suria

Pak guard ceroboh rumah pernah tanya di mana ‘suami’! Wanita dedah terpaksa ambil ubat penenang, mujur tergerak hati beli CCTV 2 minggu lalu

Gambar kanan Yuyun berkongsi insiden rumahnya dipecah masuk oleh pengawal keselamatan.

KISAH seorang pengawal keselamatan memecah masuk rumah yang dihuni ibu tunggal bersama anak-anaknya di awal pagi dan membuka baju serta seluarnya hangat diperkatakan di media sosial minggu ini.

Mujur penghuni tiada di rumah ketika kejadian dan perlakuan itu disedari menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sehingga membawa kepada penahanan suspek oleh pihak polis.

Selepas mendiamkan diri ekoran kisah yang dikongsinya di laman sosial menjadi tular, wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Yuyun Nissa akhirnya bersuara.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita seram tengok CCTV! Nampak pak guard pecah masuk rumah, selamba buka baju, seluar... siap 'cari' guna WhatsApp call

Bercakap kepada mStar, wanita berusia 31 tahun itu mengakui masih trauma dan sukar untuk tidur malam rentetan peristiwa hitam yang berlaku.

"Dah berapa malam tak tidur malam dan kerap berjaga. Saya kena ambil ubat penenang untuk mengelakkan daripada overthinking.

"Saya sangat bersyukur Allah jentik hati saya untuk pasang CCTV yang sebenarnya baru je beli sejak lebih dua minggu lepas.

"Pada asalnya saya pasang CCTV sebab nak pantau anak-anak di rumah, tak sangka Allah nak tunjukkan sesuatu yang mengejutkan. Orang (pengawal keselamatan) yang kita percaya untuk jaga keselamatan boleh ada niat yang tidak baik," katanya ketika dihubungi.

guard pecah masuk cctv 4

Menerusi rakaman CCTV, suspek turut dilihat naik ke atas rumah.

Lebih mengejutkan Yuyun, katanya, insiden berlaku hanya kira-kira dua bulan selepas berpindah menyewa di kawasan perumahan dekat Pasir Gudang, Johor, pada Disember lalu.

Dalam kejadian pada 10 Februari lalu, suspek bukan sahaja berkeliaran dan naik ke tingkat atas rumah, malah sempat menghubunginya menerusi panggilan WhatsApp (WhatsApp call).

yuyun nissa mangsa pak guard 3

Suspek dipercayai menggunakan pintu ini untuk masuk ke rumah suspek.

Menurut ibu tunggal itu, suspek sebelum ini pernah mendapatkan nombor telefonnya untuk dimasukkan ke dalam grup WhatsApp para penghuni membabitkan pengawal keselamatan.

"Saya ada dua telefon. Hari kejadian, telefon yang guna nombor diketahui suspek ditinggalkan di rumah dan saya hanya tahu ada suspek buat WhatsApp call bila dah balik.

"Seperti pengawal keselamatan lain, suspek tegur saya ketika buat rondaan atau di pondok guard kecuali pernah tanya di mana suami saya... saya tak beritahu saya ibu tunggal, cuma kata 'suami' bekerja di Singapura," kata ibu tunggal itu yang membesarkan tiga anak perempuannya.

guard pecah masuk cctv 3

Baju pengawal keselamatan yang ditinggalkan di rumah Yuyun.

Yuyun yang berasal dari Johor Bahru menjelaskan bahawa perkongsiannya berhubung kejadian itu kerana mahu memupuk kesedaran awam supaya sentiasa menjaga keselamatan diri meskipun kawasan perumahan dilengkapi pengawal keselamatan.

"Bila duduk di kawasan perumahan yang ada security, ingatkan dah selamat. Saya tak pernah alami kejadian pecah rumah sebelum ini.

"Kita sendiri kena sentiasa berhati-hati. Saya harap mana-mana syarikat yang menguruskan pengawal keselamatan patut periksa background pekerja terlebih dahulu kerana tugas mereka melibatkan keselamatan orang ramai," katanya.

Yuyun yang merupakan ejen insurans berkata, dia dimaklumkan bahawa suspek merupakan warga tempatan berusia 22 tahun dan mempunyai kes lampau berkaitan dadah, selain berkhidmat di kawasan perumahannya sejak kira-kira tiga bulan lalu.

yuyun nissa mangsa pak guard 2

Yuyun berkongsi kejadian bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dalam aspek keselamatan.

Dalam pada itu, Yuyun yang juga mengusahakan bisnes dalam talian turut menjawab pertikaian netizen bagaimana begitu mudah rumahnya dipecah masuk.

"Orang tanya kenapa tak pasang gril? Rumah saya terletak dalam kawasan perumahan yang berpagar dan dilengkapi dengan pengawal keselamatan yang membuat rondaan.

Seperti pengawal keselamatan lain, suspek tegur saya ketika buat rondaan atau di pondok guard kecuali pernah tanya di mana suami saya... saya tak beritahu saya ibu tunggal, cuma kata 'suami' bekerja di Singapura.

YUYUN NISSA

"Perompak atau tidak, mana-mana boleh terjadi. Soalnya kenapa pengawal keselamatan yang kita percaya untuk jaga keselamatan tapi boleh pecah masuk rumah kita?

"Saya tak tahu apa motif suspek masuk ke rumah dan kes masih dalam siasatan. Cuma saya berharap kejadian ini membuka mata banyak pihak mengenai isu keselamatan," katanya yang telah membuat laporan polis dan suspek berjaya ditahan.

guard pecah masuk cctv 5

Laporan polis berhubung kejadian.

Pada Isnin, mStar melaporkan mengenai kisah Yuyun yang tular di mana dia menerima notifikasi aplikasi CCTV memaklumkan terdapat pergerakan di dalam rumah, ketika dalam perjalanan pulang dari keluar makan.

Selain menceroboh masuk ke rumah, suspek turut menghubunginya menerusi panggilan WhatsApp untuk bertanyakan keberadaannya.

Suspek sempat melarikan diri sebaik diperiksa oleh abang ipar yang tinggal di perumahan sama, namun pakaian seragamnya tertinggal di ruang tamu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain