suria

Gara-gara bakat luar biasa, guru ditanya ‘raya balik planet mana’ selepas lukis 8 potret serentak guna kaki

Saiful Thaqif (gambar kecil) melukis lapan potret keluarga menggunakan kedua-dua kakinya.

"ABANG raya ni balik planet mana?"

"Pluto," demikian jawapan 'selamba' seorang lelaki kepada pertanyaan seorang pengikutnya di laman sosial menerusi satu perkongsian video menunjukkan dirinya seolah-olah melukis lapan potret serentak.

Bakatnya cukup luar baisa apabila kesemua potret itu dilakarkan dengan hanya menggunakan kedua-dua kakinya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dari planet mana ni?" - Guru ada bakat luar biasa, lukis 4 potret serentak guna semua tangan, kaki

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula 'request' isteri, karya seni atas daun kini sumber rezeki... 'pakar bedah daun' nak serah potret Tun M tapi malu - "Silap sikit, kena buat lain"

Bercakap kepada mStar, pelukis berkenaan, Mohd Saiful Baharom Shah berkata, lapan potret itu dihasilkan setelah sekian lama tidak membuat 'content' di laman sosial.

Menurutnya, potret tersebut memaparkan wajahnya dan isteri, Roszalina Zainal Abidin serta enam anaknya, Muhammad Thaqif Rafiqin, 13; Muhammad Takhfif Razin, 10; Dhia Eryna Sofiya, 7, Dhia Alfhatunissa, 6, Dhia Naurah Khayal, 3, dan Dhia Naurah Khayra, 3.

"Saya buat khas untuk raya kerana dah lama tak buat content. Ada juga yang bertanyakan saya ke mana lama menghilang sebab tak buat content.

"Lukisan yang dihasilkan menggunakan teknik see saw (jongkang jongkit) di mana ia dilukis bukan serentak tetapi bergiliran.

"Maksudnya jika lukis mata, maka semua potret dilukis mata terlebih dahulu barulah ke bahagian lain mengikut urutan. Setelah siap kesemua potret, maka video dilajukan (edit)," katanya yang berusia 39 tahun itu ketika dihubungi.

potret raya 3

Saiful Thaqif (belakang, dua kanan) bersama keluarga.

Anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini memberitahu, bahan yang digunakan adalah pen marker berwarna hitam, merah dan biru.

"Potret dilukis secara bergiliran menggunakan dua pen dilukis terlebih dahulu dan pen yang lain akan ditutup penutupnya supaya tidak terconteng. Potret dilukis menggunakan kaki hingga siap.

"Tempoh menyiapkan kesemua potret selama seminggu bermula Ahad. Sehari mengambil masa sejam hingga dua jam," ujarnya yang lebih dikenali sebagai Saiful Thaqif.

potret raya 5

Potret raya keluarga Saiful Thaqif yang dihasilkan menggunakan kedua-dua kaki.

Menurut guru Pendidikan Seni di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin di Manong, Perak itu, saat paling mencabar untuk menyiapkannya adalah pada gambar nombor satu dan nombor lapan kerana kedudukan kedua-duanya paling hujung.

"Jadi kawalan pen menggunakan kaki kena lebih tumpuan. Walaupun tidak berapa sempurna tapi berjaya disiapkan menunjukkan muka sendiri (gambar nombor satu).

Potret dilukis secara bergiliran menggunakan dua pen dilukis terlebih dahulu dan pen yang lain akan ditutup penutupnya supaya tidak terconteng.

SAIFUL THAQIF

"Dalam bulan puasa ni kekangan masa sebab solat tarawih, jadi tak boleh siapkan dalam sehari. Kemudian video-video tersebut akan dicantumkan menjadi satu, tapi masih menggunakan kedua-dua kaki sehingga siap," tambahnya.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Saiful Thaqif yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 15 tahun itu berkata, dia sekeluarga beraya di kampung isteri di Kampung Simpang 3 di Manong, pada 1 Syawal.

potret raya 4

Saiful Thaqif teruja beraya di kampung sempena Aidilfitri tahun ini.

"Dua tahun sebelumnya kami sekeluarga beraya di kampung saya di Kampung Senggang di Kuala Kangsar. Sebenarnya tiada isu nak beraya di mana pun sebab jarak kampung isteri dan kampung saya tidak jauh kerana dalam daerah sama di Kuala Kangsar.

"Aidilfitri kali ini sudah tentu saya excited nak jumpa adik-beradik, saudara-mara, anak-anak saudara untuk beraya bersama-sama kerana dah dua tahun tak beraya bersama disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),

"Ada permintaan daripada adik-beradik dan saudara-mara (untuk melukis potret). Tapi saya ingat waktu raya saya tak nak melukis, saya nak beraya," ujarnya secara berseloroh.

Video lukisan potret raya keluarga yang dikongsi Saiful Thaqif di aplikasi TikTok meraih lebih 700,000 tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harry Maguire jadi sasaran Chelsea