saya dan suami sebelum ini melakukan pelbagai ikhtiar termasuk berubat secara tradisional, malah saya bertemu pakar bagi menjalani pembedahan laporoscopy pada 2016 akibat cyst... namun belum ada rezeki nak hamil.

"Ibu saya dah lama cadangkan untuk cuba IVF namun belum sampai seru. Akhirnya pada Disember 2020, saya dan suami cuba kaedah IVF dengan Dr Thokha.

"Selama sebulan saya tinggal di Johor untuk jalani rawatan ini," ujarnya yang berasal dari Terengganu.

Pengasas produk kesihatan dan kecantikan, AirizSkinz ini menambah, dia dan suami sudah bersedia dan bertawakal dengan apa jua keputusan kerana menyerahkan urusan rezeki kepada Allah.

Ramai yang tengok video tu sebak sebab ia seperti 'jejak kasih' di mana saya turut selitkan video throwback awal tahun lalu ketika sedang jalani rawatan.

NOORAIN SEMAN

"Dr Thokha sendiri banyak kali menekankan pentingnya untuk bertawakal dengan usaha yang dilakukan. Masa tu terdetik juga, berjaya ke tidak rawatan ini.

"Masa Dr Thokha suruh buka bekas UPT, saya dah menangis dulu sebelum tengok keputusannya. Bila buka dan lihat dua garisan, memang terus meraung dan peluk suami.

"Syukur Alhamdulillah. Kami langsung tak berharap jantina apa. Bagi kami, dapat seorang pun syukur. Namun tak sangka, Allah hadiahkan kembar... sepasang pula tu," katanya lagi.

Untuk rekod, video kedua iaitu video pertemuan dengan Dr Thokha yang dimuat naik oleh Noorain baru-baru ini meraih sehingga 931,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

IVF 1

Anak kembar pasangan ini kini sudah menjangkau usia sembilan bulan.

"Langsung tak sangka ia menjadi tular lagi sekali. Ramai yang tengok video tu sebak sebab ia seperti 'jejak kasih' di mana saya turut selitkan video throwback awal tahun lalu ketika sedang jalani rawatan.

"Saya terharu dengan respon dan komen-komen netizen. Namun apa yang membuatkan saya tersentuh adalah apabila ramai wanita khususnya yang senasib menghantar DM.

"Mereka beritahu video tersebut sedikit sebanyak menguatkan semangat dan menjadi inspirasi untuk mereka terus berusaha dapatkan zuriat selepas ini. Sebab ada yang takut dan ada yang tak tahu pasal rawatan ini.

"Akhir kata, jangan putus asa untuk mendapatkan sesuatu. Allah tetapkan rezeki kita pada waktu yang kita perlu. Yakin dengan perancangan-Nya," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain