suria

Selepas mengidam Lamborghini, bakal ibu mahu mewahkan anak dalam kandungan pula... beli beg baby RM50,000!

Ayuni melakukan 'unboxing' beg keperluan bayi bagi menyambut kelahiran anak pertama.

DEMI menyambut kelahiran anak pertama, mana-mana bakal ibu sanggup berbelanja lebih.

Seorang wanita meraih perhatian apabila melakukan ‘unboxing’ beberapa beg keperluan bayi berjenama mewah Louis Vuitton (LV) berharga puluhan ribuan ringgit.

Tindakannya berhabis sebanyak RM50,000 dalam masa sehari untuk bayi yang bakal dilahirkan mengundang pelbagai reaksi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! 7 beradik terima hadiah barang LV bernilai RM60,000 daripada kakak sulung, tahun ini masing-masing dapat pakej umrah

ARTIKEL BERKAITAN: Bergelar ibu selepas 6 tahun kahwin, 3 kali gugur... wanita anggap anak hadiah terbaik, tak lupa kisah beg LV misi untuk hamil

Bercakap kepada mStar, Anes Ayuni Osman berkata, dia kini sarat hamil dengan usia kandungan hampir sembilan bulan.

Bakal ibu muda berusia 19 tahun itu mengakui teruja untuk menyambut kelahiran cahaya mata sulung dijangka pada akhir Mac depan.

"Saya teruja sebagai ibu tapi tidak mahu kelihatan seperti 'mak-mak'. Mungkin kerana faktor umur, saya masih lagi remaja.

"Jadi saya perlu melakukannya dengan cara berfesyen untuk kelihatan elegan. Saya pula penggemar LV, jadi kenapa tidak saya berbelanja untuk baby," katanya ketika dihubungi.

beg baby 50k 3

Ayuni kini sarat hamil hampir sembilan bulan.

Lebih mesra disapa Ayuni, terdapat tiga beg jenama mewah itu yang dibelinya termasuk sebuah bagasi bersaiz kecil untuk dibawa ke hospital sewaktu melahirkan anak nanti.

"Luggage ni cukuplah pakaian dan kelengkapan untuk bermalam selama dua hari di hospital. Nak lebih baju-baju baby, lampin dan pam susu.

"Dua beg bersaiz sederhana dan kecil pula boleh letak barang-barang keperluan lain seperti botol susu. Kesemua beg adalah jenis 'tahan air', tak perlu risau kalau tiba-tiba botol susu tertumpah dalam beg," ujarnya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Menyedari banyak komen yang diterima menerusi perkongsian videonya di laman sosial menganggap tindakannya sebagai membazir, Ayuni bagaimanapun tidak cepat melatah.

beg baby 50k 4

Ayuni (kanan) dan suami teruja untuk menimang cahaya mata sulung.

Sebaliknya bagi usahawan muda itu, tiada masalah untuk berbelanja untuk insan tersayang terutama dalam kalangan ahli keluarga.

"Tak membazir kalau nak berhabis untuk insan terpenting dalam hidup. Dan saya bukannya minta suami belikan, tapi saya beli guna duit sendiri.

"Alhamdulillah, saya ada rezeki lebih. Saya cari duit dari sebelum kahwin, sampai kahwin sehingga mengandung. Buat apa nak simpan duit dalam bank je, adalah lebih baik saya berbelanja untuk kebahagiaan orang yang saya sayang.

Tak membazir kalau nak berhabis untuk insan terpenting dalam hidup. Dan saya bukannya minta suami belikan, tapi saya beli guna duit sendiri

ANES AYUNI OSMAN

"Ada yang kata lebih baik beli emas dan simpanan untuk anak. Perkara itu sudah tentu saya fikirkan dan bersiap sedia dari awal sebelum membeli barang-barang kurang penting.

"Saya bukan dari keluarga senang. Bila bisnes bertambah baik dan rezeki lebih, saya mahu yang terbaik untuk anak dan layanan luar biasa," kata Ayuni yang mengusahakan bisnes kosmetik.

Ayuni sebelum ini meraih perhatian apabila mengidam untuk memiliki kereta mewah Lamborghini bernilai RM3 juta ketika hamil, dan permintaan itu ditunaikan suaminya selepas berjaya memenuhi syarat dengan salah satu videonya di aplikasi TikTok mendapat 100,000 likes.

beg baby 50k 2

Kereta Lamborghini yang dihadiahkan suami selepas Ayuni mengidam kerana hamil.

Dalam keterujaan mengira detik hari istimewa untuk bergelar ibu, Ayuni bagaimanapun merahsiakan jantina anak yang bakal dilahirkan.

"Salah satu sebab saya beli beg LV untuk keperluan baby sebab tak nak bocorkan jantina anak. Saya mahu buat kejutan bila bersalin nanti.

"Juga mudahkan saya, tak perlu cari beg warna biru untuk baby boy atau pink jika baby girl. Insya-Allah kalau ada rezeki mengandung lagi, boleh pakai semula beg tu," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain