suria

Majikan berat hati nak lepas pekerja asing! Walau dah belanja tiket flight balik Bangladesh, tetap akan ikhtiar terbangkan semula ke Malaysia

Aiman sanggup membayar tiker penerbangan pekerja warga asingnya yang pulang ke negara asal.

WARGA asing yang merantau ke negara kita kebanyakannya bertujuan mencari rezeki demi kelangsungan hidup dan untuk menyara keluarga mereka.

Menerusi posting tular yang dimuat naik oleh Azwana, 29, dia menulis luahan menyentuh emosi apabila terpaksa berpisah dengan seorang pekerja suaminya, Aiman, 29, yang berasal dari Rajshahi, Joypurhat, Bangladesh.

Pekerja warga asing yang dipanggil Helal, 43, itu terpaksa pulang ke negara asalnya selepas menetap lebih 12 tahun di negara ini dan berkhidmat dengan suaminya yang merupakan pengusaha sebuah stesen minyak Petronas yang terletak di Bachang, Melaka selama 10 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Majikan sayu nak lepas pekerja asing pulang! Dalam diam menabung 3 tahun lebih awal bantu kumpul modal buka bisnes di Bangladesh

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah betul 2 bibik... terkejut terima telefon baharu, rupa-rupanya bonus gelang emas pun pernah dapat – “Tuhan bagi kesenangan bukan untuk kita rasa seorang”

Menurut wanita yang mesra disapa Wana ini, permit kerja Helal secara kontrak tamat pada 27 Mei 2022 dan tidak boleh disambung buat masa sekarang.

"Helal dah bekerja dengan keluarga kami lebih 10 tahun. Dalam tempoh tu, dia bekerja di stesen minyak Petronas sebagai cashier dan pump attendant rotate.

"Dia bukan berhenti kerja dengan kami tapi atas sebab kontrak dengan syarikat suami selama 10 tahun telah tamat jadi dia terpaksa balik ke negara asal. Lagipun memang dah menjadi undang-undang kerajaan selepas 10 tahun menetap, warga asing kena balik," kata Wana ketika dihubungi mStar.

Bercerita lanjut mengenai Helal, Wana berkata dia merupakan seorang pekerja terbaik pernah ditemui malah keikhlasannya dalam mencari rezeki tanpa pernah merungut mengenai kerja merupakan satu bonus dan dianggap rezeki buat dia dan suami.

Katanya yang sudah berumah tangga lebih tujuh tahun dengan Aiman, Helal mengenali suaminya sudah lama iaitu sebelum mereka berkahwin.

"Walaupun Helal dah datang sini dari sebelum saya berkahwin dengan Aiman tapi kami kenal dari zaman persekolahan lagi.

Helal berkhidmat di stesen minyak Bachang, Melaka selama lebih 10 tahun.

"Masa tu Helal mula bekerja dengan ayah Aiman dulu. Lepas ayah mentua saya dah bersara, dia berikan amanah menguruskan stesen minyak tu dekat suami pula," katanya.

Mengakui sedih dengan pemergian Helal, ibu kepada tiga cahaya mata ini tetap mencari jalan untuk membawa masuk semula pekerja warga asingnya ini untuk berkhidmat seperti sedia kala.

"Betullah orang cakap, pekerja yang baik tu tak akan kekal selamanya. Susah nak cari ganti orang macam dia yang tak pernah berkira masa kerja. Apa saja yang kita minta tolong semua dia boleh buat dengan bersungguh-sungguh.

Lelaki warga asing ini sangat rajin bekerja tanpa mengeluh atau meminta untuk dinaikkan gaji menurut Wana.

"Kami sebagai majikan terpaksa akur dengan peraturan ditetapkan walaupun sedih dan berat hati nak lepaskan Helal sebab dah anggap macam ahli keluarga sendiri. Jadi sebagai balasan selama 10 tahun dia banyak berjasa tanpa ada sebarang masalah, kami pun belanjalah dia tiket sehala balik kampung dan beberapa hadiah buat isteri dan anak-anak dia sebagai penghargaan dan rasa berterima kasih.

"Lepas Helal balik ke Bangladesh, dia nak bercuti untuk rehat dahulu. Selepas enam bulan, saya akan cuba hubungi bahagian perkhidmatan visa bagi membolehkan dia balik ke Malaysia untuk cari rezeki bekerja dengan kami semula," kata Wana.

Berikutan video yang menjadi tular di TikTok, warga maya turut meluahkan rasa sedih setelah menonton video Helal yang sedang berangkat pulang ke negaranya untuk tinggal bersama isteri dan tiga anaknya.

Aiman sudah mengenali Helal sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya post video tu dekat TikTok sebagai kenangan saja tapi tak sangka boleh viral pula. Saya gembira bila dapat tahu ramai orang Malaysia yang menghargai pekerja warga asing juga. Ada juga saya baca komen yang beritahu mereka kenal Helal. Mereka memuji sikap dah keramahannya semasa bekerja.

"Ada juga yang minta kami naikkan gaji, elaun serta jaga kebajikan seperti penyediaan hostel dekat pekerja warga asing ni. Terharu bila semua rakyat berhati mulia dan prihatin dengan golongan ni dan mendoakan kebaikan buat saya dan suami," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain