suria

Mekar selamanya! Sanggup bersengkang mata 6 jam tapi tak siap, sambung masa konvo berlangsung... bertuah si dia dapat bunga Lego!

Amirul memberi hadiah bunga lego untuk teman wanitanya pada 6 Februari lalu.

PEMBERIAN jambangan bunga menjadi simbolik ucapan tahniah setiap kali tibanya musim graduasi pelajar universiti.

Namun lain pula ceritanya melibatkan jejaka ini apabila dia bersengkang mata menghasilkan bunga daripada ratusan kepingan Lego, khusus buat teman wanitanya.

Menurut Syed Amirul Haziq Syed Mohd Tahir, 22, bunga lego itu dibuat khas bagi meraikan kejayaan Siti Aisyah Humaira Ahmad Helmi, 23, yang menamatkan pengajian dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Selangor (Unisel) pada 6 Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mampu nak beli, anak sebak tengok ibu gigih gubah sendiri jambangan bunga untuk diberi masa konvo... setiap masa periksa bimbang layu!

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tanya nak bunga masa konvo, pemuda ini kata datang pun dah cukup, “Tengok abah depan mata, terubat kerinduan pada arwah mak”

Dia yang mesra disapa Amirul mengakui proses penghasilan bunga itu tidak semudah yang disangka, namun berpuas hati apabila melihat hasilnya selepas ia berjaya disempurnakan.

"Dulu saya pernah bagi dia bunga segar, tapi ia cepat mati. Jadi, saya buat keputusan untuk beli bunga Lego. Ibaratnya, tak perlu beli bunga dah lepas ni. Memang mekar sepanjang masa.

"Saya dapat inspirasi untuk bagi bunga Lego selepas tengok video di TikTok dan Twitter. Jadi saya beli dengar harga RM219 dan saya pasangkan sendiri semuanya.

"Saya fikir ia mudah dan boleh dibuat dengan cepat, tapi akhirnya saya yang 'terciduk' pada malam sebelum hari konvo. Dalam lima ke enam jam proses, sampai pagi tak siap semuanya.

amirul1

Video yang dikongsi di TikTok miliknya.

"Saya sambung buat bunga Lego ketika acara konvo sedang berlangsung. Saya silap plan, sepatutnya saya buat lebih awal. Tapi akhirnya ia berjaya disiapkan juga. Rasa macam bunga saya yang paling rare kat Unisel hari tu," ujarnya berseloroh.

Amirul yang juga penuntut bidang Sains Sukan di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur turut membuat rakaman video memaparkan penghasilan serta pemberian bunga berkenaan.

Saya kata, susah dia nak kalahkan hadiah (bunga lego) yang saya dah bagi. Dia pun buntu.

AMIRUL

Tanpa disangka-sangka, video itu meraih lebih 350,000 tontonan selepas ia dikongsi ke aplikasi TikTok.

Menurut Amirul, dia juga dibanjiri banyak komen netizen, khususnya yang bertanya mengenai bunga tersebut.

"Awalnya saya tengok sambutan video tu biasa-biasa saja. Kemudian tiba-tiba masuk banyak notification, komen pun banyak.

amirul3

Teman wanita Amirul yang diraikan dalam majlis konvo pada 6 Februari lalu.

"Rata-rata netizen bertanya mengenai bunga Lego. Mereka nak tahu saya beli di mana, berapa harganya," ujarnya lagi.

Menurut Amirul yang masih mempunyai baki setahun pengajian, dia tidak sabar untuk menamatkan pengajian dan menghadiri majlis graduasinya suatu hari nanti.

Ujar Amirul berseloroh, dia tidak mengharapkan hadiah bunga ketika hari graduasinya, namun berbesar hati jika menerima peralatan gim atau pakaian sukan.

amirul4

Pasangan ini berkenalan sekitar 10 tahun lalu.

"Saya pun tak tahu saya nak apa kalau konvo suatu hari nanti. Saya ada sembang dengan teman wanita saya. Saya kata, susah dia nak kalahkan hadiah (bunga lego) yang saya dah bagi. Dia pun buntu.

"Tapi paling senang bagi saya, bagi barangan gim. Kasut, baju atau aksesori untuk gim, itu paling mudah untuk saya," ujarnya lagi.

Dedah Amirul, dia dan gadis itu sudah berkenalan sejak 10 tahun lalu ketika di sekolah menengah, namum baru sahaja bercinta sekitar empat tahun lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain