suria

“Guna jangan sampai kering minyak pula” - Dulu hanya berniaga naik EX5, usahawan berjaya imbas detik disindir saudara, sahabat asyik kondem

Menurut Ecah, dia bukan mahu menagih simpati, sebaliknya mahu memberi mesej kepada masyarakat agar cekal mengejar impian.

KEJAYAANNYA yang dilihat kini bukan mudah untuk dkecapi kerana tersembunyi banyak liku dan kisah duka yang perlu diharungi oleh usahawan wanita ini.

Dahulu, Aziemah Azmi, 28, bersusah payah berniaga demi membahagiakan ibunya walaupun menerima banyak cemuhan daripada orang sekeliling dek kerana nasib keluarga yang susah.

Sebelum memiliki kemewahan seperti sekarang, wanita ini mula berniaga pada 2016 dengan memperoleh komisyen sekitar RM5 melalui jualan produk kecantikan juga makanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tukang masak tampan lupa niat sambung belajar sebab seronok kerja! Hanya mahu masak untuk bakal isteri, idam bisnes sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Meriah! Seorang masuk kolej, ‘sekampung’ pergi hantar... akhirnya hanya ditemani sehelai sweater - “Kami pesan jangan toleh’’

Lebih menyayat hati apabila wanita yang mesra disapa Ecah ini berniaga dengan hanya menaiki motosikal Honda EX5 untuk membuat penghantaran secara COD selepas mendapat pelanggan secara jualan online.

"Dulu mak kerja di kantin sekolah masa saya sekolah menengah.

"Masa tengok mak yang dah tua mop lantai sampai menitis peluh buat saya rasa tersentap.

"Masa tu saya terus nekad nak ubah nasib keluarga," ujarnya.

Anak jati Kuala Ketil, Kedah ini mengaku bahawa dia bukanlah seorang yang pintar di zaman persekolahan namun dia berhasrat untuk mengubah nasib keluarga.



Gambar semasa Ecah berniaga membungkus barang jualan di rumah.

Menurut Ecah, dia pernah bercadang untuk menjual produk kecantikan iaitu serum di bawah labelnya sendiri, namun mendapat kritikan daripada sahabat baiknya pada ketika itu.

"Masa tu nak keluarkan serum saya sendiri tapi kawan baik kondem sampai saya rasa terkilan.

"Dari 2016 sampai 2019 ni hang (kamu) berniaga satu apa pun aku tak nampak hasil. Kedai tak ada, kereta tak ada, satu apa pun tak ada... itu yang dia cakap pada saya.

"Mengalir air mata sebab kawan baik sendiri yang cakap macam tu sedangkan dia tak tahu simpanan atau apa saya dah ada ketika itu," dakwa Ecah.

Tidak terhenti di situ, pernah satu masa zaman susah dahulu, Ecah meminjam kereta salah seorang saudaranya untuk urusan kerja.

"Nanti lepas hantar balik kereta tu jangan sampai kering minyak pula, isi bagi penuh balik.

"Hidup hampa (keluarga Ecah) ni takkan senang sampai bila-bila, ulang-alik naik motor EX5 tu je lah," Ecah mengimbas kata-kata sindiran yang diterima.



Berkat usaha selama ini, perniagaan wanita ini berkembang maju.

Mengambil segala yang berlaku sebagai pembakar semangat untuk dirinya, Ecah perlahan-lahan membina legasi perniagaan dan kini mengusahakan produk kecantikan, makanan juga terkini menjual pakaian pula.

Tambah Ecah yang menetap di Kuala Ketil, Kedah ini, dia tidak pernah meminta atau meminjam daripada mana-mana agensi sepanjang berniaga sejak zaman dahulu lagi.

"Semua yang Ecah buat melalui banyak proses dan mengambil masa lima tahun untuk berada di tahap ni.

"Ecah tak pernah berhenti buat live di Facebook dan TikTok, iklankan di status WhatsApp, Instastory dan post di feed.

"Kalau Ecah sendiri tak iklankan, tak ada sapa nak tolong promote barang kita sebab kita ni bukan artis," ujarnya.



Setelah berusaha keras dalam dunia perniagaan, kini Ecah mampu membelikan ibunya barang kemas.

Berkat usaha yang tidak pernah mengenal erti penat lelah, dia berjaya menghadiahkan sebuah kereta baharu juga barang kemas berbentuk rantai dan cincin emas kepada ibunya seperti yang diimpikan.

Dalam pada itu, Ecah sendiri berjaya memiliki kereta, kedai dan juga baru sahaja membeli rumah miliknya hasil usaha selama lima tahun lalu sehingga kini.



Perusahaan wanita ini kini berkembang sehingga memiliki kedai dan pekerja sendiri di Kuala Ketil, Kedah.

Menurut Ecah, dia bukan mahu menagih simpati dengan berkongsi cerita silamnya, sebaliknya mahu memberi mesej dan inspirasi kepada individu di luar sana untuk tidak terburu-buru dalam mengejar impian masing-masing.

Kini Ecah memiliki lebih 348,000 pengikut di akaun TikTok mengakui hasil kejayaannya kini bukan miliknya seorang tetapi sokongan dari orang terdekat juga rakan-rakan perniagaannya yang lain juga.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain