suria

Bertahun bergelut cari kerja, setahun buat job mekap tanpa untung... MUA laku keras selepas adik korbankan misai, janggut kesayangan

Solekan oleh Fatin (gambar kecil) yang dibuat pada wajah adik lelakinya menerima pujian netizen.

SENTUHAN kreatif jurumekap (MUA) ini mendapat pujian ramai apabila dia berjaya melakukan transformasi wajah adik lelakinya.

Menurut Nurain Fatin Ismail, 27, wajah adik bongsunya, Muhammad Izzhirzi, 25, dijadikan kanvas eksperimen bagi mengisi masa lapang ketika pandemik Covid-19 melanda.

"Ketika saya mula-mula jadi MUA sekitar empat tahun lepas, saya pernah mekap wajah adik. Masa tu teknik solekan saya pun tak berapa mantap.

ARTIKEL BERKAITAN: Di sebalik hasil solekan cantik, jurumekap ini dedah hanya sekolah sampai Form 4 - “Belajar sendiri, tak pernah kursus sebab tak cukup duit”

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu ligat cari rezeki, tapi kerana si bongsu yang teristimewa MUA lebih selesa kerja dari rumah... cuma sedih dapat job, payment tak berbaloi!

"Kebetulan masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari tu, dia ada di rumah. Dia baru selesai intern. Saya minta untuk mekap wajahnya.

"Dah lama saya minta tapi dia tak bagi. Dia sayang nak cukur janggut dan misai. Disebabkan bosan masa PKP, dia akhirnya bagi kebenaran. Tapi dia buat dalam terpaksa," ujarnya berseloroh.

Mesra disapa Fatin, anak ketiga daripada empat beradik itu mengakui proses solekan berkenaan sangat mencabar untuk dirinya.

Selain kurang mahir dengan figura wajah lelaki, proses itu banyak terhenti disebabkan gelak ketawa dia dan adiknya.

"Wajah lelaki dengan perempuan tak sama. Saya dah biasa mekap wajah perempuan, tapi lelaki tak biasa sangat. Proses itu ambil masa dekat dua jam.

fatin3

Fatin memiliki pengalaman empat tahun sebagai jurusolek.

"Banyak terganggu sebab asyik ketawa. Dia pula jenis suka menyakat dan kelakar, jadi makin lambat," kata wanita yang menetap di Johor itu.

Menurut Fatin, rakaman itu sebenarnya dibuat pada April tahun lalu, namun baru sahaja dikongsi ke platform TikTok miliknya pada Khamis.

Jelasnya, dia terharu apabila menerima pujian netizen dan terkejut video tersebut meraih lebih 700,000 tontonan.

Dari semalam tak berhenti orang mesej nak mekap. Yang tanya untuk slot bulan Mei tahun depan pun dah ada.

FATIN

Malah kata Fatin, reaksi positif itu dianggap sebagai satu penghargaan buatnya yang melalui perjalanan penuh liku sejak menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) suatu masa lalu.

"Saya masih baru dalam bidang ini. Terharu bila baca komen-komen netizen. Mereka kata saya berjaya ubah wajah adik.

"Saya sebenarnya graduan Seni Lukis dan Seni Reka. Selepas habis belajar, susah nak cari kerja dalam bidang itu. Jadi, saya bekerja sebagai tukang jahit. Selepas itu baru saya jadi MUA.

fatin4

Antara wajah pelanggan yang pernah mendapat sentuhan kreatif oleh Fatin.

"Masa tahun pertama jadi MUA, langsung tak ada untung. Tapi saya teruskan juga. Masuk tahun kedua baru OK. Dari mulut ke mulut, saya dapat pelanggan baharu," kongsinya.

Menurut Fatin lagi, dia juga terharu apabila dihujani mesej pelanggan baharu selepas video dia menyolek adik lelakinya tular di TikTok.

fatin5

Fatin terharu dihujani mesej pelanggan baharu.

"Ya Allah, banyak mesej masuk. Saya sebenarnya dah tutup slot mekap untuk Disember. Tiba-tiba video ini viral. Dari semalam tak berhenti orang mesej nak mekap. Yang tanya untuk slot bulan Mei tahun depan pun dah ada.

"Video ini jadi pembuka rezeki untuk saya. Kita buat video suka-suka saja, tak sangka dapat rezeki begini," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain