suria

Pertama kali berlaku, busker sedang nyanyi terpaksa tahan hiba... tiba ‘part’ chorus makcik sedang makan tiba-tiba datang tepuk bahu

Aqmal berkongsi kisah hiba didatangi seorang wanita warga emas yang memintanya mendendangkan lagu khas untuk arwah suaminya.

MUNGKIN bagi sesetengah individu, tugas seorang busker atau penyanyi jalanan hanyalah sekadar menghiburkan orang awam.

Namun hakikatnya dalam waktu yang sama, mereka menjadi 'perantara' untuk mengubati rindu seseorang kepada insan tersayang menerusi lagu yang didendangkan.

Perkongsian seorang busker di laman sosialnya ketika menyampaikan sebuah lagu nyanyian seniman terkenal, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, benar-benar membuatkan warganet turut tersentuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Siang kerja ofis, ada sebab anak jati Semporna pilih busking sebelah malam... pernah hilang suara, tapi nyanyi lagu Adele tetap meletup!

ARTIKEL BERKAITAN: Wow, Tokti versi lelaki! Selepas 10 tahun jadi busker, Achik kini famous sampai seberang... video cover lagu Purnama Merindu raih lebih 1 juta tontonan

Bukan sahaja kerana nyanyiannya yang penuh penghayatan dengan iringan petikan gitar, tetapi gelagat seorang wanita warga emas yang berdiri di sebelahnya membuatkan rata-ratanya meluahkan rasa sebak dan hiba.

Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Akmal Ramdan berkata video menyentuh hati itu dirakam ketika dia bersama rakan-rakan busking mengadakan persembahan di sebuah pasar raya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

"Sebenarnya ada dua insiden hiba berlaku dalam hari yang sama. Mula-mula ada seorang pakcik request lagu 'Kau Pergi' dendangan Aizat Amdan. Selepas habis menyanyi, pakcik ni beritahu, dia tujukan lagu tu sebab teringatkan arwah anaknya yang meninggal dunia.

"Allahuakbar... nak menangis saya dengar kata-katanya. Tak lama selepas itu, datang pula seorang makcik. Dia request lagu 'Patah Hati' nyanyian Allahyarham Sudirman. Tapi kami tak dapat tunaikan lagu tu, dan ganti dengan lagu 'Salam Terakhir'.

"Makcik tu dengar sambil makan di food court. Tapi masa masuk bahagian tengah lagu, dia tiba-tiba bangun dan berdiri sebelah saya sambil tepuk bahu. Saya dah nak sebak tapi kuatkan semangat.

busker 1

Aqmal sudah berkecimpung sebagai penyanyi busker sejak 2015.

"Selepas habis menyanyi, dia cakap, lagu tu untuk arwah suaminya. Arwah seorang peminat Sudirman. Dia cerita, arwah suaminya meninggal dunia ketika sedang mengaji, beberapa tahun lalu.

"Mungkin dia rindu sangat kepada arwah suaminya. Inilah dua peristiwa yang sangat buatkan emosi saya tersentuh," kata pemuda berusia 25 tahun ini.

Lebih dikenali dengan nama pentas Aqmal Ramdan, pemuda ini mengakui itulah kali pertama dia berdepan dengan momen menyentuh emosi selama berkecimpung sebagai busker sejak tujuh tahun lalu.

Dapat juga saya dan rakan-rakan ubati kerinduan mereka kepada insan tersayang yang sudah lama pergi.

AQMAL RAMDAN

"Saya puas hati dapat hiburkan orang ramai dan dalam masa yang sama, menunaikan permintaan mereka. Secara tak langsung, dapat juga saya dan rakan-rakan ubati kerinduan mereka kepada insan tersayang yang sudah lama pergi," katanya yang merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik.

Bercerita mengenai kerjayanya sebagai seorang busker, Aqmal yang meminati bidang nyanyian sejak kecil berkata, dia mula menceburkan diri dalam bidang berkenaan pada 2015 secara sambilan.

Dia mula mengorak langkah secara serius apabila menjuarai satu pertandingan nyanyian pada 2017, sebelum terhenti seketika dek pandemik Covid-19.

Pernah mencari rezeki dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat beli belah di Melaka, Aqmal sebelum ini meraih perhatian ramai apabila videonya yang menyanyi sambil mengimbas suhu badan pengunjung, menjadi tular di laman sosial.

busker 2

Aqmal dan rakan-rakannya banyak membuat persembahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Alhamdulillah, tak sangka sekarang viral lagi sekali dek kerana video dengan makcik yang request lagu Allahyarham Sudirman. Sejak 2020, saya dah aktif busking kembali secara sepenuh masa dan tidak lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Kami banyak buat busking sekitar Kuala Lumpur malah sampai ke Rawang, Selangor. Alhamdulillah, saya akan bekerjasama dengan seorang komposer, Sirkhan dan bakal keluar dengan single pertama tahun ini, insyaAllah.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada warganet kerana menyokong perjalanan saya. Tak lupa kepada guru vokal, Ag Astillah, ibu bapa, keluarga dan rakan busking. Tanpa mereka, siapalah saya," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain