suria

Guru agama tunjuk bakat luar biasa! Duduk belakang kanvas, lukis potret secara terbalik... tahu-tahu dah siap wajah Jimin BTS

Jefri melukis potret Jimin BTS secara terbalik dari belakang kanvas.

BUKAN semua orang mampu melukis potret dengan baik, apatah lagi imej dilakar secara terbalik.

Jika imej yang dilukis secara terbalik itu di dilukis dari arah belakang, lagilah sukar untuk orang ramai mahu mempercayainya.

Namun, seorang lelaki dapat menghasilkan potret salah seorang anggota kumpulan popular Korea Selatan, BTS iaitu Jimin, dengan secara terbalik dari arah belakang.

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara bakat luar biasa, guru ditanya 'raya balik planet mana' selepas lukis 8 potret serentak guna kaki

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula 'request' isteri, karya seni atas daun kini sumber rezeki... 'pakar bedah daun' nak serah potret Tun M tapi malu - "Silap sikit, kena buat lain"

Pelukis berkenaan, Jefriddin Suliman berkata, pada mulanya dia melukis potret Jimin bagi memenuhi permintaan salah seorang pengikutnya di akaun TikTok.

Menjadikan laman sosial popular tersebut sebagai platform untuk perkongsian karya seninya, lelaki berusia 38 tahun itu mahu menampilkan pembaharuan dan kelainan.

"Macam-macam teknik yang pernah saya buat untuk melukis potret. Jadi, saya mahu pastikan setiap lukisan yang dikongsi kepada followers menggunakan teknik yang berbeza.

"Teknik melukis 'double' terbalik ini pernah dibuat di luar negara. Saya cuba kaji untuk melakukan perkara sama bagi potret Jimin BTS," ujarnya yang berasal dari Kampung Rancangan Klias di Beaufort, Sabah.

lukis terbalik 1

Potret Jimin BTS dihasilkan dalam masa 40 minit.

Lebih mesra disapa Jefri, dia mengakui banyak latihan dan beberapa percubaan perlu dilakukan untuk menghasilkan karya tersebut dengan kemas.

"Saya lukis potret Jimin secara terbalik dari arah belakang. Tiada cermin di hadapan, dan memang saya membelakangi kanvas.

Saya sebenarnya tak kenal ahli-ahli BTS. Tapi saya membuat carian di Google selepas ramai follower minta saya lukis potret anggota kumpulan itu

JEFRIDDIN SULIMAN

"Nak lukis dari arah belakang ni ada teknik di mana saya perlu melukisnya di luar rumah pada waktu siang untuk mendapatkan bayang-bayang berdasarkan cahaya matahari.

"Maksudnya di belakang kanvas tu, saya nampak apa yang dilukis. Jadi, saya cuba melukisnya dengan pandangan berdasarkan bayang-bayang di kanvas," tambahnya.

lukis terbalik 5

Pada mulanya imej lain dilukis, sebelum bertukar menjadi potret Taehyung BTS.

Menurut guru agama di Sekolah Agama Negeri Kampung Klias Kecil itu, dia hanya mengambil masa 40 minit untuk menghasilkan potret tersebut.

"Memang pantas sebab saya hanya lukis guna pen marker. Cuma tangan saya lenguh kerana ia berlipat ketika melukisnya dari arah belakang.

"Bagi mengatasi keadaan ini, saya lukis secara bergilir. Bila tangan kanan lenguh, saya lukis guna tangan kiri. Kalau tangan kiri yang lenguh, saya tukar guna tangan kanan," ujarnya.

lukis terbalik 4

Jefri melukis potret Jungkook BTS menggunalkan serbuk Milo bercampur air.

Jefri yang juga seorang imam berkata, selain melukis di luar untuk mendapatkan cahaya matahari, ia juga boleh dilukis di dalam bangunan menggunakan cahaya lampu.

"Tapi perlukan lampu yang sangat terang. Macam wayang kulit ada bayang-bayang untuk lihat imej yang dilukis di sebalik kanvas," katanya.

lukis terbalik 6

Selain Jimin, Jefri turut melukis potret dua anggota BTS, Taehyung (kiri) dan Jungkook.

Tambah Jefri lagi, Jimin bukanlah potret anggota BTS pertama yang dilukisnya kerana dia telah melukis wajah dua lagi ahli kumpulan popular itu, Jungkook dan Kim Taehyung (V).

"Saya sebenarnya tak kenal ahli-ahli BTS. Tapi saya buat carian di Google selepas ramai followers minta saya lukis potret anggota kumpulan itu.

"Ramai yang minta untuk saya lukis anggota lain. Saya akan cuba penuhi permintaan mereka, tapi kena fikir teknik dan idea kreatif lain untuk melukis potret tersebut," katanya yang mempunyai lebih 150,000 pengikut di TikTok.

Jefri sebelum ini melukis potret Jungkook menggunakan serbuk Milo bercampur air, manakala wajah Taehyung dilukis pada asalnya imej lain, dan kedua-duanya dihasilkan secara terbalik.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain