suria

Insiden ibu maut bersama bayi terkeluar dari kandungan... kakak ipar sebak anak arwah Nor Hasliza asyik tanya “mana abu?”

Allahyarham Nor Hasliza dan anak keempat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol. foto ihsan Mastura Mahadi

"MANA abu (ibu)?"

Demikian soal seorang anak kecil yang bertanyakan ibunya, Nor Hasliza Abdul Yazaib, 25, yang maut bersama anak keempat dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua motosikal di Kampung Lumpur di Pasir Mas, Kelantan, Jumaat malam.

Pertanyaan itu ternyata mengundang sebak kakak ipar arwah iaitu Mastura Mahadi yang masih bersedih dengan pemergian Allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis... wanita sarat hamil 9 bulan, bayi terkeluar dari kandungan maut dalam nahas

Wanita berusia 37 tahun itu berkata, anak saudara lelakinya yang lebih mesra disapa Haziq baru berusia tiga tahun dan tidak memahami kejadian yang berlaku.

"Haziq pelat, jadi dia panggil ibu dia dengan panggilan abu. Semalam Haziq cakap abu dah 'mati', dia sempat tunjuk ke arah lokasi kejadian seperti tahu ibunya telah meninggal dunia.

"Hari ni dia tanya pula mana abu. Selepas jenazah dikebumikan masih lagi dia tanya. Dia tak menangis sebab tak faham apa sebenarnya berlaku," katanya kepada mStar.

ibu hamil maut 7

Urusan pengebumian jenazah pada pagi Sabtu. foto ihsan Mastura Mahadi

Mastura berkata, anak sulung arwah yang berusia lapan tahun dan lebih mesra dipanggil Irdina kelihatan lebih tenang.

"Kakaknya Alhamdulillah boleh menerima. Tapi tidak mengerti apa itu kematian dan kehilangan.

"Si kecil saja bertanyakan tentang ibunya. Saya sendiri ada anak-anak sedih mengenang anak-anak arwah tanpa ibu," tambahnya yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata.

Selepas jenazah dikebumikan masih lagi dia tanya. Dia tak menangis sebab tak faham apa sebenarnya berlaku

MASTURA MAHADI

Menurut pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah itu, adik iparnya disifatkan sebagai seorang yang penyayang bukan saja pada anak-anak kandung, malah bagi anak-anak saudara.

"Arwah seorang yang happy-go-lucky dan cukup baik dengan anak-anak saudara. Kadang-kadang dia selalu jumpa anak-anak saya dan bawa jalan-jalan.

"Saya dengan arwah juga sekepala, mudah untuk dibawa berbincang. Kali terakhir kami berjumpa pada awal bulan ini," ujarnya yang menetap di Pasir Mas.

Mastura berkata, jenazah adik ipar bersama anak saudaranya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol di Pasir Mas, kira-kira pukul 11 pagi Sabtu.

ibu hamil maut 8

Bayi dalam kandungan Nor Hasliza daripada rahimnya terkeluar akibat kemalangan itu.

Dia turut berharap seorang lagi anak saudaranya yang juga anak kedua arwah, Nurul Iman Maisara Mohd Khairi, 6 yang kini mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) segera pulih.

"Saya mohon semua mendoakan anak saudara saya supaya kembali pulih," katanya sambil menambah anak kedua arwah membonceng bersama ibunya ketika kejadian dan cedera parah di kepala, muka dan tangan.

Nor Hasliza meninggal di tempat kejadian di Kampung Lumpur, manakala bayi lelakinya yang terkeluar dari kandungan, meninggal dunia pada pukul 12.30 malam di Hospital Pasir Mas, selepas lima jam bertarung nyawa.

Dalam nahas pada Jumaat malam, tiga maut termasuk seorang remaja lelaki, Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, penunggang motosikal yang bertembung dengan Nur Hasliza yang sarat mengandung sembilan bulan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain