suria

Adik terkenang kebaikan kakak... sanggup datang dari jauh, rela tiada gaji 8 hari demi bantu hadapi trauma pasca banjir

Foto kiri Azaki memberi semangat kepada kakaknya, kanan Azaki membantu membersihkan kawasan terjejas banjir. Gambar kecil Azaki bersama kakak.

TAMAN Sri Muda di Shah Alam, Selangor merupakan antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir, akhir tahun lalu.

Di sebalik bencana banjir yang melanda kawasan kejiranan itu yang kini sudah surut dan keadaan semakin pulih, tersirat satu hubungan akrab dua beradik.

Seorang adik sanggup mengembara sejauh lebih 300 kilometer dan berkorban masa serta tenaga demi membantu kakaknya yang merupakan mangsa banjir di Taman Sri Muda.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir cecah paras leher, peniaga pisang goreng sanggup cari dan cuci semula bekalan dihanyut arus deras

ARTIKEL BERKAITAN: Semuanya hilang sekelip mata, pengusaha glamping baru operasi 3 bulan reda 'tak sempat balik modal'... sayu kenangkan mangsa banjir Hulu Langat

Berkongsi pengalaman, Azaki Firdaus Sahari memberitahu, dia memandu kereta bersama isteri dan anak-anak dari Johor Bahru, Johor ke rumah kakaknya di Shah Alam, Selangor sebaik banjir surut.

Pemuda berusia 36 tahun itu berkata, selain rumah dimasuki air, kesemua lima unit kedai pakaian terpakai (bundle) milik kakaknya bersama suami turut ditenggelami banjir.

"Dari Johor Bahru, saya ke Shah Alam untuk jumpa kakak sebab nak tolong cuci rumah dia, dan kemas apa yang patut di kedai sebaik banjir surut.

"Lapan hari saya di Shah Alam sejak akhir Disember lalu hingga awal bulan ini, kebanyakan masa membantu kakak dan keluarganya menghadapi pasca banjir," katanya kepada mStar.

adik tolong kakak banjir 9

Keadaan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Lebih mesra disapa Azaki, katanya, dia begitu rapat dengan kakaknya yang merupakan seorang guru berusia 40 tahun dan mesra dengan panggilan Kak Cik.

"Banjir di rumah paras kepala. Kakak berada di kampung ketika banjir sebab adik buat majlis pertunangan. Kakak terkandas di kampung, tapi dalam hatinya tiada siapa yang tahu.

"Kakak trauma dengan apa yang berlaku. Sebenarnya kakak tak nak saya datang bantu, dia tak mahu menyusahkan adik-beradik," ujarnya yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan.

adik tolong kakak banjir 11

Beramai-ramai mengemas dan membersihkan rumah.

Namun anak kelima daripada sembilan adik-beradik itu terdetik hati untuk menawarkan bantuan kerana hubungan rapat mereka sejak tamat persekolahan.

"Saya banyak berhutang budi dengan kakak. Dia seorang yang tak berkira dengan adik beradik.

"Dia banyak tolong saya, terutama dari segi kewangan. Inilah masa terbaik untuk saya membantu kakak dalam kesusahan," ujar Azaki.

adik tolong kakak banjir 13

Keadaan kedai bundle selepas banjir surut.

Menurut bapa kepada dua anak itu, menyaksikan sendiri kesan bencana banjir di kawasan perumahan kakaknya ternyata menyentuh emosinya.

"Saya sendiri rasa sedih dan kasihan kepada penduduk terjejas terutama kakak. Bukan setakat banyak barang dan perabot di rumah kakak rosak, baju bundle pun banyak kotor.

Saya tolong kakak dengan cara sehabis mampu. Saya percaya rezeki ada di mana-mana. Bila-bila boleh kerja, tapi kasih sayang seorang kakak sukar dicari

AZAKI FIRDAUS SAHARI

"Ada yang tak boleh diselamatkan kerana berlumpur. Bagi yang elok disedekahkan selepas dicuci dan dijual pada harga lebih murah," tambahnya.

Azaki berkata, sumber pendapatan yang tidak menentu sebagai pekerja kontrak membaiki rumah sejak pandemik Covid-19 menyukarkannya untuk membantu dari segi kewangan.

adik tolong kakak banjir 12

Azaki (kanan) bersama keluarga.

"Kerja saya tak menentu. Lapan hari saya di Shah Alam, tak ada kerja dan tak ada gaji. Saya bukan hidup senang, tapi saya percaya dengan kudrat yang dikurniakan Allah.

"Banyak cara untuk bantu mangsa banjir. Jika bukan bantuan dari segi tenaga dan kewangan, kita boleh bantu beri semangat dan sokongan moral kepada mereka.

"Saya tolong kakak dengan cara sehabis mampu. Saya percaya rezeki ada di mana-mana. Bila-bila boleh kerja, tapi kasih sayang seorang kakak sukar dicari," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain