suria

Kakak sanggup berkorban, ketepikan kerja demi jaga adik sakit Talasemia di hospital... rupa-rupanya diri sendiri ada penyakit sama!

Nur Syafikah mengambil cuti sehingga seminggu demi menjaga adiknya, Nur Syaliely Qaseh, yang menghidap Talasemia.

KASIH yang tidak bertepi.

Itulah ayat yang sesuai bagi menggambarkan pengorbanan seorang kakak apabila sanggup mengenepikan kerjanya buat seketika demi menjaga adik di hospital.

Mengimbas kembali momen tersebut, Nur Syafikah Samsul Nizam berkata adiknya, Nur Syaliely Qaseh, 13, terpaksa dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana menghidap Talasemia.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini setia jaga sahabat terlantar di wad sehingga akhir hayat, siap tukar lampin... diam-diam ada yang rakam kebaikannya!

ARTIKEL BERKAITAN: Berbekalkan RM100 demi jaga anak pecah usus, ibu terpaksa 'tumpang' makanan hospital

"Sebenarnya Qaseh merupakan seorang penghidap talasemia dan sudah dikesan ketika dia berusia tiga tahun.

"Video itu dirakam ketika Qaseh dimasukkan ke hospital pada tahun lepas. Waktu itu dia berusia 12 tahun. Segala-galanya bermula apabila Qaseh menunjukkan perubahan seperti pucat dan lemah.

"Ibu dan bapa kami pada mulanya bawa Qaseh ke klinik kesihatan. Namun doktor nasihatkan supaya segera rujuk ke hospital.

"Bila sampai hospital, doktor terpaksa masukkannya ke dalam wad untuk rawatan dan pemantauan. Memandangkan ketika itu ibu sedang mengandung adik bongsu kami, jadi saya yang sukarela mahu teman dan jaga Qaseh di hospital," ujarnya kepada mStar.

Senang disapa sebagai Syafikah, wanita ini yang merupakan anak sulung daripada enam beradik berkata, adiknya itu terpaksa ditahan di wad selama hampir seminggu di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.

jaga adik 2

Nur Syafikah Samsul Nizam menjaga Nur Syaliely Qaseh yang dimasukkan ke hospital tahun lalu.

"Sepanjang tempoh menjaga Qaseh di hospital, saya ketepikan dahulu bisnes baju bundle sebab nak beri tumpuan kepadanya. Waktu jaga dia di wad, saya mandikan, suapkan makan, bersihkan najis dan bawa dia jalan-jalan di sekikar wad.

"Waktu menjaga Qaseh juga saya tengok proses rawatan yang dilaluinya, seperti dimasukkan darah dan diambil darah. Kesian sebab dia kecil lagi.

"Waktu tu kebetulan wad pediatrik penuh, jadi Qaseh ditempatkan di wad biasa yang ada pesakit dewasa. Kiranya Qaseh antara pesakit termuda dekat situ.

"Ada seorang aunty Cina sebelah katil pesan dekat dia 'awak sayang kakak ya... kakak awak dah banyak jaga awak'. Dia hanya angguk kepala.

Waktu jaga dia di wad, saya mandikan, suapkan makan, bersihkan najis dan bawa dia jalan-jalan di sekikar wad.

NUR SYAFIKAH SAMSUL NIZAM

"Adik saya yang nombor empat ni pemalu sikit... tak pandai nak luahkan rasa terima kasih atau sayang depan-depan walaupun saya kakaknya yang paling dia rapat," kata wanita berusia 25 tahun ini lagi.

Bercerita lebih lanjut, Syafikah berkata selepas Qaseh dimasukkan ke hospital kerana Talasemia, dia dan adiknya yang lain turut menjalani ujian bagi mengesahkan sama ada mereka turut menghidap penyakit yang sama.

"Keputusannya, saya dan tiga adik yang lain juga disahkan sebagai penghidap Talasemia HbE. Namun mengikut apa yang diterangkan oleh doktor, ia adalah Talasemia yang minor," ujarnya yang sudah mendirikan rumah tangga pada Februari tahun lalu.

jaga adik 1

Nur Syafikah merupakan anak sulung daripada enam adik beradik.

Sekadar memuat naik video untuk diabadikan sebagai kenangan, Syafikah sama sekali tidak menyangka perkongsiannya membuatkan netizen turut sama tersentuh.

"Terharu saya baca komen-komen mereka semua. Ramai cakap suka tengok hubungan adik beradik macam ini.

"Bagi saya, sebagai anak sulung, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga adik-adik selagi mampu.

"Bila ada antara adik beradik sakit, ketika itulah kita dapat berbakti kepada mereka selagi terdaya. Itulah namanya kasih sayang," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain