suria

Tukang masak tampan lupa niat sambung belajar sebab seronok kerja! Hanya mahu masak untuk bakal isteri, idam bisnes sendiri

Thaufiq merupakan seorang tukang masak di sebuah restoran makan di Muar, Johor.

"UNTUNG bakal isteri dia," begitulah komen seorang netizen secara berseloroh mengenai satu video tular di media sosial.

Video yang sudah ditonton hampir 500,000 kali ini menunjukkan seorang jejaka sedang memasak di dapur sebuah restoran di Muar, Johor.

Melalui rakaman tersebut kelihatan api yang menjulang dari kuali dan tukang masaknya, jejaka tersebut yang baru berusia 20 tahun ini umpama cef profesional yang tenang mengendalikan api.

ARTIKEL BERKAITAN: Meriah! Seorang masuk kolej, ‘sekampung’ pergi hantar... akhirnya hanya ditemani sehelai sweater - “Kami pesan jangan toleh’’

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali putus tunang, jururawat terbuka juga hati terima jejaka ‘annoying’ pilihan keluarga... dah block WhatsApp tetap tak putus asa

Bercerita kepada mStar, Muhammad Thaufiq Zulkifli berkata sejak zaman persekolahan lagi dia bercita-cita untuk menjadi seorang atlet namun setelah menamatkan pengajian dia beralih minat kepada bidang masakan.

"Lepas SPM dulu, saya ada terima satu tawaran pengajian dari Kolej Yayasan Pelajaran Johor dalam bidang kulinari, tapi saya tolak sebab tak ada duit nak sambung belajar.

"Jadi setelah beberapa minggu tamat persekolahan, saya tangguh dulu niat nak sambung belajar dan terus minta kerja di Leezo Restoran Muar, Johor.



Bukan sekadar berwajah kacak, jejaka ini turut handal di dapur.

"Saya pilih kerja sebagai tukang masak untuk kumpul pengalaman sebab fikir nanti bila nak sambung belajar saya akan pilih bidang yang sama juga," ujar Thaufiq.

Menurut anak kelahiran Muar, Johor ini, dia mula belajar memasak sejak zaman persekolahan lagi dengan membantu ibunya memasak di dapur.

Dia juga belajar mengasah kemahiran dalam masakan melalui video yang ditonton di media sosial seperti di YouTube dan TikTok.

Antara menu utama yang mahir dimasak oleh Thaufiq di restoran adalah masakan Itali seperti spaghetti carbonara dan aglio oglio dan juga beberapa menu makanan barat yang lain.



Jejaka ini menangguh niat untuk sambung belajar kerana minatnya dalam dunia masakan.

Dalam pada itu, video Thaufiq yang kini sedang tular turut dihujani pelbagai pujian di ruangan komen termasuklah yang memuji rupa parasnya.

"Bang saya tak reti masak tapi abang reti masak jadi kita saling melengkapi.

"Kejap lagi saya lamar.

"Sudahlah handsome, pandai masak lagi.

"Harap-harap bakal suami saya juga tengah belajar memasak," komen beberapa netizen.

Setelah bekerja sebagai tukang masak lebih dari dua tahun, niat untuk menyambung pengajian kian pudar kerana suasana kerja dan majikan yang baik.



Thaufiq (kanan) merupakan anak ketiga dalam keluarganya.

Menurut anak ketiga daripada lima adik beradik ini, video memasaknya tidak mendapat kecaman sebaliknya menjadi sumber inspirasi juga kepada lelaki lain untuk belajar memasak dan ia membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk meneruskan apa yang dilakukan sekarang.

"Jika saya diberi rezeki yang luas suatu hari nanti, memang saya berhasrat untuk membuka restoran makanan sendiri.

"Bagi saya, jika ada yang minat nak ikut apa yang saya buat, antara persediaannya adalah belajar dan banyak praktis sehingga mahir untuk memasak.

"Kalau boleh saya mahu berkongsi lebih banyak video masakan di media sosial seandainya masa mengizinkan," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain