suria

Muncul tiba-tiba di majlis kahwin, jadi punca pengantin ‘tumpah air’ mata di pelamin... sampaikan BFF terpaksa suruh berhenti menangis

Siti Nuraliza (kiri) membuat kejutan ketika menghadiri majlis perkahwinan sahabat baiknya, Che Siti Anisa.

LAMA terpisah kerana masing-masing sudah punya haluan kehidupan sendiri bukan bermakna ikatan persahabatan turut terlerai.

Tiga tahun tidak bersua muka antara satu sama lain, akhirnya dua sahabat karib ini bertemu jua ketika salah seorang daripada mereka mendirikan rumah tangga.

Namun, apa yang lebih manis, kejutan Siti Nuraliza Mohd Jaafar yang merahsiakan kehadiran untuk bertandang ke majlis perkahwinan sahabat baiknya, Che Siti Anisa pada Sabtu lalu benar-benar menjadi sehingga berlaku 'drama' air mata di hadapan pelamin.

ARTIKEL BERKAITAN: 8 kali tangguh kahwin, pengantin lelaki menangis 2 kali di majlis nikah sebelum buat kejutan kereta Mustang untuk isteri - “Dia nak pujuk, saya asyik down je”

ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan cuma bertahan 5 minit! Panda tak diundang buat pengantin perempuan nangis di majlis nikah, plan nak buat ‘cik abang’ marah tak menjadi

Berkongsi cerita dengan mStar, Siti Nuraliza berkata dia sengaja merahsiakan kehadirannya kerana mahu membuat kejutan kepada sahabat karibnya itu.

"Sebenarnya kami sama-sama berasal dari Terengganu... saya di Batu Rakit manakala Siti Anisa pula di Setiu. Walaupun sama negeri, tapi kami dah tiga tahun tak jumpa sebab dia kerja di Kuala Lumpur.

"Bila dia pulang ke kampung sebelum ini, ada saja kekangan untuk jumpa. Ditambah pula dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), itu yang lama tak bersua.

"Namun kami sering berhubung. Bila dapat undangan perkahwinannya, dia beriya suruh saya datang... wajib katanya. Saya saja jawab 'kalau tak ada aral sampailah ke majlis mu'.

"Masa kenduri tu, saya makan-makan dan jumpa mak Siti Anisa dulu. Kemudian barulah saya jumpa dia di pelamin. Mula-mula dia tak cam sebab saya tutup muka dengan handphone.

bff 1

Saat sebelum kejutan dilakukan, Siti Anisa dan suami tidak menyedari kehadiran Siti Nuraliza.

"Bila cam, terus dia bangun dari pelamin dan meluru ke arah saya. Jadilah drama air mata depan pelamin sampai saya suruh stop nangis takut mekapnya rosak," cerita wanita berusia 28 tahun ini.

Bercerita lebih lanjut, Siti Nuraliza berkata, tidak cukup merakam gambar kenang-kenangan malah dia turut diajak bersama di meja makan beradab dengan pengantin.

"Sebelum tu pengantin dah makan di meja beradap tapi mereka sempat makan kejap saja sebab nak bergambar. Bila makan kali kedua, saya diajak sekali.

"Setengah jam jugalah kami bersembang tanya perkembangan masing-masing. Memang seronok rasanya dapat layanan mesra walaupun pengantin sibuk ketika majlisnya sendiri. Memang dari dulu lagi sikap baik dan ramahnya tak berubah," ujarnya yang juga ibu kepada seorang cahaya mata.

Bila cam, terus dia bangun dari pelamin dan meluru ke arah saya. Jadilah drama air mata depan pelamin.

SITI NURALIZA MOHD JAAFAR

Berkongsi kisah persahabatan mereka pula, Siti Nuraliza berkata mereka mula rapat sejak masing-masing menuntut di tingkatan enam.

"Bukan setakat kelas sama, malah kami duduk di meja bersebelahan. Dalam dorm pun sama, katil kami bersebelahan. Tahun ini, genap sepuluh tahun persahabatan kami.

"Mengenai perwatakan Siti Anisa, dia agak kasar walaupun berwajah cantik. Kami mungkin tak sering berjumpa macam dulu, tapi kami tetap ada untuk satu sama lain.

"Kalau nak tahu, Siti Anisa juga seorang yang pemurah... tak lokek. Sejak dia tahu anak tunggal saya yang berusia setahun empat bulan ada masalah jantung, boleh kata dia ni tak lokek hulur duit.

"Dia ada nombor akaun saya... tahu-tahu saja ada duit masuk. Tak lain tak bukan, memang daripada dia. Walau dilarang pun, dia buat tak tahu saja. Mungkin sebab dia nak bantu kerana saya hanya suri rumah yang buat bisnes makanan 'homemade'," ceritanya lagi.

bff 2

Siti Nuraliza hadir memeriahkan majlis perkahwinan sahabat baiknya, Siti Anisa bersama suami dan anaknya.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih sehingga melebihi satu juta jumlah tontonan, Siti Nuraliza berkata dia terharu kerana ramai netizen turut sama mendoakan persahabatan mereka berdua.

"Tak mengapa kalau kita tak contact selalu, asalkan kita pantau dan ada untuk satu sama lain. Yang penting jangan putuskan silaturrahim. Kalau yang jauh, selalulah bertanya khabar. Cari masa untuk berjumpa

"Buat rakan baik, Che Siti Anisa, saya doakan dia bahagia hingga ke syurga dengan suami tercinta. Moga dimurahkan rezeki dan moga persahabatan kita sampai syurga," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain